SETIAP aksi tetap mencetuskan reaksi. Begitu hakikatnya apabila dua peserta Bersih 0.4 memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan menginjak-injak gambar Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas.
Dua individu yang melakukan tindakan di atas memang kelihatan masih remaja. Namun keterlanjuran mereka memprovokasikan sensitiviti kaum tetap menimbulkan reaksi daripada segolongan masyarakat Melayu dan umat Islam tanpa mengira tahap usia.
Reaksi kepada aksi di atas pastinya daripada segolongan orang Melayu dan umat Islam. Jika ini terjadi, pihak yang mencetuskan aksi ini pula menudingkan jari, kononnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia bersikap rasis!
Tiga orang peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 berbaring di tengah-tengah Jalan Tun Perak berhadapan dengan Menara Maybank, baru-baru ini. BERNAMA |
Pada ketika ini memang reaksinya hanya dalam bentuk kenyataan media yang penuh retorika atau laporan polis yang bersifat klise. Namun bagaimana jika hati nurani Melayu/Islam yang tersayat rabak akibat aksi di atas mencetuskan reaksi yang menggemparkan dan mungkin menyemarakkan api perkauman yang ganas di serata Malaysia?
Sayugia kita beringat bahawa aksi dan reaksi perkauman telah mencetuskan tragedi 13 Mei 1969 dan hampir-hampir mencetuskan konflik kaum di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 1987. Oleh sebab itu, pentadbiran Dr. Mahathir Mahathir Mohamad (Tun) pada masa itu yang melancarkan Operasi Lalang untuk menahan 119 individu menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berbuat demikian untuk mencegah berulangnya keganasan kaum pada 13 Mei 1969 (Khoo 1995: 285).
Pucuk kepimpinan tertinggi Malaysia, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu bertindak tegas, berani dan segera untuk membendung segala kemungkinan yang boleh tercetus akibat aksi di atas.
Seperti yang penulis huraikan dalam tulisan baru-baru ini, pemerintah perlu mensekuritisasikan isu keselamatan seperti gerakan jalanan anjuran Bersih 0.4. Ini kerana sekuritisasi memberi kuasa kepada pemerintah untuk mengisytiharkan sesuatu isu keselamatan sebagai ancaman yang nyata, ancaman yang perlu diatasi segera dan ancaman yang wajar ditangani melalui pendekatan luar biasa tanpa mematuhi prosedur operasi lazim atau standard operating procedures (SOP).
Lantas setelah melihat apa yang terjadi baru-baru ini, Perdana Menteri selaku ketua eksekutif keselamatan nasional Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, wajar berani menggunakan kuasa untuk mensekuritisasikan gerakan jalanan tersebut.
Gerakan jalanan seperti anjuran Bersih 0.4 mesti diharamkan segera dan buat selama-lamanya. Kenyataan pelbagai pihak yang mengutuk gerakan jalanan ini, seluruh laporan polis mengenainya, serta ulasan-ulasan media yang mementingkan rakyat dan negara, adalah bukti sokongan majoriti rakyat Malaysia terhadap tindakan mengharamkan gerakan jalanan ini.
Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri jangan bimbang, pengharaman ini adalah tindakan mencegah hati nurani Melayu/Islam, selaku penduduk majoriti Malaysia, supaya tidak jadi lebih tercalar dan jadi lebih pilu sehingga mendorong reaksi yang serius suatu hari kelak.
Mensekuritisasikan gerakan jalanan menerusi pendekatan mengharamkannya tidak boleh dibantah oleh sesiapa. Objek rujukan kepada pengharaman ini bukan sekadar keselamatan nasional dan ketenteraman awam, bahkan perpaduan nasional, keharmonian beragama dan keselamatan masyarakat Malaysia yang majmuk.
Hakikatnya demikian kerana aksi baru-baru ini dicetuskan oleh mereka yang beridentiti bukan Melayu. Jadi reaksinya tentu daripada segolongan orang Melayu dan umat Islam. Jika reaksi ini tercetus, perpaduan nasional, keharmonian beragama dan keselamatan masyarakat majmuk turut tergugat. Sekali gus ini mengancam ketenteraman awam dan keselamatan nasional.
Lantas, siapa boleh menuduh pemerintah sebagai zalim menerusi pengharaman gerakan jalanan seperti ini, jika yang mahu dipelihara oleh pemerintah menerusi pensekuritisasian serta pengharaman tersebut adalah keselamatan rakyat yang majmuk dan keselamatan nasional?
Jika tindakan pensekuritisasian Pentadbiran Tunku Abdul Rahman untuk mengelakkan “seluruh Malaysia bermandi darah” akibat penyemarakan propaganda Malaysian Malaysia pada tahun 1964-1965, menyebabkan Singapura disingkirkan daripada Malaysia; apa ruginya jika pentadbiran Najib mengharamkan gerakan jalan ini untuk menyelamatkan kemungkinan Malaysia “bermandi darah” dalam tempoh terdekat, iaitu seandainya orang Melayu dan umat Islam sudah habis tahap kesabarannya akibat provokasi bertubi-tubi yang disasarkan kepada mereka kebelakangan ini?
Oleh itu, pentadbiran Najib, perlu tegas dan berani. Jangan ditangisi ketiadaan ISA yang sudah mansuh akibat kesilapan yang mungkin tidak disengajakan. Sekuritisasi adalah konsep keselamatan yang boleh dijadikan instrumen berkesan untuk mengatasi dilema ketiadaan ISA mutakhir ini.
Penggunaan sekuritisasi tidak memerlukan akta khusus. Penggunaan sekuritisasi adalah berasaskan landskap keselamatan nasional di sesebuah negara pada satu detik waktu yang spesifik. Dengan tindakan mendeklarasikan sesuatu isu keselamatan menjadi ancaman yang nyata kepada negara dan rakyat jelatanya, pemerintah berhak memilih apa jua pendekatan untuk mengatasinya. (Perisytiharan ini sebenarnya sudah dilakukan, namun tindakan luar biasanya masih dinanti-nantikan)!
Pendekatan akibat sekuritisasi tidak tertakluk kepada mana-mana akta atau SOP. Bahkan lebih bercorak luar biasa, paradoxical atau penuh percanggahan daripada kelazimannya, dan counter-intuitive atau terkeluar daripada pemikiran biasa.
Sekuritisasi juga lebih flexible daripada ISA dan berasaskan ciri-ciri politik. Tetapi, keselamatan juga adalah mengenai politik, walaupun bukan semua persoalan politik menjadi isu keselamatan.
Hakikatnya seperti di atas kerana sekuritisasi adalah konsep keselamatan yang muncul berasaskan dinamika masyarakat atau berlandaskan social constructivism. Ia juga diwujudkan untuk mengatasi sesuatu isu keselamatan yang sukar ditangani secara berkesan menerusi mana-mana akta atau SOP.
Lantas pentadbiran Najib tidak wajar berlengah-lengah lagi. Sekuritisasi adalah konsep yang memberi manfaat keselamatan kepada pemerintah, negara dan sebilangan besar rakyat jelata tanpa mengira keturunan dan agama.