kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tarik nafas 
dalam-dalam 
dan bertenang...

MULAI hari ini sehingga Khamis ini, seramai 455,929 murid Tahun Enam di seluruh negara menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) - peperiksaan besar pertama yang terpaksa dihadapi sepanjang 10 tahun usia muda mereka.

Bagi kita orang dewasa, UPSR hanyalah satu ujian kecil berbanding banyak lagi peperiksaan besar yang perlu ditempuh di peringkat menengah, tertiari bahkan setelah memasuki bidang kerjaya.

Namun dari kaca mata kanak-kanak ini, UPSR adalah peperiksaan paling besar dalam hidup, yang mungkin sesete­ngah daripadanya menganggap sebagai penentu ‘jatuh bangun’ atau ‘hidup mati’ mereka.

Penekanan keterlaluan terhadap pencapaian gred 5A dalam UPSR oleh kebanyakan ibu bapa, guru dan sekolah membentuk minda kanak-kanak ini bahawa itulah matlamatnya jika mahu menjadi yang terbaik.

Sedangkan realiti sebenar di luar sana tidak sebegitu.

Menyedari perkara ini, Kementerian Pendidikan me­lancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang antaranya menyenaraikan enam ciri ‘kayu ukur’ keberhasilan murid iaitu; 1) Berpengetahuan 2) Mempunyai kemahiran berfikir 3) Mahir dwibahasa 4) Berkemahiran memimpin 5) Etika dan kerohanian 6) Identiti Nasional.

Hal ini kerana, anak-anak kita yang mencapai 5A dalam UPSR mungkin telah berjaya menguasai ciri 1, 2 dan 3 namun tidak semestinya mereka menjuarai ciri 4, 5 dan 6.

Begitu juga sebaliknya mereka yang tidak berjaya mencapai 5A dalam UPSR, mungkin sahaja menunjukkan kemahiran memimpin sehingga menjadi ketua pengawas, pustakawan atau ketua pasukan bola sepak, bahkan ada yang menjadi johan tilawah al-Quran dan wakil pidato sekolah.

Justeru janganlah kita memberi tanggapan salah kepada anak-anak seolah-olah UPSR menjadi penentu sama ada mereka kelak akan menjadi doktor atau peguam, sehinggakan kanak-kanak ini tidak menoleh kiri kanan sebaliknya hanya menatap buku siang malam.

Sebab itu pengetahuan bukan satu-satunya sasaran atau aspirasi keberhasilan murid. Sebaliknya lima ciri lain turut dititikberatkan demi memastikan anak-anak kita yang lahir dari­pada sistem pendidikan negara tidak hanya cemerlang akademik bahkan baik sahsiah dan lengkap ilmu kerohaniannya.

Perlu diingat bahawa secemerlang mana pun anak kita dalam peperiksaan, sebijak mana pun dia menjawab soalan dan sefasih mana pun dia bertutur pelbagai bahasa, tidak akan menjadi hebat jika di mata guru dan rakan, dia dikenali sebagai seorang yang berlagak, tidak beradab atau kurang sopan.

Kita sudah melihat banyak contohnya dalam kalangan masyarakat sekarang. Anak-anak muda berpengetahuan dari institusi pengajian tinggi dan rakyat kita yang menjawat kerjaya hebat, tetapi berkelakuan tidak senonoh, tidak tahu adat resam bermasyarakat dan tidak menghormati budaya dan kepercayaan agama orang lain, bahkan tidak kenal panji-panji negara yang menjadi lambang identiti nasional.

Peribahasa Melayu menyebut ‘masuk reban kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak’. Namun oleh kerana ramai yang hanya berpengetahuan tetapi tidak beretika, maka jadilah ada yang menguak di reban kambing dan mengembek di kandang lembu.

Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama-sama para pemimpin terdahulu ketika itu, mungkin sudah dapat ‘melihat’ apa yang akan terjadi jika etika atau dalam bahasa Melayunya, kesopanan dan kesusilaan tidak lagi menjadi pegangan rakyat berbilang kaum, agama dan latar belakang di negara ini, lantas ciri itu disenaraikan sebagai salah satu ciri Rukun Negara.

Bayangkan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain berkeras mahu mengamalkan adat budaya masing-masing, tanpa tolak ansur. Sudah pasti negara kita sudah lama kecoh dan huru-hara.

Dengan menghormati etika bermasyarakat, orang Melayu, Cina, India dan lain-lain sejak sekian lama boleh mengamalkan adat dan budaya masing-masing. Dan pada masa sama, menghormati adat budaya dan kepercayaan kaum-kaum lain.

Malangnya perkembangan akhir-akhir ini menunjukkan ada segelintir daripada kita yang dengan sengaja mahu menolak ciri-ciri yang selama ini membentuk kerukunan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama. Lebih malang, ada kalangan orang dewasa sendiri yang cuba mengajar anak-anak agar menjadi kurang ajar, tidak beradab dan tidak patuh undang-undang.

Justeru bagi penulis, langkah Kementerian Pendidikan memberi tumpuan semula kepada ciri-ciri itu untuk melahirkan murid atau pelajar yang holistik iaitu bukan hanya cemerlang akademik bahkan mempunyai sahsiah baik, cukup tepat dan kena pada masanya. Lebih-lebih lagi ketika ini, di saat-saat masyarakat kita sudah terlalu bersifat materialistik atau kebendaan.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bila lagi masa yang sesuai untuk melentur sikap anak-anak kita pewaris kepe­mimpinan masa depan jika tidak dari peringkat awal persekolahan.

Justeru janganlah kita menyempitkan jurus pandang anak-anak ini ke satu hala sahaja.

Janganlah kita hanya mengukur kejayaan anak-anak kita setakat mencapai gred 5A dalam UPSR sedangkan mereka menun­jukkan potensi besar dalam bidang-bidang lain yang bukan akademik. Belajarlah meraikan kejayaan mereka dalam bidang-bidang lain juga sama ada bersukan atau berpersatuan.

UPSR hanyalah salah satu fasa sebelum mereka menyambung persekolahan peringkat menengah.

Mungkin dengan pencapaian gred 5A memberi lonjakan kepada mereka untuk memilih sekolah yang dimahukan sama ada berprestasi tinggi (SBT), berasrama penuh (SBP) mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah menengah agama terpilih. Namun UPSR masih hanya satu fasa kecil.

Keputusan UPSR tidak menentukan aliran menengah apatah lagi laluan bidang kerjaya yang mereka cita-citakan.

Memang baik untuk memperoleh 5A namun jangan sekali-kali memberi tekanan apatah lagi mahu ditanamkan di minda anak-anak ini seolah-olah mereka akan gagal dalam hidup apabila tidak mencapai sasaran berkenaan.

Jangan patahkan semangat anak-anak yang baru 10 tahun mengecap kehidupan ini. Mereka masih kanak-kanak dan perjalanan mengejar cita-cita masih terlalu jauh dan panjang.

Ajar mereka menerima apa jua keputusan dengan reda, dan pada masa sama ingatkan agar tidak berputus asa. Tanamkan keyakinan ke dalam jiwa anak-anak ini bahawa mereka masih boleh mencipta kecemerlangan pada masa depan.

Mudah-mudahan anak-anak kita membesar secara seimbang, bukan setakat bijak akademik tetapi lebih penting lagi memiliki ciri-ciri insan kamil serta kebijaksanaan yang akan membolehkan mereka berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kepada murid-murid Tahun Enam di seluruh negara, selamat menjawab soalan UPSR.

Tarik nafas dalam-dalam, lepaskan perlahan-lahan, bertenang. Insya-Allah, apa jua kemusykilan yang terbentang di depan mata akan dapat diselesaikan.

- Utusan Malaysia Rencana 08 September 2015 1:26 AM -
Tags: pentaksiran, peperiksaan, upsr
Subscribe

Posts from This Journal “peperiksaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments