kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia komited tangani rasuah

MALAYSIA diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 pada tahun lalu. Dan pada minggu lalu, kita dengan jayanya menganjurkan persidangan itu sebagaimana diberi kepercayaan oleh Majlis IACC.

Tidak ada pihak yang menjangkakan ketika persidangan berlangsung kali ini, kita dihimpit satu isu yang masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tidak dapat dinafikan bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan mengenai isu yang semua sedia tahu. Tetapi apabila ada pihak yang menggambarkan bahawa Malaysia berhadapan dengan krisis rasuah, ia sememangnya sesuatu yang tidak dapat diterima.

Untuk mengatakan bahawa kita berhadapan dengan keadaan yang teruk juga tidak benar sama sekali. Kita faham sesetengah pihak tidak mengetahui atau mempunyai maklumat yang sebenar. Malah perkara yang sama ditegaskan oleh SPRM di mana agensi tunggal pencegahan rasuah menjelaskan bahawa Malaysia tidak menghadapi krisis ra­suah seperti didakwa oleh Presiden Transparency-International, Jose Ugaz.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali menjelaskan dakwaan seumpama itu adalah tidak benar dan adalah pandangan atau tanggapan peserta semata-mata.

“Apabila mereka membangkitkan perhatian (tentang isu ini), mungkin mereka tidak mempunyai fakta. Tetapi kami serius meme­rangi rasuah secara berkesan dan bersungguh-sungguh,” kata beliau.

Dalam ucapannya pada hari pembukaan persidangan, Ugaz berkata, Malaysia menghadapi krisis rasuah berikutan isu derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang belum diselesaikan.

IACC bukan platform untuk membincangkan isu 1MDB. Sebaliknya, berdasarkan tema yang dipilih, IACC kali ini membincangkan pelbagai perkara dan perkongsian amalan-amalan terbaik. IACC kali ini juga disifatkan sebagai amat berjaya dan mencapai objektif kerana Malaysia telah berkongsi 23 amalan dan mekanisme terbaiknya serta mempelajari cara-cara menangani rasuah daripada 138 negara dan lebih 1,200 peserta.

Adakah Malaysia berhadapan dengan krisis rasuah? Sekali lagi penulis berpandangan adalah tidak wajar melabel dan menuduh sedemikian. Banyak fakta dengan sendiri akan menjadi ukuran dan bukti bahawa Malaysia bukan dihimpit atau dilabel oleh pihak tertentu kononnya berhadapan oleh krisis rasuah.

Di sini, kita perlu merenung pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika menyampaikan ucapan majlis penutup IACC pada Jumaat lalu di mana beliau menegaskan bahawa mana-mana negara tidak akan mencapai kemajuan menerusi kedudukan ekonomi yang mampan jika gejala rasuah kekal sebagai wabak dalam sistem pentadbiran negara.

Malah tegas beliau, rasuah mungkin mendorong kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik yang lebih rendah serta percambahan ekonomi bawah tanah yang tidak memberi petanda baik kepada mana-mana negara.

“Saya yang baharu pulang dari Australia dalam memenuhi pelbagai jemputan jelas menunjukkan bahawa imej Malaysia amat tinggi dalam kalangan ahli Parlimen dan golongan akademik di negara Australia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak menghadapi masalah seperti itu kerana berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus pada 2014. Nampaknya kedudukan rasuah di Malaysia sudah mula dipolitikkan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa.

Sebagai ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, penulis berpandangan adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak serius memerangi rasuah sedangkan pelbagai inisiatif dilancarkan.

Selaku wakil rakyat mewakili BN dan juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Parlimen, penulis perlu respon kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir pihak termasuk ahli-ahli politik pembangkang di Malaysia.

Perkemba­ngan sepanjang dekad yang lalu, terutamanya sejak 2009 menunjukkan Malaysia mengambil pelbagai langkah serius dan tindakan proaktif untuk membanteras segala gejala rasuah. Penulis amat pasti pihak pembangkang tidak akan dan tidak dapat menafikan hakikat ini. Kecuali mereka enggan mengaku dan menerima­nya.

Pertama: Berikutan keperluan dan kehendak rakyat. kerajaan BN mengambil langkah untuk me­nubuhkan sebuah SPRM - sebuah suruhanjaya antirasuah bebas menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada akhir 2008. SPRM beroperasi mulai Januari 2009.

Sejak itu, ia dipantau oleh lima badan yang bertindak sebagai mekanisme check and balance. Hampir 50 ahli menganggotai badan-badan bebas ini, termasuk ahli-ahli Parlimen BN, DAP, Pas dan PKR. Pemimpin masyarakat sivil, kumpulan profesional dan bekas pegawai tertinggi perkhidmatan awam juga memantau SPRM. Kedudukan ini sahaja menunjukkan agensi pencegahan rasuah Malaysia jauh lebih bebas berbanding era sebelum 2009. Malah kewujudan badan bebas ini khususnya Panel Penilaian Operasi (PPO) diiktiraf oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Mengenai kes-kes yang disiasat dan didakwa di mahkamah, lebih 60 kes berprofil tinggi berjaya diselesaikan oleh SPRM sejak 2009. Sebagai contoh, kes Sime Darby, Operasi 2B (Ops 2B) yang menyaksikan lebih 20 pegawai Kastam didakwa dan kolonel hospital berkaitan de­ngan rasuah menyeleweng bekalan perubatan. Malah beberapa pe­mimpin politik termasuk dari BN telah didakwa di mahkamah. Apakah ini bukan petanda kerajaan BN bukan serius dan bersandiwara?

Kedua: Laporan Daya Saing Glo­bal 2014-2015 menunjukkan kedudukan Malaysia telah bertambah baik - ke paras 20 daripada 144 negara yang diukur. Ia juga mengiktiraf bahawa Malaysia telah berjaya dalam membanteras rasuah dan birokrasi. Menurut laporan itu, Malaysia yang memperkenalkan banyak perubahan besar sejak 2009, muncul sebagai salah satu daripada negara yang berjaya dalam usaha mengatasi rasuah dan menangani birokrasi - yang mana kedua-dua­nya selalu dihubungkaitkan.

Ketiga: Pelbagai inisiatif diper­kenalkan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP). Malah usaha itu diteruskan menerusi GTP 2.0. Kebanyakan inisiatif ini sudah mula menghasilkan hasil. Kita tidak perlu menyenaraikan kesemua inisiatif di bawah GTP dan GTP 2.0 di sini. Laporan GTP, yang boleh didapati secara online, akan membuktikan yang Kerajaan Persekutuan telah mengambil pendekatan berani untuk menangani rasuah.

Keempat: Perdana Menteri sendiri menunjukkan komitmen yang kuat untuk menghapuskan rasuah dan memastikan Malaysia berada dalam kalangan 30 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2020. Tahun lepas, Malaysia bergerak ke paras 50. Walaupun sesetengah pihak kurang yakin dengan impian ini, tetapi Kerajaan Persekutuan percaya ini boleh dicapai sekiranya kita bekerjasama ke arah melahirkan sebuah negara yang bebas rasuah.

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sendiri telah meminta penjelasan daripada SPRM mengenai isu-isu yang dibangkitkan. Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah puas hati dengan respon SPRM. Malah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah telah mengesyorkan beberapa cadangan. Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Ra­suah ini diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen setiap tahun.

Merujuk kepada 1MDB, laporan media terkini menunjukkan bahawa SPRM masih dalam proses mengumpul data awal dan mene­liti maklumat yang diperoleh. Kes ini juga kini dalam siasatan polis, malah diteliti oleh Ketua Audit Negara ekoran arahan Kabinet.

Penulis pasti semua khususnya parti pembangkang akan bersetuju bahawa usaha melawan rasuah adalah satu pendekatan berterusan. Kita memerlukan iltizam politik yang kuat daripada semua. Ja­ngan asyik salahkan kerajaan.

Marilah kita menjuarai isu ini bersama bukannya mempolitikkan isu ini. Penulis berharap pihak yang sangsi dengan kedudukan jenayah rasuah di Malaysia supaya melihat kepada fakta dan angka yang ada di depan kita sebelum melabelkan Malaysia sedang gawat dengan jenayah rasuah.

- Irmohizam Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 8 September 2015 1:29 AM
Tags: rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments