kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Merdekakah kita?

SABAN tahun negara meraikan satu hari yang dianggap keramat dan bersejarah iaitu seluruh negara tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit melaungkan kalimah “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”.

Apabila disebut tentang sambutan kemerdekaan, jelas terbayang pada pemikiran kita akan perbarisan kawad kaki di dataran, pameran ketenteraan lambang kepahlawanan, tembakan meriam memecah keheningan, laungan Merdeka bukti kecintaan dan aspirasi anak watan.

Makna kemerdekaan perlu difahami, dihayati

PENJAJAHAN moden bukan lagi datang bersama bala tentera, sebaliknya datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau melalaikan. - GAMBAR HIASAN

Namun, adakah ini penghayatan merdeka yang ingin diterapkan dalam sanubari anak-anak muda hari ini? Inikah yang ingin dilihat oleh para pejuang tanah air yang mengorbankan jiwa dan raga untuk memastikan bumi tercinta ini mengecap nikmat kemerdekaan? Jika hanya ini sahajalah erti kemerdekaan yang dimaksudkan, adakah berbaloi titisan darah pejuang kemerdekaan membasahi bumi yang kita pijak pada hari ini?

Benar, dalam konteks pengisian acara sambutan, memang itulah sebahagian acara dan aktiviti yang wajar dianjurkan. Namun perlu difahami bahawa apa yang lebih besar ialah penghayatan dalam menjiwai erti sebenar kemerdekaan khususnya yang digariskan oleh Islam.

Kemerdekaan adalah pembebasan daripada penjajahan dan ikatan. Sebagai sebuah negara merdeka, kita bebas menentukan apa sahaja perancangan, matlamat dan tindakan sama ada dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik tanpa terikat kepada sesiapa. Dalam masa yang sama, kemerdekaan yang dicapai ini perlu dikekalkan iaitu tanggungjawab kita sebagai pewaris negara merdeka.

Hakikatnya, inilah perjuangan yang lebih getir berbanding perjuangan untuk mencapai kemerdekaan itu. Dalam Islam, kemerdekaan itu suci maknanya. Islam itu sendiri membawa erti kesejahteraan, kedamaian dan keamanan.

Bagi seorang Muslim, nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dihayati. Kemerdekaan bukan sahaja memberi lesen untuk menentukan corak hidup tetapi lebih penting adalah membebaskan diri dan pemikiran daripada syirik kepada Allah serta sifat-sifat jahiliah.

Oleh itu, seorang Muslim yang merdeka adalah yang bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Firman-Nya dalam Surah al-Isra’, ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

KURNIAAN WAJIB DISYUKURI

Kemerdekaan juga merupakan satu bentuk rezeki kurniaan Allah yang wajib disyukuri dengan memelihara dan menjaga negara daripada dirosakkan oleh anasir-anasir luar yang sentiasa cuba menggugat kedamaian negara ini.

Dalam keghairahan meraikan hari kemerdekaan, segala pengisian sambutan perlulah dititikberatkan meliputi acara-acara yang memberikan kesedaran dan peringatan tentang makna kemerdekaan amnya dan makna kemerdekaan diri seorang Muslim itu sendiri, khususnya.

Ini kerana, kita bukan sahaja berhadapan dengan golongan yang lupa dengan makna kemerdekaan tetapi turut berhadapan dengan mereka yang lalai tentang hakikat menjadi seorang Muslim sejati. Kelalaian ini bukan sahaja akan menyebabkan kita mempersia-siakan negara tercinta ini tetapi lebih dahsyat lagi hingga mengabaikan diri dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Oleh itu, sambutan kemerdekaan sebagai seorang Muslim harus diisi dengan lebih banyak acara kesyukuran atas nikmat kemerdekaan kurniaan Ilahi. Usah lena dibuai mimpi dan hiburan tiada henti. Usah bongkak kepada yang Maha Memberi. Ikutlah resmi padi, kian tunduk apabila berisi.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada An Nu’man bin Basyir RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa tidak mensyukuri yang sedikit, maka dia tidak akan mampu mensyukuri yang banyak.”

ANCAMAN 
PENJAJAHAN 
BAHARU

Wadah penjajahan moden bukan lagi datang bersama angkatan bala tentera. Sebaliknya ia datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau melalaikan. Akibatnya kita tidak terasa dijajah kerana digula-gulakan dengan hiburan dan keseronokan luar biasa hingga terlupa akar budaya dan jati diri bangsa.

Liberalisasi dalam teknologi komunikasi terutamanya kelonggaran kawalan isi kandungan dalam media elektronik menyumbang kepada penjajahan budaya dalam bentuk baharu.

Dengan rangkaian Internet tanpa batasan, kita boleh menonton, melihat dan membaca hampir apa sahaja dengan cukup mudah. Penyebaran maklumat palsu, fitnah, caci maki dan penentangan terhadap pemerintah berlaku secara membuta tuli tanpa usul periksa.

Tanpa disedari liberalisasi dalam isi kandungan program televisyen dan filem mengajar remaja Malaysia cara hidup Barat. Kehidupan penuh tata susila ditukar kepada kebebasan tanpa batasan. Adab dan kesopanan tidak lagi menjadi pakaian anak muda hari ini. Akhirnya, imej ketimuran berjaya diubah menjadi budaya barat.

Allah berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 3: “(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin selain daripada Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”

Menerusi ayat ini, Allah mengingatkan kita agar sentiasa taat dan patuh pada perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jangan sesekali kita menjadikan budaya Barat sebagai ikutan sebaliknya kembalilah kepada sunah Rasulullah SAW.

KESIMPULAN

Kemerdekaan yang sebenar bukan hanya perlu diingati dan disambut, tetapi perlu difahami dan dihayati;

Penjajahan secara moden merangkumi penjajahan budaya, penjajahan ekonomi, penjajahan sosial dan penjajahan minda

Erti kemerdekaan yang hakiki ialah dengan mensyukuri nikmat kemerdekaan kurniaan Allah dan berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman dan anasir yang tidak baik.

Tags: merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “merdeka” Tag

  • Persaraan adalah satu kemerdekaan

    Ada kalanya kita tidak perlu berbuat apa-apa. Daripada kita menghabiskan masa untuk menjadualkan setiap saat masa persaraan kita, bukankah lebih…

  • Tarikh kemerdekaan ilham daripada ulama

    SETIAP kali menjelang hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos, hanya beberapa nama popular yang sering kedengaran. Nama-nama itu ialah Tunku Abdul…

  • Menghayati tarikh keramat kemerdekaan

    Dakwaan bahawa Tanah Melayu terjajah melalui kejatuhan Kota Melaka pada tahun 1511 dan pelaksanaan doktrin nasihat seawal pengenalan Perjanjian…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments