kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Karamah maknawi

Kekal manfaat untuk umat Islam . Dahulu saya kagum melopong apabila mendengar cerita para wali yang dikisahkan mampu berjalan di atas air, mampu melipat bumi, menempuh perjalanan jauh dalam masa yang singkat, mampu makan buah-buahan bukan pada musimnya dan sebagainya. Setelah lama mendalami ilmu, barulah saya faham bahawa karamah (kemuliaan) para wali rupanya bercabang dua - kelas pertama dan kedua. Tanpa sedar ramai yang cuma nampak karamah kelas kedua. Mengapa? Ia kembali juga kepada penghayatan ilmu. Ramai yang mengabaikan pintu kerana menyangka tingkap lebih utama berbanding pintu.

Karamah yang biasa dicanangkan tentang kelebihan ajaib para wali rupanya berada pada kelas kedua atau dipanggil “karamah hissi” (keajaiban yang mampu dilihat pancaindera dan tidak kekal). Nun di sana, ada karamah kelas pertama yang jauh lebih hebat dan kekal manfaatnya untuk umat Islam sejagat. Ia disebut “karamah maknawi” (keajaiban yang kekal dan meluas manfaatnya untuk seluruh umat Islam).

Para ulama ummah yang meninggalkan karya agung membimbing umat Islam dengan khazanah ilmu sebenarnya tergolong dalam kalangan para wali Allah yang besar jasanya kepada umat Islam. Jika seorang wali mampu berjalan di atas air, terbang di udara dan sebagainya, apakah manfaat yang anda peroleh selain sedap telinga mendengarnya?

Sebaliknya, seorang ulama yang menghasilkan khazanah ilmu yang mampu mendekatkan Muslim kepada Allah jauh lebih besar manfaatnya kepada umat Islam. Dengan premis ini, saya menobatkan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli yang baharu dijemput Allah baru-baru ini sebagai salah seorang wali Allah zaman ini.

Saya berjinak dan mengajar Tafsir al-Quran bermula pada tahun 2005. ‘Mabuk’ Tafsir al-Quran yang saya alami berterusan sehingga sekarang. Saya sudah mengajar sehingga juzuk 23, surah ke-36 iaitu surah Yasin. Aktiviti mingguan mengajar Tafsir al-Quran adalah sebanyak enam kelas dan rujukan utama saya dalam pengajaran adalah Tafsir al-Munir karya si wali Allah yang saya nobatkan di atas. Karya beliau menjadi pilihan kerana ia mudah, semasa dan mengumpulkan berbagai mutiara daripada pelbagai kitab tafsir muktabar. Seolah-olah beliau mengumpulkan bahan mentah daripada pelbagai kitab Tafsir muktabar lalu mengadunnya menjadi sebutir berlian untuk dihidangkan kepada umat Islam moden. Ternyata usahanya menulis Tafsir al-Munir selama belasan tahun membuahkan hasil.

Menarik untuk dikongsi, moto utama Prof. Wahbah al-Zuhayli dalam karya Tafsir al-Munir adalah firman Allah:

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.” (al-Anfal [8:24]).

Subhanallah! Beliau memang seorang Wali Allah kerana mampu melihat dengan suluhan mata hati akan pedoman ayat ini. Lalu beliau menjadikan ayat ini sebagai moto utama tafsirnya. Setelah lama bergelumang dengan Tafsir al-Quran, memang al-Quran adalah suatu seruan daripada Allah yang benar-benar menghidupkan jiwa.

Saya bersyukur kerana diizinkan menumpang tuah Prof. Wahbah al-Zuhayli kerana diperjodohkan dengan kitab tafsir beliau. Semoga jodoh saya ini berterusan bersama beliau di akhirat kelak. Amin! - Utusan Malaysia Rencana 8 September 2015 1:00 PM

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments