kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Alurkan cinta dan sikap positif

KECINTAAN terhadap nega­ra adalah syarat utama bagi bangsa yang merdeka. Atas dasar kecintaan jugalah telah menjadi alasan dan justifikasi kepada tindakan seseorang individu dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Ada yang memilih jalan damai iaitu menerusi rundingan dan diplomasi bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara; ada juga yang mengambil tindakan agresif atas justifikasi yang serupa; dan ada juga yang bersikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang tindakan. Kesemua inilah ragam pemimpin dan rakyat di sesebuah negara demokrasi.

Atas prinsip kebebasan bersuara dan kuasa pilihan majoriti, maka individu di negara demokrasi diberi ruang meluah rasa dalam konteks perundangan. Jika dulu, luahan rasa dan lontaran pandangan memerlukan usaha yang lebih gigih termasuklah dengan melakukan propaganda, kempen atau ceramah terbuka; kini usaha tersebut kian mudah. Tidak perlu lagi mendapatkan permit untuk mengadakan rapat umum terbuka kerana rapat umum alam maya telah menjadi alternatif.

Uniknya sosiobudaya di Malaysia adalah kerana wujudnya perbezaan sikap dan tingkah laku dalam kalangan lelaki dan wanita. Majoriti lelaki lebih cenderung untuk me­nyuarakan pendapat, pandangan dan kempen terhadap isu negara secara terang-terangan sama ada menerusi penulisan di blog, status di laman sosial dan jaringan pantas telekomunikasi (WhatsApp dan Twitter).

Sebaliknya, majoriti wanita pula mengambil sikap yang lebih berhati-hati dalam menyuarakan rasa terhadap perkembangan negara. Maka, golongan wanita sering dilihat sebagai pengundi senyap dalam pilihan raya dan ini memberi cabaran kepada penganalisis untuk membuat culaan sokongan. Namun, itu tidak bererti mereka tidak ada prinsip dalam pemilihan kepimpinan politik negara. Perbezaan sikap dan tingkah laku ini menjadi tanda tanya tentang bagaimanakah sikap yang paling wajar bagi pe­mimpin dan rakyat di sebuah negara demokrasi.

Selain perbezaan gender, ter­nyata isu-isu yang berkaitan dengan etnik menjadi topik hangat dalam pelbagai skop perbualan sama ada politik, pendidikan, ekonomi atau sosial. Kritikan dan dakwaan terhadap kumpulan etnik lain sering menjadi agenda kempen dalam meraih sokongan. Cubaan membangkitkan rasa resah dalam kalangan pelbagai etnik kerap digunakan media sosial. Suntingan terhadap visual serta audio-visual dilakukan secara kreatif sama ada dengan tujuan mengkritik ataupun meman­cing perhatian. Jika dulu, visual sebegini mudah memberi kesan kepada persepsi golongan dewasa, namun kini sebaliknya. Ramai yang mula mempersoalkan kebenaran sesuatu fakta, visual dan audio-visual yang dihasilkan. Namun, jangan dilupa impaknya kepada kanak-kanak. Biarpun, kanak-kanak sering dilabelkan sebagai digital natives, mereka masih mentah untuk memahami selok-belok dan rencah kehidupan.

Kajian di negara Barat menunjukkan kanak-kanak amat mudah mempercayai berita di media sosial serta mudah tertipu dengan penipuan identiti dalam media sosial. Malah, ia juga berupaya memupuk sikap pre­judis dalam kalangan generasi kanak-kanak. Perbezaan sosiodemografi ini amat perlu diambil kira oleh setiap individu di negara ini dalam menzahirkan pandangan dan sikap kerana impaknya mungkin lebih jauh dari yang kita mahukan.

Harus diingat bahawa negara-negara di dunia hari ini telah ‘diikat’ dengan kuat oleh kuasa sebaran maklumat sehingga banyak negara yang aman telah bertukar menjadi tragedi ekoran pengaruh sebaran makumat ini. Sebaliknya pula, terdapat juga negara yang makin maju dengan ‘ikatan maklumat’ ini. Mengalihkan aliran kuasa maklumat ke arah yang lebih positif memerlukan sokongan padu daripada rakyat jelata terhadap kepimpinan berintegriti.

Amat mustahil untuk membiarkan pemimpin dan rakyat di negara demokrasi untuk bersikap diam dan membisu kerana ini bukanlah sifat dan sikap pemimpin dan rakyat di negara demokrasi. Jikalau diam dan bisu menjadi pilihan, maka keutuhan sebuah demokrasi pasti diragui. Maka, sikap rakyat dan pemimpin yang peka dan lantang bersuara terhadap situasi negara atas dasar kecintaan dan nilai patriotisme perlulah dialurkan ke laluan yang betul, positif dan konstruktif.

Hasratnya adalah kelestarian kemajuan negara ini terhasil daripada rasa dan sikap cinta kepada negara. Siapa lagi yang akan membangunkan tanah air ini kalau bukan bangsanya sendiri? Mohd Mahzan Awang Utusan Malaysia Rencana 09 September 2015 12:50 AM

Tags: sikap
Subscribe

Posts from This Journal “sikap” Tag

  • Mitos Malas dan Memilih Pekerjaan

    Satu ketika baru-baru ini, terpapar satu isu yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia adalah pemalas dan memilih pekerjaan. Tokoh-tokoh…

  • Jangan suka menyalahkan orang lain

    Apa yang berlaku di pembukaan sidang Parlimen baru-baru ini bukanlah perkara baru yang diharapkan. Wakil pilihan rakyat dari kedua-dua pihak…

  • Sukarnya untuk bersikap baik di dunia ini

    Adalah sukar untuk menjadi baik di dunia di mana semuanya telah banyak berubah termasuk nilai peribadi, norma tradisional, integriti dan kesaksamaan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments