kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bila pokok condong, biawak pun naik

KALAU sekali orang datang dan sekeh kepala anda dari belakang, tentu anda marah. Amarah itu mungkin tak seberapa sebab kali pertama. Mungkin anda seorang berhati mulia, sedia memaafkannya dan menganggap dia mungkin bergurau atau ‘mental’.

Tetapi bagaimana jika perbuatan itu dilakukan pada kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya? Perlakuan itu tentu sekali tidak lagi di luar kawalannya tetapi sudah pasti dalam kawalan dan penguasaannya. Takkanlah anda yang menjadi mangsa akan duduk diam, membatu, seterusnya membiarkan sahaja berulang kali perbuatannya.

Demikian juga dengan Bersih 4.0. Su­dah diberi amaran ber­­ulang kali, sudah dibuat laporan ratusan kali di balai-balai polis merata ceruk, bandar dan desa tetapi masih begitu sikap hati kering penganjurnya.

Lebih ‘dahsyat’ lagi penganjurnya boleh ketawa besar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur tempoh hari sewaktu dipanggil menghadap pihak berkuasa tanpa rasa sedikit pun bersalah. Ketawa besar pula de­ngan bekas penganjur Bersih siri yang lepas. Bukan main galaknya dia macam Malaysia ini tidak ada undang-undang atau undang-undang zaman batu barangkali.

Kerana itu penulis cukup-cukup faham mengapa Himpunan Rakyat Bersatu mahu diadakan pada 16 September ini. Rak­yat terutama orang Melayu sudah tidak tahan lagi dengan provokasi dan macam-macam hal yang dilakukan oleh ‘puak-puak di sana’.

Apa yang berlaku dalam tiga empat tahun ini, dekat Istana di Perak; kemelut yang dialami kampung-kampung tradisi di Pulau Pinang dan banyak lagi yang boleh diakses di Google, begitu menggores perasaan orang Melayu.

Benarkah dakwaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker kelmarin bahawa DAP perlu bertanggungjawab di atas keangkuhan, kesombongan dan keengganannya untuk memahami orang Me­layu dan menghormati agama Islam yang boleh menyebabkan perpaduan kaum berada dalam keadaan goyah? Dakwa Lian Ker, pe­mimpin dan ahli DAP gagal untuk memahami sensitiviti orang Melayu dan menjadi penyebab ketegangan kaum memuncak.

Hakikatnya jarang bagi MCA menyuarakan hal-hal sebegini. MCA kini sama seperti orang Melayu sudah boleh menilai secara kritis apa yang berlaku di sekeliling kehidupan hari ini. Bersih 4.0 menyerlahkan segala yang hitam dan putih.

Namun bagi penulis biarpun agak terlewat untuk Lian Ker bersuara selepas MCA dan rakannya, Gerakan kalah teruk dalam dua pilihan raya umum, tetapi sekurang-kurangnya MCA yang mewakili parti Cina dalam kerajaan sudah semakin sensitif bahawa memang ada yang tidak kena dengan tindak tanduk DAP selama ini.

Bukan kerana berani bersuara mempersoalkan DAP yang memusuhi UMNO, tetapi lebih jauh dari itu, MCA mahu keharmonian kaum dan kestabilan politik dan negara terus dipelihara.Bagi penulis, DAP bukan gagal memahami sensitiviti orang Melayu tetapi sebenarnya parti itu sengaja untuk ‘gagal memahami’.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bukanlah orang yang tidak cerdik. Tetapi entah apa yang tidak kena dengannya, seolah-olah ‘tidak ada orang Melayu di sekeli­lingnya, tidak mahu dihirau dan sensitif’.

Guan Eng kena matang berpolitik. Barangkali boleh tiru orang lama DAP, Dr. Tan Seng Giaw. Perkataan dan ayat-ayat yang diungkapkan Seng Giaw begitu tertib dan tenang walaupun se­ringkali beliau sedap-sedap ‘membelasah’ wakil rakyat BN.

Di satu aspek, apa yang berlaku hari ini termasuk kegawatan politik yang dicetuskan Bersih 4.0 wajar dijadikan pengajaran kepada BN terutama oleh 3.7 juta ahli UMNO. Kalau Bersih 4.0 bermotif politik, untuk mengguling kerajaan, yang bermakna menjatuhkan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, maka Bersih 4.0 wajar ditangani secara politik juga.

Iaitu, dengan cara ahli UMNO memperbaiki kekuatan parti, dengan tidak lagi bersandarkan keupayaan meraih 88 kerusi Parlimen yang juga kurang satu kerusi kekuatan yang diraih tiga parti dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2013.

Jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas, PKR (dan terbaharu Parti Amanah nanti), tidak lebih 800,000 orang. Tetapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya umum berturut-turut. Sama ada wajar atau tidak Himpunan Rakyat Bersatu dianjurkan, realitinya ada pihak yang sudah tidak tahan lagi diperlekehkan oleh pihak yang satu lagi.

Inilah bahananya apabila ‘nilai-nilai hak asasi’ dijadikan gong politik mereka, maka kita orang Melayu pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk. Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Setiap yang bernama Melayu dan Bumiputera harus memikirkan hal ini. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.’ - Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 09 September 2015 12.50AM

Tags: demonstrasi, politik
Subscribe

Posts from This Journal “demonstrasi” Tag

  • Perhimpunan 916 bakal undang padah?

    PERHIMPUNAN 916 bakal UNDANG PADAH? AKHBAR Sin chew Daily News bertarikh 9 September 2015 menyiar­kan artikel yang menyifatkan…

  • Bersih 4.0 kotorkan pandangan terhadap Cina

    Orang Cina di Malaysia yang berfikiran rasional pada hemat penulis tidak mungkin bersama perhimpunan Bersih 4.0 kerana mereka tahu sejak sebelum…

  • Haramkan Gerakan Jalanan

    SETIAP aksi tetap mencetuskan reaksi. Begitu hakikatnya apabila dua peserta Bersih 0.4 memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments