kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terap nilai 
murni sebagai 
agenda negara

PROGRAM peningkatan budi bahasa dan nilai murni dalam kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu tetapi perlu se­iring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyat yang berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta berintegriti kerana sistem nilai murni itu menjadi kayu pengukur sebenar sebuah negara maju. Adalah tidak bermakna pembangunan dilaksanakan dengan begitu pesat dan maju tanpa sistem nilai yang sewajarnya.

Di manakah nilai-nilai murni yang sepatutnya kita terap­kan dalam diri anak-anak muda kita apabila ada segelintir remaja yang melakukan tindakan biadab dan tidak bersopan sepertimana yang berlaku baru-baru ini apabila gambar pe­mimpin negara dipijak di khalayak ramai?

Perkara ini amatlah dikesali kerana anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin-pemimpin masa depan bertindak di luar batasan. Tindakan tersebut adalah tidak wajar sama sekali dan bukanlah budaya yang kita terapkan dalam kalangan generasi muda.

Tidak guna bagi kita mempunyai infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga sehingga gagal menyelenggara dengan baik semua kemudahan yang disediakan.

Ini dapat dibuktikan dengan beberapa sindrom negatif se­perti tabiat membuang sampah di merata tempat, memandu kurang sopan, kurangnya ke­sedaran sivik terhadap harta benda awam dan kekasaran terhadap pelanggan.

Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa.

Masalah atau gejala sosial yang berlaku pada hari ini, jika diperhatikan amat berkait rapat dengan nilai-nilai hidup sesuatu masyarakat, keluarga dan individu.

Dalam usaha menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin serta mengawasi anak-anak mereka dan dalam masa yang sama, mempertingkatkan komitmen bagi membina sebuah keluarga yang harmoni, memupuk nilai-nilai positif supaya anak-anak mereka menjadi warganegara yang produktif dan sihat dari segala segi sama ada mental dan fizikal.

Kerajaan dan agensi-agensinya serta badan-badan bukan kerajaan yang lain harus berganding bahu bagi meningkatkan usaha mengatasi masalah sosial yang berlaku pada hari ini. Setiap individu dan ahli keluarga perlu membina kekuatan dalaman sebagai asas utama.

Dalam meningkatkan kekuatan sesebuah keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani masalah sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan atau kursus seumpama haruslah dititikberatkan.

Komitmen serta menanam motivasi dalaman untuk melibatkan diri dalam membangunkan akhlak anak-anak dan para remaja tidak boleh diabaikan. Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga seterusnya bagi memastikan anak-anak dibesarkan dalam suasana harmoni dan baik serta diserapkan nilai-nilai murni untuk menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan.

Dengan cara melengkapi para ibu bapa tentang kemahiran tertentu secara langsung dapat memahami keadaan fizikal, mental, kepercayaan terhadap keagamaan emosi dan pembangunan sosiobudaya kepada setiap individu dalam sesebuah keluarga dan ini adalah penting bagi memastikan kejayaan (institusi kekeluargaan) sebagai benteng untuk memerangi masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

Sungguhpun masyarakat dan negara berbangga dengan kemajuan dan kejayaan ekonomi sekarang, namun kita perlu berhati-hati dan berwaspada dengan pelbagai rupa masalah sosial. Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya Internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, anak-anak dan remaja akan lebih mudah terdedah kepada pelbagai maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif.

Pembangunan dan keupayaan sesebuah keluarga penting dalam mendidik serta membimbing anak-anak hari ini untuk menjadi rakyat yang berguna dan positif bagi menghadapi cabaran pembangunan negara. Dalam usaha memperkuatkan pertalian keluarga, nilai-nilai tradisional yang baik haruslah sentiasa diutamakan oleh setiap ibu bapa.

Dalam hal mengukuhkan institusi kekeluargaan, kita harus mengambil berat tentang pendidikan dan kemajuan pelajaran anak-anak. Sikap suka mendengar serta berinteraksi dengan anak-anak secara terbuka dengan memberikan beberapa pandangan supaya dapat meningkatkan pemahaman mereka serta memajukan lagi diri mereka di dalam bidang pelajaran adalah penting.

Sungguhpun keperluan kebendaan itu juga penting untuk terus hidup, namun haruslah juga kita berusaha bagi mempertingkatkan pembangunan keluarga dengan nilai-nilai keagamaan sebagai landasan serta nilai-nilai moral dan bersedia untuk menunjukkan komitmen ke arah menangani masalah sosial.

Generasi muda masa kini mesti aktif dan membina kekuatan dalaman untuk menempa cabaran dunia yang serba moden nanti. Peranan ibu bapa, guru dan kerajaan amat penting dalam memastikan wujudnya generasi yang berwawasan.

Generasi muda juga adalah penggerak kemajuan negara dan semua pihak perlu berusaha supaya generasi muda kita tidak terus hanyut dalam arus masalah sosial yang tidak bermanfaat.

Penyelesaian dan pendekatan yang perlu dilaksanakan ialah melalui program penerapan dan peningkatan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda kita. - Lee Lam Thye Utusan Malaysia Rencana 10 September 2015

Tags: nilai
Subscribe

Posts from This Journal “nilai” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments