kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perhimpunan 916 bakal undang padah?

PERHIMPUNAN 916 bakal UNDANG PADAH?
AKHBAR Sin chew Daily News bertarikh 9 September 2015 menyiar­kan artikel yang menyifatkan per­­himpun­an ‘baju merah’ bakal disertai kira-kira 300,000 orang Melayu di ibu negara pada 16 September ini boleh mengundang padah.

Menerusi artikel bertajuk ‘Perhimpunan 916 tiada angin tiup gelombang’, penulisnya, Tan Pau Ching dalam rua­ngan Pendapat Yan Lu halaman 27 menyatakan kerisauan perhimpunan bersifat ‘dendam’ orang Melayu itu akan merosakkan kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.

Penulis menterjemahkan perhimpunan 916 tidak lebih dari sekadar mempamerkan kewibawaan Melayu tanpa membawa maksud atau tujuan tertentu melainkan hanya mencipta gelombang kerisauan dalam masyarakat.

916 dilihat sebagai tindak balas orang Melayu setelah melihat penyertaan kaum Cina yang mendominasi perhimpunan haram Bersih 4.0. Sehubungan itu, mereka merumuskan ia sebagai satu perhimpunan yang telah menghina kewibawaan orang Melayu.


KERATAN akhbar Sinchew Daily News bertarikh 9 September 2015.

Lebih membimbangkan, perhimpunan 916 dianjurkan pertubuhan yang mempunyai latar belakang politik mahukan 300,000 orang Melayu berbaju merah berhimpun di kawasan Chow Kit dan Bukit Bintang (termasuk sekitar Low Yat), iaitu lokasi dikenali pa­ling ramai penempatan orang Cina.

Berkaitan Bersih 4.0 yang didakwa menghina orang Melayu, penulis berpendapat perkara itu hanya diada-adakan sahaja. Buktinya, perhimpunan tersebut turut disertai kaum lain termasuk Melayu dan adakah mereka juga dituduh menghina kewibawaan kaum sendiri?

Jika benar dakwaan itu, apakah pemimpin-pemimpin Melayu se­perti Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Mohamed Azmin Ali dan Mohamad Sabu akan hadir? Lebih mengejutkan, kelibat Tun Dr. Mahathir Mohamad pada perhimpunan Bersih 4.0!

Hakikatnya, perhimpunan Bersih 4.0 selama 36 jam itu berakhir secara aman dan ini membuktikan peserta yang hadir mewakili suara rakyat yang mahukan perubahan dalam birokrasi pentadbiran kerajaan. Kebe­tulan, majoriti peserta disertai kaum Cina, jadi apa masalahnya?

Undang-undang Perlembagaan negara memperuntukkan hak rakyat untuk meluahkan hasrat mereka menerusi perhimpunan secara aman dan ini adalah amalan lazim dalam sistem demokrasi dan sepatutnya dihormati.

Pada hemat penulis, ada pihak tertentu yang secara sengaja cuba mengubah perhimpunan Bersih 4.0 menjadi perhimpunan yang menghina orang Melayu dan dengan jelas di situ ada agenda politik.

Penulis juga mempersoalkan pendirian UMNO dan menteri Kabinet seperti acuh tak acuh berhubung perhimpunan 916. Malah ada sesetengah pemimpin tertinggi UMNO menyatakan secara terbuka akan menghadiri perhimpunan tersebut.

Hakikat yang perlu diketahui ialah rakyat kini menghadapi dilema kepercayaan kepada pemimpin selain kemelesetan ekonomi yang menjejaskan kehidupan mereka, sama sekali tidak ada kaitan dengan masalah hubungan antara kaum.

Adalah lebih baik tarikh 16 September ini diraikan sebagai hari perpaduan untuk rakyat Malaysia, dan bukannya dicemari dengan perhimpunan yang boleh membelakangkan semangat masyarakat berbilang kaum.

DILEMA MCA

Ketelusan bekas pemimpin MCA memperlihatkan kelemahan kepemimpinan sedia ada parti itu turut dikupas oleh akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 8 September 2015.

Artikel bertajuk ‘Dilema MCA’ itu ditulis pengarang akhbar ber­kenaan yang disiarkan dalam Ruang­an Pendapat halaman B9.

Secara terbuka, bekas Naib Pre­siden MCA, Gan Ping Sieu baru-baru ini mengkritik kepemimpinan atasan parti itu yang tidak tahu memimpin dan berpendirian, tidak ubah umpama mayat bergerak. Kritikan itu menimbulkan kemarahan kepe­mimpinan tertinggi MCA, dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong antara yang memberi respon.

Ka Siong ‘membongkar’ ke­lemah­an Ping Sieu sendiri sewaktu menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan suatu ketika dahulu. Ping Sieu didakwa turut tidak mampu bersuara seperti mana pembangkang dalam isu-isu berkaitan kaum Cina ketika itu.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bertanggapan dalam keadaan MCA menghadapi cabaran getir ketika ini, Ping Sieu tidak sepatutnya menjadi pe­rosak kepada parti.

Sebagai bekas pemimpin ter­tinggi MCA, Ping Sieu harus melalui saluran parti untuk kemukakan pendapat dan pandangan berbeza, dan bukannya ‘merestui’ perhimpunan haram Bersih 4.0.

Ping Sieu dalam forum anjuran Malaysiakini yang bertajuk ‘1MDB: Protes Rakyat atau Dewan Rakyat’ baru-baru ini menyifatkan perhimpunan Bersih 4.0 menjadi referendum suara rakyat.

Ia sebagai melahirkan rasa marah dan kecewa yang dihadapi rak­yat kepada pemerintahan kerajaan berhubung pelbagai krisis yang melanda negara ketika ini. Apa yang disebut Ping Sieu berkaitan isu itu memang disukai orang ramai, tetapi sebagai pemimpin MCA, Tiong Lai menyifatkan tindakannya itu sebagai tidak adil kepada parti itu.

Dari segi teori, pembangkang memang mempunyai banyak ruang untuk menghentam kerajaan, tetapi tindakan Ping Sieu ‘membelasah’ orang sendiri akan menyusahkan parti itu.

Tidak dinafikan, MCA ketika ini menghadapi defisit semangat politik berikutan kejatuhan parti itu dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 dan 2013.

Selain itu, hubungan antara kaum yang agak tegang ekoran perhimpunan haram Bersih 4.0 melebarkan hubungan antara kaum Cina dan Melayu, sedikit sebanyak menggusarkan MCA.

Kecuali MCA sudah bukan lagi ahli komponen dalam kerajaan, apakah tiga menteri Kabinet dari parti itu baharu boleh bebas bersuara sebagaimana pembangkang? Pada hemat penulis, menteri Kabinet dari parti MCA tidak boleh berdiam diri, sebaliknya kena berani bersuara membincangkan isu-isu besar menerusi platform yang sepatutnya.

Persoalannya, adakah menteri-menteri MCA pernah melakukannya? Bagaimana pula MCA mampu menerangkan kepada masyarakat Cina bahawa parti itu telah sedaya upaya berusaha ke arah itu? Inilah delima yang paling mencabar apabila sesebuah parti itu dalam kea­daan lemah.

Tags: demonstrasi, politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments