BIDANG kuasa Persekutuan dan negeri ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan). Undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Kuasa membuat undang-undang Persekutuan terletak kepada Parlimen Persekutuan (Parlimen).
Perlembagaan juga memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (BPN) untuk membuat undang-undang bagi mewujudkan kesalahan-kesalahan berkenaan suruhan agama Islam (precepts of Islam) khusus bagi orang yang menganut agama Islam sahaja. (Penggunaan kata-kata “jenayah Islam” bagi kesalahan-kesalahan itu tidak tepat kerana terlalu luas).
Parlimen tidak boleh membuat undang-undang mengenai perkara yang terletak di bawah bidang kuasa negeri dan BPN tidak boleh membuat undang-undang mengenai perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Jika dilakukan, undang-undang itu tidak sah.
Selain itu, bagi kesalahan-kesalahan yang terletak di bawab bidang kuasa negeri pun, terdapat had hukuman yang boleh diperuntukkan. Ia ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang mengehadkan hukuman penjara tidak lebih daripada tiga tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000. Jika BPN menetapkan hukuman selain dari itu atau lebih dari itu, peruntukan tersebut tidak sah.
Undang-undang jenayah Persekutuan terkandung di dalam Penal Code (memberi satu misalan mudah yang telah wujud sejak 1936. Semestinya kesalahan-kesalahan yang terkandung di dalamnya adalah “undang-undang jenayah”. Jika tidak apa lagi?
Sepanjang yang penulis tahu, Parlimen tidak pernah melanggar bidang kuasa negeri. Masalah timbul sekarang kerana BPN cuba melanggar bidang kuasa Persekutuan.
BPN Kelantan telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) dan Pindaan 2015. Enakmen itu membuat undang-undang (legislate) mengenai undang-undang jenayah Persekutuan yang terdapat dalam Penal Code mengenakan hukuman berlainan dan lebih daripada yang dibenarkan oleh Akta 355, oleh itu bercanggah dengan Perlembagaan dan Akta355 dan oleh itu, tidak sah dan batal.
Meminta kebenaran Parlimen kemudian dan meminda Akta 355 kemudian tidak akan menjadikannya sah, sebab pada masa BPN membuat undang-undang, ia tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.
Apakah Kerajaan Negeri Kelantan boleh buat sekarang? Enakmen itu hendaklah diketepikan sahaja. Selain itu, ada beberapa pilihan yang Kelantan boleh buat. (Untuk memudahkan perbincangan penulis tumpukan kepada hudud sahaja).
Pertama, Kelantan boleh minta Kerajaan Persekutuan (Persekutuan) untuk meminda Akta 355 untuk membolehkan BPN membuat undang-undang bagi mengenakan hukuman hudud yang terletak di bawah bidang kuasa negeri (zina, menuduh orang berzina, murtad, meminum minuman yang memabukkan).
Jika Persekutuan melalui Parlimen meminda Akta 355, maka BPN bolehlah membuat semula undang-undang yang mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan tersebut. Undang-undang itu adalah undang-undang negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah. Penulis namakan ini sebagai pilihan pertama.
Pilihan kedua yang boleh dilakukan oleh Kelantan adalah meminta Parlimen supaya membenarkan BPN membuat undang-undang (legislate) mengenai kesalahan hudud yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan (membunuh, mencuri, merompak, merogol).
Jika Parlimen memberi kebenaran tersebut, maka bolehlah BPN membuat undang-undang (legislate) untuk mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan itu. Tetapi, perlu diingati bahawa kesalahan-kesalahan itu kekal sebagai undang-undang jenayah Persekutuan. Sebabnya, Parlimen hanya membenarkan BPN membuat undang-undang (legislate) mengenainya.
Parlimen tidak memindahkan kesalahan-kesalahan itu daripada bidang kuasa Persekutuan kepada bidang kuasa negeri. Untuk berbuat demikian Perlembagaan perlu dipinda. Ia memerlukan undi dua pertiga. Kesalahan-kesalahan itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan ditadbirkan oleh Mahkamah Sivil. Adakah itu yang Kelantan mahu? Persekutuan perlu fikir tentang implikasinya:
1. Adakah orang bukan Islam di Kelantan menerima hukuman hudud bagi kesalahan-kesalahan itu?
2. Sanggupkah Persekutuan menyerahkan sebahagian daripada undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasanya kepada Kelantan untuk dipakai hukuman hudud baginya?
3. Mahukah Persekutuan melihat, bagi beberapa kesalahan yang sama, di Kelantan lain hukumannya dan di negeri-negeri lain, lain pula hukumannya?
Pilihan ketiga ialah gabungan pilihan pertama dan kedua dengan implikasi-implikasinya sekali.
Paling ketara ialah di Kelantan akan ada dua set “undang-undang hudud”: satu set di bawah undang-undang negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan dibicarakan oleh Mahkamah Syariah manakala satu set lagi adalah undang-undang Persekutuan yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Itukah yang dikehendaki?
Pilihan keempat ialah minta Kerajaan Persekutuan meminda Penal Code an mengenakan hukuman hudud kepada kesemua kesalahan hudud yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.
Jika itu dilakukan, kesalahan-kesalahan hudud Persekutuan itu (bunuh, merompak, mencuri, merogol, liwat) akan kekal sebagai undang-undang jenayah Persekutuan yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil.
Sanggupkah Persekutuan berbuat demikian? Adakah Kelantan mahu keadaan seperti itu? Sanggupkah orang bukan Islam menerimanya?
Pilihan kelima ialah gabungan pilihan pertama dengan pilihan keempat dengan kesemua implikasinya. - Tun Abdul Hamid Mohamad Utusan Malaysia Rencana 11 September 2015