kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia tetap teguh dalam sanubari

KITA menyebut nama Malaysia hampir setiap hari. Malaysia menjadi sebutan, bukan sahaja dalam kalangan kita rakyat jelata, malahan di seluruh dunia jua.

Kita hidup di Malaysia, kita sayangkan Malaysia, kita mahu Malaysia menjadi kebanggaan kita dan keluarga kita. Namun, adakah kita sendiri mengenali dan bangga dengan nama, sejarah dan keperibadian negara kita ini?

Malaysia lahir daripada pengorbanan dan nadi perjuangan pemimpin dan generasi terdahulu. Daripada keakraban pelbagai bangsa yang bersatu dalam memastikan negara bebas daripada ancaman penjajah.

Daripada persefahaman dan persahabatan jitu dalam menjadikan negara ini gemilang. Daripada penyatuan budaya dan agama yang mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat yang makmur.

Bangga jadi anak Malaysia

Inilah Malaysia yang saya kenali, inilah Malaysia yang saya kasihi, sejak kecil hingga dewasa. Saya anak Malaysia namun saya juga berbangga menjadi anak jati Sabah.

Saya membesar dan melihat Sabah gah menjadi sebuah negeri yang makmur setelah merdeka. Ini memberi saya perspektif unik mengenai sebuah negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Saban hari saya pasti melintasi satu sudut di kediaman saya yang mana sebuah lukisan mencoretkan sejarah penting pembentukan Malaysia.

Lukisan itu menampilkan Tun Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Harun dan Tun Abdul Razak Hussein yang berdiri seiring di sebuah podium di Kota Kinabalu bagi menyambut kelahiran Malaysia tanggal 16 September 1963.

Di sebelah kiri lukisan itu, pelukis dengan sengaja memasukkan gelagat seorang anak muda yang sedang menari break dance! Lukisan itu mempunyai maksud yang terselindung.

Dalam kegembiraan dan rasa kesyukuran menyambut kemerdekaan, ketiga-tiga Tun itu rupanya turut risau mengenai kerapuhan jati diri anak-anak muda Malaysia pada masa akan datang.

Mudah-mudahan kerisauan semua bapa kemerdekaan itu tidak menjadi realiti. Kita semua harus berbangga merentasi susur masa sebagai anak Malaysia. Kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat hingga kini.

Dicurahkan oleh-Nya segala keamanan dan keharmonian buat negara yang kita cintai. Saya juga percaya bapa negara ini juga membayangkan sebuah negara yang harmoni serta punyai keunikannya yang tersendiri.

Sebuah negara yang punyai kehidupan yang berasaskan prinsip demokrasi yang utuh, dan berlandaskan undang-undang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saling membantu

Rakyat Malaysia yang saya kenali punyai sikap lemah lembut dan santun budi pekertinya. Rakyat Malaysia juga punyai perwatakan mulia sering bersedia membantu jika ada masalah menimpa.

Umpamanya ketika gegaran gempa bumi dan banjir lumpur di Sabah tahun ini, seluruh rakyat Malaysia berganding bahu mencurahkan keringat dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Jangan lupa juga tragedi di Lahad Datu. Seluruh Malaysia teguh bersama kami. Percayalah, Sabah hanya terpisah oleh Laut China Selatan, namun keutuhan perasaan cinta sesama kita telah bersemadi, dari dulu, kini sehinggalah ke akhir hayat.

Pada kesempatan tarikh yang bermakna ini, saya mengharapkan tiada lain selain hubungan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah terus kukuh berlandaskan perpaduan yang kita semai sejak berzaman.

Perasaan setia kepada negara masih berdiri teguh dalam sanubari, dan menjadi nadi perjuangan seluruh rakyat Malaysia. Saya ingin melihat penyatuan ini terus mekar tanpa sebarang onak dan domba, dan jika berlaku kegurisan kata, perbuatan jua, rakyat Malaysia harus bersatu bersama dalam menjadikan negara kita Malaysia antara yang terbaik di seantero dunia.

Saya Rahman Dahlan, dan saya anak Malaysia. Selamat menyambut Hari Malaysia.

Abdul Rahman Dahlan Berita Harian Kolumnis 17 September 2015
Tags: malaysia
Subscribe

Posts from This Journal “malaysia” Tag

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • From Malaya to Malaysia

    Growth and evolution are natural and necessary in any federal set-up. AS we commemorate Malaysia Day, it is important to look back at the mileposts…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments