Berbeza dengan saya, sudah tentu murid perempuan yang duduk sebelah saya dalam kelas sambil melihat buku teks, tak akan dapat berkata 'Itu Tok Merdeka'. Pelik. Kenapa?
Saya tak pernah jumpa datuk saya, tetapi membesar dengan mendengar cerita mengenai beliau. Saya cuba susun perca-perca sejarah ketika mendengar mak bercerita saat-saat manis dengan atuk.
Sebagai orang yang menolak kerusi roda atuk, mak banyak melihat, mendengar dan berkongsi rasa dengan atuk. Mak kadang-kadang tersenyum bila teringat kenangan bersama bapanya yang suka bergurau.
Bapa yang mak kongsi dengan seluruh rakyat negara ini. Sewaktu membesar, saya mengumpul kenangan mengenai atuk dengan bertanya (atau menemubual, walaupun tidak disukai) mereka yang banyak bersama atuk; tukang masaknya, pemandunya, rakan dan teman seperjuangan, tidak ketinggalan kakitangan Memorial (Tunku Abdul Rahman) dan Arkib Negara.
Saya sedar tak pernah mengenalinya. Saya tidak kongsi keperibadiannya, jenakanya dan paling penting falsafah hidupnya.
Bagaimanapun, datuk yang tidak pernah saya temui memainkan peranan cukup besar dalam hidup saya dan saya hanya menyedarinya selepas 23 tahun.
Generasi ketiga warisi kerjaya peguam
Saya kini lebih memahami. Saya beruntung kerana berada beberapa tahun di luar negara mengikuti pengajian undang-undang Inggeris...(Saya tidaklah begitu bagus untuk pengajian ini di Universiti Cambridge).
Tetapi, saya mengikuti pengajian undang-undang kerana saya mahu menjadi generasi ketiga mewarisi kerjaya sebagai peguam. "Belajar undang-undang," kata atuk dalam suratnya kepada mak.
Mak adalah pelajar undang-undang, atuk juga dan sekarang saya pula. Selepas tiga bulan tamat pengajian, saya sedar mengikut jejak langkah atuk tidak mengecewakan kerana ia memang masuk akal.
Selama berada jauh dari tanah air, saya kini sedar betapa indahnya Malaysia. Sejarah dan keunikannya tidak ada di tempat lain. Ketika di luar negara, saya bertemu ramai orang dengan budaya berbeza.
Saya jadi lebih sensitif terhadap negara sendiri. Saya lihat bagaimana orang Eropah menghargai dan memahami sejarah mereka membuatkan saya malu kerana pengetahuan mengenai negara sendiri terbatas.
Saya juga nampak bagaimana orang Eropah merangkul erat budaya dan cara hidup mereka serta berbangga dengan identiti mereka. Ada kalanya saya bertanya: "Inikah pandangan Tok Merdeka terhadap kita rakyat Malaysia, berbeza budaya tetapi berbakat, justeru layak mempunyai negara sendiri."
Saya pernah kerja di kafe dan saya faham makna penat lelah mendapatkan wang. Tinggal di England tidak semudah disangka. Saya turut jadi sukarelawan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan di luar negara serta di Malaysia dan menyaksikan kemiskinan boleh menimpa sesiapa sahaja dan di mana jua.
Saya juga belajar erti sebenar kebahagiaan, anehnya, daripada mereka yang hidup gelandangan. Ia bukan berdasarkan berapa banyak wang yang kita miliki tetapi bagaimana kita melihat dunia.
Selepas pulang, saya sedar betapa mendalamnya nasihat atuk. Terngiang-ngiang pentingnya berfikiran positif.
Kagumi nasihat, tindakan atuk
Mencontohi etika kerja atuk, apabila berada dalam situasi tertentu, saya akan bertanya 'apakah yang akan atuk lakukan?' apabila melihat kembali peristiwa sejarah.
Selama beberapa tahun saya bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan pelajar.
Saya mengagumi nasihat dan tindakan atuk kerana ia sangat berguna dalam soal 'politik' pelajar.
Pengalaman 'politik' ini pada peringkat universiti buat saya bimbang masa depan, tetapi pada masa sama mengharapkan masa depan yang cerah.
Walaupun ada pihak buat saya bimbang, lebih ramai yang menanam nilai patriotisme dan harapan besar kepada saya. Ia membolehkan saya percaya bahawa Malaysia akan terus dilindungi.
Semua itu buat saya lebih faham kesukaran yang beliau hadapi. Banyak usaha dihabiskan untuk menghapuskan ancaman komunis. Beruntungnya kita kerana tidak hidup pada zaman sukar itu.
Sukar hidup sebagai bangsa dijajah. Untuk meyakinkan dan memikat hati penjajah bukan kerja senang. Selepas hidup di luar negara, saya memahami apa rasanya jadi mangsa diskriminasi.
Saya juga memahami sukarnya bersatu. Malah, lebih susah capai kesepakatan pada mesyuarat persatuan pelajar. Warisan dan kebajikan atuk meresap dalam sanubari kami, Tok Merdeka.
Saya menghabiskan masa di kampung jauh daripada kesibukan lebuh raya, rumah kampung yang tersorok di celah-celah pokok berusia ratusan tahun.
Betul cakap Tok Merdeka, negara kita memang cantik. Rakyatnya mesra. Saya gagal melihatnya sebelum ini. Saya tahu saya tidak kenal atuk. Dan saya rasa bersalah kerana tidak menghargai dan memahami lebih awal tempat yang saya panggil tanah air.
Saya kecewa kerana tidak berupaya melakukannya. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan panduan atuk melalui tulisan yang ditinggalkan sama ada dari buku, artikel dan jurnal. Saya diberi peluang untuk benar-benar memahami tanah air saya.
Tengku Nur Qistina Petri Tengku Mohamad Rizam Berita Harian Kolumnis 17 September 2015