kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keakraban antara pelbagai kaum semakin terhakis

Awal 1970-an, di tengah-tengah pekan Kulim, Kedah, ada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan di sebelah bangunan kayu yang dicat hijau gelap itu turut dibina sebuah rumah guru dengan reka bentuk dan cat warna yang sama.

Di alamat 24, Jalan Tunku Asaad inilah pasangan guru muda berketurunan India, Rajagopal Kuppusamy bersama Veerama Muniandy memulakan kehidupan dan menjadi tempat lahir penulis, yang menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanak di sebalik pembangunan pekan Kulim hingga menjadi antara kawasan paling pesat membangun di Kedah.

Betul-betul di belakang rumah terletak Tokong Cina Kwong Hock Keong, di tepi pasar dan perhentian bas serta teksi, sekali gus menjadikannya kawasan tumpuan masyarakat Melayu, Cina dan India setempat.


MENARA jam mercu tanda pekan Kulim, SJK Tamil dan pasar Kulim, Kedah.
Seperti kelaziman di kebanyakan tempat di Kedah, bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan utama di kalangan kami.

Difahamkan, pekan kecil mengambil nama sempena sejenis pokok (Scorodocarpus borneensis Becc) ini diasaskan kira-kira 100 Melayu Patani pada abad ke-18 sebelum disertai masyarakat Cina yang terbabit dengan perlombongan bijih timah pada pertengahan abad ke-19, disusuli buruh India yang dibawa bekerja di ladang getah milik British.

Saling membantu

Suasana era 1970-an jauh berbeza berbanding sekarang. Jam 10 malam pekan sudah lengang dan hanya perkhidmatan bas tertentu sahaja berterusan sehingga tengah malam dan tidak kurang juga yang terkandas di perhentian bas Kulim.

Pengangkutan untuk ke kampung masing-masing di daerah berhampiran seperti Junjung, Mahang, Baling, Padang Serai dan Serdang, selain ladang-ladang getah di pedalaman, hanya bermula jam 6 pagi berikutnya.

Bagi mereka, rumah Cikgu Gopal, yang kebetulan mempunyai serambi agak luas, menjadi tempat menumpang tidur dan seingat penulis, ratusan singgah tidur di sini, tidak kira apa bangsa mereka dan perkara itu diambil mudah oleh ibu bapa penulis kerana bagi mereka, harus saling membantu sesama manusia.

Malah, jika ada yang masih sempat bersua muka dengan kami, akan diajak bersarapan bersama sebelum masing-masing membawa haluan sendiri meskipun boleh dikatakan hampir semua mereka tidak kami kenali tetapi ramai yang menjadi kawan selepas itu.

Rumah Cikgu Gopal juga menjadi tempat penduduk setempat menyaksikan peninju, Muhammad Ali menewaskan Joe Bugner di Kuala Lumpur pada tahun 1975, yang disiarkan secara langsung oleh RTM.

Begitu juga apabila ada aksi pasukan bola sepak negara beraksi pada peringkat antarabangsa. Pada era 1970-an hingga awal 1980-an itu, tidak kurang 50 hingga 70 orang akan bersorak setiap kali menyaksikan aksi 'Tauke' Soh Chin Aun (kini Datuk), Mokhtar Dahari, Santokh Singh, 'Spiderman' R Arumugam, Jamal Nasir, James Wong, Abdullah Ali, Hassan Sani, Shukor Salleh, Bakri Ibni dan ramai lagi. Sama ada pertandingan kelayakan Sukan Olimpik 1971 di Seoul, Korea Selatan; Sukan Olimpik Munich 1972; pusingan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 atau mana-mana perlawanan bola sepak Pestabola Merdeka, semua akan bersorak menyaksikan televisyen yang dipindahkan ke ruang dapur bagi memuatkan lebih ramai orang.

Perpaduan terserlah

Kulim ketika itu turut menjadi perintis pembangunan pendidikan di Kedah dan terdapat lebih 25 sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina, Sekolah Tamil, Sekolah Agama, dan Sekolah Mubaligh, baik rendah atau menengah. Ini menyaksikan peningkatan guru bermastautin di Kulim, sama seperti ibu bapa penulis, sekali gus menjadikan pekan itu tumpuan masyarakat pelbagai kaum.

Namun ia tidak pernah menjadi isu meskipun bangsa dan agama yang dianuti adalah berbeza. Perpaduan juga jelas terserlah setiap kali sambutan Hari Kebangsaan atau hari perayaan utama lain kerana pelajar sekolah bertuah akan mendapat tiket menonton wayang percuma di Panggung Coronation, Cathay atau Capitol.

Apa yang menghairankan penulis, pada zaman yang menyaksikan banyak interaksi antara kaum itu, tidak pula ada yang memikirkan mengenai bangsa, warna kulit atau agama, sebaliknya persamaan yang ada menjadi ikatan yang memperkukuhkan lagi perpaduan dan semangat saling membantu.

Kini, perkara yang sepatutnya wujud secara alami ini terpaksa pula dibuktikan oleh kaum atau kumpulan tertentu supaya tidak dilabel bersikap perkauman, seolah-olah ada paksaan bagi menghebahkan cerita sesuatu kaum menolong kaum lain semata-mata bagi membuktikan perpaduan dan keharmonian masih subur dalam kalangan kita.

Kita mungkin berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan dan menuju ke arah kehidupan lebih selesa tetapi sifat bertimbang rasa, harmoni, perpaduan, ramah mesra, setia kawan, keakraban dan keserasian antara pelbagai kaum, kian lama kian terhakis.

Begitu mahal harga yang terpaksa kita bayar untuk mengecapi kemajuan ini.
Tags: perpaduan, sekolah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments