kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang melayu sedang diuji; Melayu tak akan bersatu lagi ...

APAKAH nasib orang Melayu jika mereka terus berpecah-belah? Bagaimana pula dengan soal perpaduan rakyat Malaysia jika sikap tidak menjaga sensitiviti antara kaum terus dibiarkan berleluasa?

Itulah persoalan yang ditimbulkan oleh Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di kediaman beliau di Bukit Katil, Melaka, kelmarin.

Sememangnya situasi politik semasa menyaksikan sudah ada keberanian luar biasa oleh pihak tertentu untuk mencabar orang Melayu sehingga memaksa pertubuhan seperti Pesaka tidak lagi boleh berdiam diri.

Bagi Mohd.Ali, segala-galanya berlaku kerana orang Melayu berpecah-belah dan keadaan itu menyebabkan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk melaksanakan agenda politik mereka.

“Orang Melayu berpecah-belah kerana kepentingan politik, sebab itulah kita lihat kalau orang Melayu dihina, Islam dihina tidak semua orang Melayu bangkit mempertahankan, malah ada kalangan orang Melayu memperlekehkan pula sebarang usaha mana-mana pihak untuk mempertahankan maruah dan martabat orang Melayu,” kata beliau.

Kenyataan itu merujuk kepada sikap sesetengah pemimpin politik Melayu yang terlalu takut apabila berlaku Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 16 September lalu. Mereka bimbang akan mencetuskan konflik perkauman kerana himpunan itu disertai keseluruhan orang Melayu.

“Kenapa perlu takut? Perbuatan kelompok tertentu memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan budaya orang Melayu. Begitu juga apabila orang hendak menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, takkanlah kita hendak membiarkan sahaja,” tegas Mohd.Ali.

Walaupun mengetuai Himpunan Rakyat Bersatu namun Mohd.Ali bukanlah seorang pemimpin yang taksub kepada demonstrasi. Bagi beliau, demonstrasi adalah langkah terakhir selepas melihat kebiadaban dan perbuatan melampau sesetengah pihak yang tidak tahu menghormati sensitiviti orang Melayu dan berpolitik secara tidak bermoral.

“Kenapa perlu ada demonstrasi Bersih yang jelas-jelas bertujuan menjatuhkan kerajaan? Sebuah negara aman hanya boleh dicipta jika kita memilih kerajaan melalui sistem demokrasi iaitu melalui pilihan raya bukan melalui demonstrasi. Bukan bila kita suka, kita adakan demonstrasi jatuhkan kerajaan sedia ada dan wujudkan kerajaan baharu.

“Kalaulah mana-mana pihak termasuklah pakatan pembangkang merasakan itu caranya, kita juga boleh berbuat demikian terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Selangor. Di kedua-dua negeri itu pun banyak isu tetapi apakah itu cara terbaik bagi menyelesaikan masalah?” tanya Mohd.Ali.

Justeru Mohd.Ali dengan tegas menyatakan, demonstrasi bukanlah cara terbaik bagi menggantikan mana-mana kerajaan kerana cara itu hanya akan menyebabkan negara terus berada dalam keadaan tidak stabil apabila satu demi satu demonstrasi diadakan oleh pihak yang menyokong dan menentang.



Mohd Ali Rustam

“Bayangkan dalam tempoh lima tahun pemerintahan ada enam kali demonstrasi menjatuhkan kerajaan, kalau begitu bila masa kita hendak bekerja untuk membina negara dan sudah tentu perpaduan akan lebih renggang terutamanya dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Mungkin atas faktor itu jugalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua demonstrasi jalanan dihentikan. Mengulas gesaan itu, Mohd. Ali berkata: “Memang kita tidak dapat buat perhimpunan, yang buat perhimpunan haram ialah Bersih sudah empat kali mereka berhimpun.

“Dalam perhimpunan itu mereka menghina pemimpin, hina Rukun Negara dan hina Perlembagaan negara, jadi kita rasa tercabar. Di mana kita hendak luahkan perasaan?

Laporan polis dah puas kita buat. Kita pun ada perasaan. Sebab itulah kita memilih untuk mengadakan demonstrasi yang dibenarkan oleh kerajaan,” katanya.

Bagi Mohd.Ali, demonstrasi tidak salah jika mengikut apa yang sudah termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi masalahnya tegas beliau peruntukan itu sudah disalahgunakan oleh pembangkang dan Bersih yang disokong oleh DAP.

Namun begitu sebagai seorang pemimpin Melayu dan berpengalaman luas dalam politik khususnya di peringkat akar umbi, Mohd. Ali melihat apa yang berlaku disebabkan orang Melayu berpecah-belah dan tiada tindakan tegas dari segi undang-undang terhadap perbuatan yang dilihat menghina orang Melayu dan Islam.

“Kelompok tersebut ‘naik muka’ kerana mereka melihat orang Melayu berpecah dan apabila ada orang menghina institusi Melayu mereka terlepas daripada pendakwaan. Ini menggambarkan undang-undang kita tidak digunakan dengan berkesan. Oleh itu apa yang mereka lakukan sekarang ialah menguji undang-undang negara,” tegasnya.


RIBUAN peserta melaungkan Hidup Melayu sempena Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, Kuala Lumpur, pada 16 September lalu. UTUSAN/IRWAN MAJID

Mohd. Ali membuat rumusan itu kerana bagi beliau puak-puak yang cuba mengganggu-gugat orang Melayu dan institusi Melayu serta agama Islam ingin melihat sejauh manakah undang-undang negara ini boleh digunakan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

“Saya fikir mereka cuba sedikit demi sedikit undang-undang negara dan bila mereka lepas sikit mereka buat lagi. Dulu mana ada orang berani hina Melayu, sekarang ini mereka dah berani kerana orang yang menghina itu tidak masuk penjara termasuklah orang yang pijak gambar pemimpin Melayu. Tetapi saya percaya kalau individu yang terlibat dihukum sudah pasti semua pihak akan akur terhadap undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun Mohd. Ali menganggap apa yang berlaku adalah ujian dan cabaran kepada orang Melayu. Mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berpegang kepada nilai-nilai murni sebagai rakyat yang berada dalam sebuah negara majmuk.

“Kita sedang diuji ketika ini sama ada kita akan mampu bertahan atau tidak, bergantung sejauh manakah kita berusaha memperkukuhkan ukhuwah Islamiah sesama kita. Kalau ada dalam kalangan orang Melayu masih leka dan lebih mementingkan keuntungan politik semata-mata sehingga sanggup bersekongkol dengan puak lain bagi menjatuhkan kepemimpinan negara melalui cara tidak sewajarnya, percayalah orang Melayu kehilangan segala-galanya suatu hari nanti. Ketika itu, kita menyesal pun tidak berguna lagi,” kata Mohd. Ali mengakhiri pertemuan lebih sejam tersebut.

SOAL penyatuan dalam ka­langan orang Melayu kembali diperkatakan. Tin­dakan peserta perhimpunan ha­ram Bersih 4.0 yang memijak gambar pemimpin-pemimpin Melayu memberikan isyarat ‘keberanian’ luar biasa kaum tertentu.

Malah dari semasa ke semasa, kita melihat wujud pelbagai tindak-tanduk yang menuntut orang Me­layu tidak boleh lagi menjadikan soal penyatuan mereka sekadar retorik. Perpecahan tidak mendatangkan faedah sebaliknya membuka jalan kepada pihak tertentu mengambil kesempatan se­hingga sanggup menghina pe­mimpin-pe­mimpin Me­layu.

Keberanian puak itu wujud kerana mereka tahu orang Melayu mempunyai kepincangan ketara dalam penyatuan sesama mereka waima bagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Selain perbezaan fahaman politik menjadi halangan utama, sikap pemimpin Melayu memungkinkan penyatuan orang Melayu sekadar satu impian.

Hakikatnya, orang Melayu tak kan bersatu selagi;

* Ada pemimpin Melayu yang sanggup bersekongkol dengan pi­hak lain bagi menjatuhkan ke­pemimpinan orang Melayu. Pemimpin Melayu yang berbuat demikian semata-mata kerana mahu merebut kuasa politik. Mereka sanggup menggadaikan apa sahaja malah mengkhianati parti sendiri asalkan cita-cita mendapat kuasa tercapai, biarpun apabila berkuasa nanti mereka sekadar ‘boneka’.

Kaum lain tidak sanggup berbuat demikian. Seburuk manapun kepemimpinan parti yang disertai, mereka tetap mempertahankannya demi kepentingan bersama khususnya kaum mereka.

* Ada pemimpin Melayu malu melihat orang Melayu berhimpun. Pemimpin seumpama itu dibelenggu politik kebencian. Bagi beliau, kalau perhimpunan itu bukan anjuran parti atau sekutunya ia tidak elok dan boleh membawa masalah negara.

Anehnya, pemimpin itu tidak pula malu apatah lagi tercabar apabila pemimpin kaum lain menghina dan mencerca habis-habisan pemimpin Melayu. Bayangkan kalaulah pemimpin Melayu yang bukan sekutu mereka boleh dihina sedemikian rupa, bagaimana jika pemimpin Melayu yang menjadi sekutu mereka? Tidakkah mereka akan menjadi seperti ‘lembu dicucuk hidung’ sahaja nanti?

* Ada pemimpin Melayu bertanya apa untung orang Melayu berhimpun. Sikap seumpama itu menyebabkan kaum lain akan tersenyum kerana apa sahaja di­buat oleh orang Melayu ditentang oleh pemimpin Melayu sendiri.

Sepatutnya dalam keadaan apa sekalipun sebarang perhimpunan yang boleh menyatukan orang Melayu perlu disokong bukannya dipandang sinis. Ini belum lagi ada pemimpin yang menggesa kerajaan bertindak tegas kepada perhimpunan orang Melayu tetapi tidak membuat gesaan kepada perhimpunan menghina pemimpin Melayu.

* Terlalu mahu menjaga hati pihak lain. Ada dalam kalangan pemimpin Melayu terlalu takut untuk bercakap membela nasib bangsa sendiri. Apa sahaja yang dibuat harus mengambil kira apa kaum lain akan cakap.

Memperjuangkan hak orang Melayu dan kepentingan Islam bukan bermakna kita rasis atau mengganggu-gugat hak kaum lain. Bagaimanapun ada dalam kalangan pemimpin Melayu yang masih ‘takut-takut’ dalam hal ini khususnya dari segi perolehan undi sedangkan kalau keputusan pilihan raya dikaji buat apa pun sokongan yang diharapkan terus sekadar sebuah mimpi.

* Kewujudan pemimpin Melayu liberal. Kelompok ini memperjuangkan kesamarataan sehinggakan orang Melayu tidak boleh lagi bercakap hak mereka dari segi Perlembagaan. Apa sahaja yang dilakukan oleh orang Melayu akan dipandang sinis biarpun hakikatnya segala yang dinikmati oleh mereka selama ini termasuk menjadi orang terkenal dan ternama adalah hasil perjuangan parti Melayu.

Bagaimanapun kita tidak boleh berputus asa untuk melihat pe­nyatuan dalam kalangan orang Melayu. Berbeza fahaman politik tidak boleh selama-lamanya menjadi penghalang orang Melayu duduk semeja bagi menjaga kepentingan mereka.

Usah dipedulikan apa orang lain kata, lagipun selama ini apa yang mereka lakukan tidak pernah pula memikirkan perasaan orang Me­layu.

Pemimpin-pemimpin Melayu tidak kira fahaman politik perlu ­ingat pesan orang tua-tua, ‘buat baik berpada-pada...’ supaya orang Melayu tidak menjadi kelompok Lebai Malang, ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’.

Tags: bersatu, melayu
Subscribe

Posts from This Journal “bersatu” Tag

  • 'Saya sedih, orang melayu tak bersatu' II

    Isu rintihan rakyat Di beberapa kawasan penduduk membantah pembinaan kondominium mewah dan juga jalan raya bertol. Tuanku ada pandangan dalam hal…

  • 'Saya sedih, orang melayu tak bersatu' I

    SUASANA dalam wawancara dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan ke-70 kali ini berbeza. Tidak seperti…

  • Melayu Bersatu

    Salam sejahtera, salam Satu Malaysia. Yang Amat Berhormat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments