kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran lahirkan insan seimbang

MELAHIRKAN pelajar yang seimbang dalam akademik, moral dan akhlak adalah cabaran didikan negara.

Menyedari kepentingan isu itu, Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam siri kelimanya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, mengupas topik tersebut secara panjang lebar, kelmarin.

Ketika pencapaian pelajar dapat dinilai berdasarkan kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa selaku seorang daripada tiga ahli panel program itu membangkitkan persoalan bagaimana pula untuk mengukur kemantap­an nilai-nilai murni akhlak, moral dan keperibadian seseorang pelajar?


PROGRAM Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak kelmarin yang dikendalikan Hezri Rahil Hillaluddin (dari kiri) selaku moderator, menampilkan P. Kamalanathan, Dzulkifli Abdul Razak dan Zakaria Kasa sebagai ahli panel. UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Dua ahli panel lain siri kali ini yang bertajuk, Pendidikan di Malaysia Goyah? ialah Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Pengerusi LeapEd Services Sdn. Bhd., Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. Pengacara slot Selamat Pagi Malaysia di RTM, Hezri Rahil Hillaluddin bertindak sebagai moderator.

Menurut Profesor Dr. Zakaria, adalah jelas sukar untuk menilai etika seseorang pelajar malahan aspek ini kurang dikaji.

“Kita memang cemerlang dari segi akademik, kemahiran namun apakah kayu ukur untuk menilai pelajar yang mempunyai nilai-nilai masyarakat yang tinggi? Sedangkan ini isu pokok yang harus diselesaikan. Sehingga hari ini kita masih gagal hendak mengukur nilai masyarakat dan etika kerohanian pelajar,” katanya.

Hakikatnya, tidak ada gunanya taraf pendidikan yang tinggi sekiranya akhlak, kerohanian dan nilai kemasyarakatan tiada dalam diri pelajar.

Natijahnya boleh membawa kepada keruntuhan akhlak, moral dan nilai kemanusiaan. Apatah lagi dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia, apabila tiada nilai kemasyarakatan dan saling menghormati, maka perpaduan tidak akan wujud lagi.

Namun mungkinkah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan PPPM (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 mampu menjadi model terbaik melahirkan pelajar seimbang seperti yang diharapkan?

Dalam hal ini, Kamalanathan ya­kin matlamat melahirkan pelajar seimbang dari segi JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek seperti terkandung dalam PPPM akan tercapai asalkan semua pihak memberi kepercayaan penuh dan menyokong pelaksanaan pelan berkenaan.

Beliau mengakui kadang-kala terdapat pelajar yang terperangkap dalam isu etika kerana lebih menumpukan soal akademik. Namun perlu diingat katanya, tanggungjawab memastikan para pelajar dilengkapi moral dan akhlak yang baik bukan menjadi tanggungjawab kementerian atau warga pendidik sahaja tetapi memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa.

Jika diamati, lima aspirasi tunjang dalam PPPM iaitu akses, kualiti, emosi, perpaduan dan kecekapan jika diterapkan dalam kalangan pelajar sudah cukup untuk membentuk generasi yang mempunyai keseimbangan dan harmonis.

“Akhirnya, isu etika ini kadang-kala berbalik kepada individu. Kenapa ada orang memiliki ijazah tetapi terperangkap dengan jenayah kolar putih?” soal Kamalanathan.

Dalam hal ini, beliau meminta orang ramai agar jangan terlalu cepat mengkritik dasar yang diperkenalkan untuk menambah baik sistem pendidikan negara sebaliknya memberi peluang untuk sesuatu dasar itu se­perti PPPM dilaksanakan terlebih dahulu sebelum hendak diperkatakan tentang kejayaannya.

“Finland yang kini mempunyai sistem pendidikan antara terbaik di dunia pun mengambil masa kira-kira 40 tahun untuk membangunkannya. PPPM menyasarkan pembangunan pendidikan dalam tempoh 15 tahun dan kita baru dalam fasa pertama iaitu kira-kira dua tahun melaksanakannya, itu pun sudah menunjukkan tanda-tanda kejayaan,” katanya.

Profesor Dr. Dzulkifli turut bersetuju dengan Kamalanathan dan mengingatkan masyarakat dan pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan agar berhati-hati dalam memilih model pendidikan negara luar yang belum tentu sesuai dengan budaya dan negara kita.

Beliau mengambil contoh sistem pendidikan di Korea Selatan yang dikatakan antara terbaik di dunia dan menjadi ikutan negara-negara lain namun, tidak ramai yang tahu bahawa kadar bunuh diri akibat tekanan untuk mencatat kecemerlangan di negara tersebut adalah yang tertinggi di dunia. Keadaan yang sama menurutnya, turut berlaku di Jepun, China, Singapura dan Hong Kong.

“Adakah ini dinamakan kejayaan dalam sistem pendidikan? Kita jangan ikut sahaja kerana akhirnya kita yang akan kecundang.

“Sistem pendidikan kita perlu mengikut acuan kita sendiri seperti yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Negara yang menuntut pembangunan insan dari segi sifat kepimpinan, aspek bahasa, berilmu dan beraspirasi yang membentuk insan yang baik segi emosi dan intelektualnya,” kata Dzulkifli.

Dalam pada itu, isu sekolah satu aliran atau Sekolah Kebangsaan untuk menanam nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat bermula di peringkat rendah turut dibangkitkan dalam advokasi tersebut.

Menyentuh isu ini, Kamalanathan berpandangan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) atau vernakular perlu dikekalkan kerana tidak menghalang perpaduan kaum.

“Sekolah vernakular ini bukan tempat kita menyemai kebencian antara kaum malah pelajar diajar menghormati kaum lain. Di sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini juga ada pelajar-pelajar daripada kaum lain. Ini adalah satu legasi.

“SJK Tamil (SJKT) yang pertama di negara ini berusia 150 tahun dan para pelajar dari SJKT juga menunjukkan kecemerlangan,” katanya.

Pendapat ini disokong oleh Profesor Dr. Dzulkifli yang berpendapat SJK merupakan antara kepelbagaian dalam sistem pendidikan negara dan harus digalakkan.

Namun, tegas beliau, dalam kepelbagaian itu perlu ada titik pertemuan di mana para pelajar dari pelbagai aliran ini dapat disatukan untuk membentuk perpaduan.

“Jika ada kepelbagaian tetapi kita gagal menyatukan mereka, bermakna kepelbagaian itu akan menjadi pincang.

“Dalam sistem pendidikan abad ke-21, sistem pendidikan berasaskan ‘belajar untuk hidup bersama’, iaitu bersekolah bersama-sama dan hidup bersama-sama. SJK di negara ini adalah antara kepelbagaian dalam sistem pendidikan kita dan tidak perlu dikuburkan untuk membentuk perpaduan,” katanya.

Dalam hal ini, Profesor Dr. Zakaria menarik perhatian mungkin sudah sampai masanya diwujudkan ‘Sekolah Malaysia’ di mana semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung tanpa perlu mengetepikan bahasa ibunda masing-masing, sekali gus dapat membina perpaduan rak­yat sejak dari peringkat usia muda.

Tags: insani, pendidikan, pppm
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments