?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Penyakit tunjuk pandai di alam maya

SEKARANG ini, hendak jadi popular atau mahu dikenali ramai bukannya susah sangat. Tidak perlu jadi seorang artis, bersusah payah bertunggu-bertangga masuk sesi uji bakat untuk layak ke Akademi Fantasia (AF), tidak perlu juga jadi seorang ahli sukan, pemain bola sepak atau ahli politik yang suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kontroversi.

Cukup dengan membuka akaun di laman sosial seperti Facebook, menulis dengan ilmu yang ada atau tahu, atau tidak kurang juga merapu meraban dengan jenaka sarcastic pun boleh menjadikan sesiapa saja popular apabila karya-karya atau status-status mereka dikongsi oleh orang ramai.

Walaupun sebenarnya orang itu biasa-biasa sahaja, bukan seorang ulama, bukan seorang selebriti, bukan seorang pelawak atau bukan tukang masak yang mahir, dia boleh saja jadi terkenal apabila apa yang dia tulis, gambar atau statusnya menjadi viral dalam laman-laman sosial.

Dek kerana kegilaan orang ramai berkongsi status atau karya inilah, membuatkan pemilik-pemilik akaun media sosial ini menjadi lebih bersemangat untuk menulis atau mengemaskini status. Apatah lagi perkara yang disentuh itu membabitkan isu-isu terkini yang orang semua ingin tahu dan tidak senang duduk untuk mengeluarkan pendapat mereka mengenainya.

Kalau yang ditulis itu memberi manfaat kepada orang lain dan memberi gambaran yang lebih jelas tentang sesuatu isu itu, ini tidak mengapa, malah amat baik untuk dikongsi. Tidak kisahlah, sekiranya ia ditulis dalam apa gaya penulisan pun termasuk jenaka yang bersahaja, asalkan orang ramai faham dan dapat membaca mesej yang ingin disampaikan, itu sudah cukup.

Ini sebenarnya adalah lebih baik, daripada penulisan yang serius dan ilmiah kononnya tetapi bersandarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih, mendengar daripada cakap-cakap orang, melalui pemerhatian rambang atau cut and paste daripada artikel-artikel orang lain.

Dan yang lebih teruk, ada juga, yang mengambil hasil tulisan orang lain, kemudian letak dalam statusnya tanpa kredit nama penulis asal dengan harapan agar orang ramai akan memuji-muji kebijaksanaan dirinya dalam mengupas sesuatu isu. Ini banyak berlaku.

Sebenarnya, sesuatu yang perlu kita akui dan tidak boleh menafikan bahawa sikap menunjuk pandai memang ada di mana-mana sahaja di sekeliling kita. Bukan sahaja menunjuk pandai di tempat kerja, di rumah tetapi juga di alam maya.

Tidak kiralah apabila ada saja isu yang dibangkitkan atau berlaku apa sahaja insiden besar dalam negara atau luar negara, ramai yang tidak sabar-sabar mahu melontarkan pendapat masing-masing melalui penulisan yang sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh hal-hal peribadi dan emosi, bukan berdasarkan fakta dan ilmu.

Apa yang pasti, apa yang ditulis boleh sahaja mempengaruhi orang lain. Kepada yang menjadikan media sosial sebagai satu-satunya saluran untuk mendapatkan maklumat dan berita, mereka akan percaya dan mencedok habis-habis apa yang dibaca. Tulisan itu boleh juga mengubah persepsi mereka terhadap mana-mana pihak, sedangkan ada yang menulis berdasarkan apa yang dia mahukan, tidak menggambarkan perkara yang sebenar atau dia sendiri sebenarnya tidak tahu apa yang ditulisnya. Sekadar mahu menunjuk yang dia tahu segala-galanya atau sebenarnya gilakan perhatian.

Adakalanya pendapat kita hanya sesuai untuk diri sendiri atau dikongsi dengan orang terdekat, bukan dengan semua orang kerana ia boleh mencetuskan keresahan dan kemarahan orang ramai.

Maka, tulislah perkara-perkara yang kita sendiri tahu, mahir dan ada ilmu mengenainya. Jangan hanya mahu tunjuk pandai atas perkara-perkara yang diri sendiri tidak tahu yang akhirnya satu dunia boleh membaca kebodohan itu. - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 30 September 2015 1:21 AM

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow