kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Format baharu UPSR bantu kuasai bahasa Inggeris

Pengenalan kertas Bahasa Inggeris (BI) Pemahaman dan BI Penulisan yang menjadikan enam kertas wajib diambil calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula pada tahun 2016 dilihat langkah penting dalam memperkasakan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, keputusan membahagikan subjek BI kepada dua gred itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sekadar penambahbaikan daripada UPSR sebelum ini yang memerlukan murid mengambil Kertas 1 dan Kertas 2 bagi subjek BI dengan markahnya digabungkan menjadi satu gred. Ini bermakna bagi UPSR tahun depan, calon UPSR yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang A dalam semua subjek akan memperoleh keputusan 6A berbanding 5A sebelum ini, manakala bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK) pula akan memperoleh 8A berbanding 7A.

Format baharu UPSR yang diumumkan semalam itu mampu membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik, malah memberi tempoh bersesuaian sebelum pelaksanaan wajib lulus bagi subjek BI dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sebelum ini ditangguh.

Dua kertas bahasa Ini membuktikan kesungguhan dan keprihatinan Kementerian Pendidikan meningkatkan penguasaan murid dalam subjek bahasa, seiring dengan langkah sebelum ini yang memperkenalkan dua kertas, iaitu Pemahaman dan Penulisan bagi subjek Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Cina atau Tamil bagi pelajar di SJK ketika Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan.

Langkah itu bukan saja memberi peluang kepada pelajar untuk lebih bersedia apabila syarat wajib lulus BI dalam SPM diperkenalkan, bahkan memberi laluan kepada guru untuk menyediakan program lebih komprehensif bagi membantu setiap pelajar menguasai bahasa Inggeris.

Format baharu UPSR yang diumumkan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Datin Nawal Salleh, mengekalkan format UPSR sebelum ini, namun dengan beberapa penambahbaikan penting yang bakal mencorak hala tuju sistem pendidikan Malaysia. Nawal berkata, perubahan format itu bersempena kohort pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan menduduki UPSR bermula tahun 2016.

"Pengenalan format baharu ini diharap dapat melahirkan insan yang lebih seimbang, kreatif, kritis dan inovatif. Apa yang penting, ibu bapa tidak terlalu memberi tumpuan kepada keputusan semua A semata-mata, kerana UPSR ialah untuk menilai pencapaian murid," katanya.

Pengumuman itu secara tidak langsung menafikan desas-desus sebelum ini yang menyatakan format UPSR pada 2016 akan diubah membabitkan soalan subjektif sepenuhnya seperti diperkenalkan dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada tahun 2014, selain ada menyatakan subjek Sejarah yang diperkenalkan dalam KSSR akan turut diuji pada format baharu UPSR kelak.

Keputusan itu pasti membuatkan ramai ibu bapa dan guru menarik nafas lega. Pengenalan soalan subjektif sepenuhnya dikatakan tidak sesuai bagi peringkat sekolah rendah kerana dibimbangi menyebabkan murid khususnya di luar bandar gagal bersaing dengan murid di sekolah bandar yang ada lebih banyak kemudahan terutama sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta syarikat korporat.

Tambah soalan objektif Selain pengenalan subjek BI dipecahkan kepada dua gred atau dua kertas itu, format baharu UPSR mengurangkan soalan objektif aneka pilihan, menambah soalan objektif pelbagai bentuk dan soalan berbentuk respons terhad dalam kertas Pemahaman bagi semua subjek bahasa (BM, BI, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil). Bagi kertas Penulisan semua subjek bahasa, jenis instrumen dan item dikekalkan, iaitu ujian subjektif membabitkan respons terbuka, iaitu soalan menilai kefahaman pelajar memberi jawapan secara rasional dengan maklumat bersesuaian.

Bagi memudahkan kefahaman masyarakat, kertas Penulisan dalam kata mudah ialah penyoalan berbentuk karangan yang menguji kemahiran aplikasi bahasa, maklumat dan kreativiti, manakala kertas Pemahaman akan menilai pengetahuan dan kefahaman sistem bahasa seperti tatabahasa.

Kertas Sains dan Matematik masih membabitkan dua kertas yang markahnya digabungkan, iaitu Kertas 1 dengan 40 soalan berbentuk objektif aneka pilihan yang membawa 40 markah dan Kertas 2 membabitkan soalan berbentuk objektif pelbagai bentuk serta respons terhad (Sains 8 soalan dan Matematik 15 soalan).

Antara contoh soalan pelbagai bentuk ialah suai padan, salah atau betul, ya atau tidak dan isi tempat kosong, manakala respons terhad ialah penyoalan subjektif membabitkan jawapan tetap/fakta (untuk maklumat lanjut, sisipan Didik yang disiarkan dalam BH setiap Isnin menyediakan latihan berkenaan).

Bagaimanapun, calon UPSR pada tahun 2016 sudah didedahkan dengan bentuk soalan yang dinyatakan sejak tahun 2011 ketika kohort pertama KSSR dilaksanakan.

Kesimpulannya, format baharu UPSR ini diharap dapat melahirkan murid yang memahami pengajaran bukannya sekadar menghafal. BH difahamkan bermula semalam, sesi taklimat bagi guru Jurulatih Utama mengenai format baharu UPSR itu dilaksanakan bagi melatih semua guru di seluruh negara.

Fadzlena Jafar Berita Harian Kolumnis 30 September 2015
Tags: assessment, exam, pentaksiran, upsr
Subscribe

Posts from This Journal “pentaksiran” Tag

  • Skor markah bukan tujuan peperiksaan

    ISTILAH penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Gred Inflasi Stagflasi

    Apa yang kita lihat bukan inflasi gred: ini adalah tahap stagflasi Ini adalah peraturan umum bahawa apabila kuantiti item meningkat, nilai…

  • Melengkung Gred: Apa yang tidak kena?

    Istilah penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments