kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memperkasa Bahasa Kebangsaan

USAHA mendaulat, memperkasa dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sewajarnya menjadi tanggungjawab semua murid, guru, rakyat, dan pemimpin di negara ini. Usaha ini tidak harus dipandang ringan dan mudah. Ini disebabkan usaha ber­kenaan membabitkan rasa cinta, rasa tanggungjawab dan keprihatinan yang mendalam terhadap bahasa Melayu.

Bulan Oktober setiap tahun adalah Bulan Bahasa Kebangsaan yang meminta kita mengangkat dan menggunakan bahasa Melayu de­ngan betul, tepat dan berkesan dalam semua urusan kehidupan seharian. Usaha ini boleh dilakukan dengan berkesan di peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan di pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sama ada di media baharu atau urusan seha­rian perlu betul, tepat dan berkesan. Bahasa yang baik, betul dan tepat akan mencerminkan ketamadunan dan kesantunan bangsa yang cemerlang. Inilah tanggungjawab yang harus dilaksanakan dan dipikul oleh setiap rakyat.


SELAIN meningkatkan pengetahuan mengenai isu-isu semasa, membaca akhbar berbahasa Melayu juga mampu mengayakan perbendaharaan kata. GAMBAR HIASAN

Sejak lama dahulu, sejarah dan perkembangan bahasa Melayu agak panjang iaitu dari sebelum merdeka sehingga selepas kemerdekaan bahasa Melayu berkembang pesat dan menjadi nadi kehidupan masyarakat sama ada rakyat biasa yang terdiri daripada peniaga, pekebun, buruh hinggalah kepada pemimpin atasan menggunakannya sebagai bahasa perantaraan mereka dalam percakap­an dan urusan seharian yang dise­lang-seli dengan pantun, peribahasa dan kata-kata hikmat.

Namun, sekitar tahun 80-an hingga 90-an bahasa Melayu me­ngalami kemuraman, apabila bahasa Inggeris mula mengambil tempat sebagai bahasa pertuturan terutama dalam kalangan menengah Me­layu. Ini diikuti dengan pelaksa­naan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ing­geris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah di negara ini.

Pada awalnya, Kementerian Pendidikan melalui Kajian Pembangunan Pendidikan 2001-2010 iaitu Perancang­an Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan menegaskan negara memerlukan ramai tenaga manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi. Untuk memenuhi keperluan tersebut, sistem pendidikan telah menetapkan dasar 60:40 (Sains/Teknikal: Sastera). Bagi merealisasikannya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Kerajaan kemudiannya mengambil keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan PPSMI selepas mendapat tentang banyak pihak terutama para pejuang bahasa manakala hasil kajian mendapati pencapaian murid dalam kedua-dua mata pelajaran itu merosot.

Pemansuhan PPSMI mengembalikan kedaulatan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. Murid dapat belajar dengan lebih mudah dan berkesan melalui pembelajaran yang menggunakan bahasa kebangsaan.

Apa yang lebih penting dalam usaha mendaulatkan bahasa Me­layu adalah mengembalikan subjek Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi. Ramai kalangan murid keliru dengan istilah ini dan menyebabkan mereka tertanya-tanya kenapa harus ditukar? Ini amat penting menerusi sistem pendidik­an yang mampu membina sebuah negara bangsa yang berbudaya dan bertamadun.

Kini melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM (2013-2015) (Pendidikan prasekolah hingga lepasan menengah) bahasa kebangsaan diberikan perhatian melalui lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia iaitu melalui akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Melalui kemahiran dwibahasa iaitu setiap kanak-kanak akan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap minimum. Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja.

Di samping itu, kementerian akan menggalakkan semua murid mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Seterusnya, menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan menje­lang 2025.

Jika dikaji dan diteliti pandangan orang luar terutama Barat masih memandang bahasa Melayu sebagai bahasa yang mempunyai ke­tinggian nilai ilmu dalam pelbagai bidang seperti pertanian, penternakan, budaya dan adat resam. Hal ini terbukti melalui kajian pengkaji Barat terhadap Melayu seperti R. J Wilkinson, O.T Dussek dan R. O Winstedt yang pernah menyatakan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami bahasa dan sasteranya.

Renungkan dan lihatlah kefasihan, kepetahan dan kelancaran peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) dari 51 negara tidak lama dulu meliputi enam benua bertanding bagi kategori antarabangsa dan nusantara menonjolkan penguasaan bahasa Melayu yang cukup baik.

Para peserta tersebut antaranya dari Amerika Syarikat (AS), Itali, Bulgaria, Belanda, Jerman, Jepun, Kanada, Poland, Palestin, Slovakia, Ukraine, Turki, Korea selatan, Iran, Blarus dan Bangladesh, mampu menjadi duta bahasa ke peringkat antarabangsa bagi memperkenalkan bahasa Melayu dan budaya Melayu yang terkenal dengan adat yang unik. Sekali gus mereka dapat mengetengahkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mempunyai unsur kebudayaan serta mempunyai tamadun yang tinggi.

Ini adalah salah satu usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Melalui usaha ini bahasa Melayu akan dipelajari dan dikaji oleh penuntut luar sebagai bahasa yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi dan murni. Jika orang luar memandang bahasa Melayu indah, sopan dan bernilai tinggi, kita sewajarnya menghargai semua kehebatan nilai ini.

Lantaran itu, pihak kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mewajibkan pelajar asing yang belajar di negara ini mempelajari dan mensyaratkan kepada mereka untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib. Usaha ini dapat memperkembangkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Agenda memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mestilah difahami dan dihayati sepenuh hati dan jiwa bagi menuju ke arah bahasa moden.

Tags: bahasa, kebangsaan
Subscribe

Posts from This Journal “kebangsaan” Tag

  • Kepentingan berbahasa kebangsaan

    Apabila Paus Francis melawat Baitulmaqdis pada 2014, beliau berucap kepada orang Kristian, Islam dan Yahudi bukan dalam bahasa Latin, Arab atau…

  • Membangun masa depan melalui sejarah lampau

    Sambutan bulan kemerdekaan telah pun bermula. Empat hari lagi, iaitu pada 31 Ogos ini, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Inilah masanya…

  • Mengisi makna kemerdekaan

    KEMERDEKAAN adalah proses menggalas tanggungjawab. Ia suatu amanah bagi warga mengisi kemerdekaan agar memberi erti dalam menjana perubahan dan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments