kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Meredakan bahang panas perkauman

Akhir-akhir ini, butang panas perkauman sangat terasa bahangnya di negara ini. Pergaduhan di Low Yat, demonstrasi BERSIH 4.0, pergaduhan di pekan Asam Jawa dan demonstrasi Baju Merah sebenarnya bukan terjadi atas perkiraan agenda perkauman.

Disebabkan peristiwa sedemikian tercetus, sebahagiannya kerana prasangka dan salah faham, hasrat membina negara bangsa bertukar menjadi agenda etnik sempit kumpulan tertentu, tanpa mengira kesepakatan rakyat pelbagai etnik yang sudah berkongsi sama cita rasa hidup bersama di negara ini untuk sekian lama.

Merumitkan lagi keadaan, ialah media sosial tanpa sempadan dan sekelip mata menyebar maklumat ke segenap pelosok negara, dengan lebih banyak menggembleng etnik, mentafsir secara emosi dan membakar sentimen perkauman tanpa fakta. Lebih menakutkan, ada individu, kepemimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik ini lebih suka mempolitikkan aspek hidup tertentu masyarakat melalui pergerakan mereka.




Pada peringkat awal agenda mereka untuk mengurus dan membina negara bangsa dengan baik tetapi sudah bertukar dengan memanipulasi etnik untuk merebut kuasa pemerintahan negeri dan negara.

Kawal media sosial

Rakyat bosan dengan asakan berterusan setiap hari oleh golongan dan media sosial tertentu yang mempolitikkan perbezaan etnik hinggakan kehilangan MH370, MH17,

Pelan Pembangunan Pendidikan Negara, harga barang naik, nilai ringgit, 1MDB dan sebagainya tidak dikaitkan dengan tadbir urus negara dan kedudukan ekonomi semasa. Kesan asakan berterusan oleh golongan politik dan media sosial membina kebimbangan risiko suhu kepanasan etnik dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di Malaysia.

Kajian Indeks Ikatan Sosial sejak tahun 2013-2014, menunjukkan batas etnik semakin menebal dalam komuniti Melayu, Bumiputera Sarawak, Bumiputera Sabah dan komuniti Cina dan India.

Dialog Perpaduan dijalankan di 18 bandar di seluruh negara oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, menunjukkan rakyat menerima kepelbagaian.

Mereka tidak senang dengan percubaan mempolitikkan etnik dan agama, serta tindakan menghentam setiap aspek kehidupan dalam masyarakat oleh parti pembangkang dan kerajaan, setiap hari. Mereka berasakan etnik lain memandang etnik mereka dengan persepsi buruk.

Pandangan sedemikian berpotensi merenggangkan hubungan antara mereka dengan etnik lain, hingga lahir budaya stereotaip etnik, prejudis dan tindakan diskriminasi antara satu sama lain.

Perasaan berisiko etnik dalam kalangan rakyat Malaysia yang dihangatkan butang panas perkauman mereka melahirkan perasaan sensitiviti perkauman dalam kalangan mereka.

Ada daripada mereka yang sangat sensitif dengan perkiraan dimensi etnik, Bumiputera dan bukan Bumiputera, Islam dan bukan Islam, dan terakhir sekali, agama.

Kajian memperlihatkan orang Melayu dan India amat sensitif dengan identiti agama, Cina dengan bahasa Mandarin sebagai identiti mereka, manakala Bumiputera Sarawak dan Sabah dengan identiti suku.

Untuk meredakan kehangatan butang panas perkauman dalam kalangan rakyat kita ini, kesedaran mengenai negara dan bangsa perlu difahamkan bersama.

Adakah kita faham yang negara ini bermula dari sebuah negara berdasar Kesultanan Melayu, Syarikat Borneo dan Keluarga Brooke yang dilindungi dan dijajah Inggeris?

Adakah kita memahami kesan pembangunan negara dan pembinaan negara bangsa di negara pascakolonial ini ke atas kedamaian, kemajuan dan kesejahteraan kita bersama pada hari ini?

Adakah kita memahami hubungan etnik di Malaysia masa kini?

Akhir sekali, adakah kita memahami negara kita ini terdiri daripada masyarakat kepelbagaian yang rencam sosialnya?

Kefahaman kepada persoalan ini, akan memandu rakyat pelbagai etnik dan agama di negara ini untuk mengurus hubungan etnik dengan baik.

Setiap identiti dan kepentingan etnik, agama dan wilayah di negara ini diperakui dan diterima bersama dan berpaksikan ketamadunan anak watan di negara ini.

Perpaduan antara kita bukan kesatuan dalam kepelbagaian, tetapi perpaduan dalam kepelbagaian.

Dengan kemajuan dan pembinaan negara bangsa ini, kita sama-sama membina hubungan etnik yang harmoni, damai dan sejahtera.

Jangka hayat damai terbukti lebih panjang terbina daripada pergaduhan antara etnik, apa lagi, konflik berdarah di negara ini.
Tags: etnik, kaum, media, perpaduan, pppm
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Bersatu bina negara bangsa

    BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya juga, beta dan Raja Permaisuri berpeluang meraikan warga guru di Istana Iskandariah, sempena…

  • 1Malaysia manifestasi Rukun Negara

    Tahniah Malaysia! Satu lagi tahun berjaya kita lalui. Tahun lalu boleh dikatakan agak sukar dan mencabar, tetapi tidak kurang juga kejutan dan…

  • Do we really need unity?

    Forcing us to mix may actually cause resentment and discord, instead of promoting harmony. LAST weekend at the Putra World Trade Centre, one Umno…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments