kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemimpin Melayu pun ada maruah

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat keputusan tepat apabila tetap dengan pendiriannya untuk tidak meminta maaf kepada orang Cina berhubung isu tampar.

Sebelum ini Tajuddin didakwa membuat kenyataan kononnya mahu menampar orang Cina dari Malaysia yang mencari perlindungan China. Berikutan itu, melompat-lompat puak tertentu khususnya daripada MCA yang menggesa beliau meminta maaf.

Tetapi Tajuddin sudah menjelaskan beliau tidak melakukan kesilapan sehingga perlu berbuat demikian, malah beliau juga mendakwa kenyataannya diputarbelitkan oleh media tertentu bagi mencetuskan polemik dan kontroversi. Dengan penjelasan itu, sepatutnya beliau tidak lagi didesak untuk meminta maaf, sebaliknya pihak yang membuat desakan tersebut perlu meminta maaf kerana tidak memeriksa dahulu kesahihan berita yang diterima.

Ini bukanlah kali pertama, pemimpin UMNO didesak meminta maaf terhadap kaum lain. Sebelum ini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dipaksa berbuat demikian apabila ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai memboikot mana-mana peniaga Cina yang menaikkan harga barang.

Keadaan ini mewujudkan persoalan adakah apabila kita menyebut nama kaum tertentu biarpun ia berdasarkan kepada fakta yang betul akan dianggap rasis atau perkauman?

Sama ada Tajuddin mahupun Ismail Sabri, mereka ha­nya menyatakan perkara yang betul. Tak kanlah bila bercakap benar pun kena meminta maaf, malah tindakan itu sama sekali tidak wajar jika ia hanya bersandarkan kepada laporan media yang diputar belitkan.

Oleh itu berhentilah mendesak pemimpin-pemimpin UMNO meminta maaf seolah-olah kaum-kaum tertentu terlalu sensitif untuk ditegur atau dikritik. Kenapakah hanya pemimpin parti itu sahaja menjadi sasaran? Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin parti lain termasuklah dalam kalangan bukan Melayu membuat kenyataan atau tindakan yang menyinggung orang Melayu?

Penulis tidak perlu menyenaraikan apa kes-kes itu, mereka yang terlibat boleh membuat kajian. Tetapi soalnya adakah pemimpin berkenaan meminta maaaf? Tidak ada pula mana-mana parti begitu lantang tampil mendesak permohonan maaf dilakukan.

Lebih mengecewakan, apabila pemimpin terlibat mendakwa kenyataan beliau diputarbelitkan maka ia di­terima secara terbuka oleh semua pihak tanpa banyak soal, tetapi apabila pemimpin Melayu memberi jawapan sedemikian, ia tetap tidak diterima seolah-olah sama ada betul atau salah pemimpin berkenaan mesti minta maaf.

Keadaan itu menampakkan dalam apa juga situasi hanya pemimpin Melayu dan orang Melayu sahaja yang patut beralah atau mengaku salah biarpun atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Selain itu, orang Melayu sahaja perlu diberi ingatan untuk menjaga sensitiviti kaum lain lebih daripada kaumnya sendiri.

Inilah realiti yang berlaku sekarang. Pemimpin-pe­mimpin Melayu akan `diserang habis-habisan’ kalau mereka tersilap membuat kenyataan atau melahirkan pendapat untuk kepentingan bangsanya. Mereka akan dituduh rasis dan cuba melakukan provokasi bagi memecah belah perpaduan rakyat negara ini.

Tetapi soalnya bagaimana dengan pihak lain? Apakah mereka tidak boleh dipaksa meminta maaf apabila melakukan perbuatan menyinggung perasaan orang Melayu dan umat Islam?

Bagaimana dengan peristiwa memijak gambar pe­mimpin ketika perhimpunan haram Bersih pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu? Kenapa tiada desakan berterusan daripada kelompok tertentu yang mahu DAP dan pemimpin Bersih meminta maaf? Kenapakah tidak ada pemimpin bukan Melayu mendesak supaya DAP Pahang meminta maaf kepada Jabatan Mufti Pahang kerana mengkritik khutbah Aidiladha? Kenapakah tidak ada perjuangan oleh kelompok tertentu untuk menggesa pemimpin pembangkang memohon maaf dalam kes-kes melibatkan tuduhan kepada badan kehakiman?

Hakikatnya banyak lagi kes atau peristiwa yang me­nunjukkan kebiadaban sesetengah pihak terhadap orang Melayu. Namun ia dilupakan begitu sahaja tetapi apabila melibatkan pemimpin Melayu gempak gempita tekanan diberikan supaya pemimpin itu tunduk kepada desakan meminta maaf. Semua ini berlaku kerana sesetengah pihak melihat orang Melayu dan kepemimpinan mereka berada dalam keadaan lemah. Oleh itu, sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan maka tekanan akan diberikan seolah-olah pemimpin-pemimpin Melayu ini tidak ada pilihan selain tunduk kepada kehendak orang lain.

Namun begitu kita juga harus mengakui bahawa ‘keberanian’ untuk membuat desakan terhadap pemimpin Melayu berlaku disebabkan oleh sesetengah pemimpin Melayu itu sendiri. Demi menjaga hati orang lain, media yang menye­belahi mereka pun akan dikritik kononnya membuat laporan salah atau memutarbelitkan kenyataan.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada sesetengah pemimpin-pemimpin Melayu yang terlalu takut untuk me­laksanakan atau menyatakan sesuatu pendirian berkaitan kaum lain, mereka bimbang akan kehilangan sokongan politik biarpun pendirian yang hendak dibuat akan meng­untungkan orang Melayu tanpa mengambil hak kaum lain.

Oleh itu, cukup-cukuplah beralah kepada pihak lain. Pemimpin Melayu juga ada maruah. Tidak mengapa kalau betul ada pemimpin-pemimpin Melayu melakukan kesalahan atau tindakan yang menyinggung perasaan kaum lain, mereka layak meminta maaf tetapi apa yang berlaku sekarang banyak tidak betul.

Apatah lagi kalau ia dilaporkan oleh portal pro pembangkang Malaysiakini dan Malaysia Insider, tetapi hendak buat macam mana sebab dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri ada yang lebih percaya kepada laporan kedua-dua portal berita itu dan menjadikan mereka sebagai `tempat untuk melepas’ geram. Justeru apabila satu hari kenyataan mereka diputar belitkan maka tanggunglah akibatnya.

Namun apa pun sikap mendesak hanya pemimpin-pemimpin Melayu sahaja meminta maaf harus dihentikan kerana semua orang tahu ada sesetengah pemimpin pembangkang bukan Melayu jauh lebih biadab, tetapi mereka sering terlepas dan tidak diberi tekanan waima oleh musuh politik mereka sendiri, kenapa? Fikirlah sendiri.

- Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 08 Oktober 2015 6:25 PM
Tags: melayu, pemimpin
Subscribe

Posts from This Journal “pemimpin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments