kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peperiksaan untuk uji pengetahuan atau seksa murid?

ISU soalan peperiksaan mata pelajaran Bahasa Cina (Pemahaman) UPSR 2015 yang sukar dijawab oleh murid baru-baru ini menyebabkan saya berfikir sama ada peperiksaan diadakan untuk menguji penguasaan pengetahuan atau menyusahkan pelajar.

Ramai ibu bapa dan guru meluahkan rasa tidak puas hati berikutan sebahagian soalan kertas Bahasa Cina itu begitu sukar untuk dijawab. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong, yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, menyifatkan soalan berkenaan belum tentu mampu dijawab malahan oleh profesor.
Beberapa pensyarah, pakar bahasa Tionghua dan guru sekolah menengah yang mengajar subjek Bahasa Cina, tampil membuat 'eksperimen' untuk menjawab bahagian yang didakwa agak 'sukar' dijawab dalam kertas peperiksaan itu.
Jawapan yang diberikan oleh mereka yang menyertai 'eksperimen' itu berlainan dan ada dalam kalangan mereka tidak mampu untuk memilih jawapan terbaik meskipun ia dalam bentuk aneka pilihan.
Ketua Jabatan Pengajian Tionghua Kolej Han Chiang Pulau Pinang, Dr Ooi Bee Peng turut mengakui akan kesukaran murid Tahun 6 menjawab kefahaman berdasarkan kepada artikel klasik dari China selain jawapan bagi soalan objektif mengelirukan.
Seharusnya penggubal soalan peperiksaan mengambil kira tahap pemahaman murid sekolah rendah kerana mereka tidak mempunyai penguasaan yang tinggi, seperti mana yang ada oleh pelajar sekolah menengah.

TAHAP PEMAHAMAN MURID-MURID

Penulis pasti para penggubal soalan peperiksaan awam, sama ada dari peringkat UPSR hingga ke Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah tenaga pendidik yang pernah mengendalikan sesi pembelajaran bersama murid dan pelajar mereka.
Sudah tentu mereka memahami tahap pemikiran dan proses pembelajaran anak murid mereka berdasarkan subjek yang diajar di sekolah.
Peperiksaan bukan bertujuan untuk 'menyusahkan' murid dengan soalan-soalan yang 'catchy' sebaliknya memilih soalan yang mampu dijawab ataupun berdasarkan kepada hasil pembelajaran mereka.
Sekiranya pemilihan soalan yang sukar terus digunakan dalam peperiksaan sesuatu mata pelajaran, murid bukan sahaja hilang minat terhadap mata pelajaran itu malah berasa fobia untuk terus mempelajarinya lagi.
Contohnya, isu soalan peperiksaan mata pelajaran Bahasa Cina UPSR ini mungkin boleh menyebabkan murid tidak berminat untuk mempelajari mata pelajaran itu lagi ketika melangkah ke peringkat sekolah menengah.
Ia juga boleh menyebabkan bilangan calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Cina sama ada dalam peringkat PT3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia berkurangan.
Pembelajaran bahasa ibunda dalam kalangan murid berbangsa Cina akan berkurangan kerana perasaan 'fobia' terhadap mata pelajaran itu.


SISTEM PENDIDIKAN BERASASKAN PEPERIKSAAN
Di sekolah, pelajar dianggap hanya mempelajari apa yang diajar oleh guru dan mengulang kaji apa yang dikehendaki dalam peperiksaan sahaja.
Malah, ada kalanya pelajar sendiri dibebani dengan timbunan kerja rumah dan kelas tambahan oleh pihak sekolah semata-mata untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan menaikkan ranking sekolah.
Apabila sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan sudah sebati dengan kehidupan murid, tidak hairanlah mereka serta ibu bapa terlalu mengejar pencapaian akademik sehingga mengabaikan perkembangan emosi anak.
Akibatnya, ramai dalam kalangan murid berasa sedih sehinggakan ada yang membunuh diri kerana tidak dapat mencapai gred yang dihasratkan, ataupun sedih kerana tidak dapat menjawab dengan baik dalam peperiksaan.
Apa yang paling membimbangkan, apabila wujudnya golongan ibu bapa yang suka membandingkan anak mereka dengan anak yang lain menyebabkan pelajar atau murid tertekan dalam pembelajaran.
Walaupun sistem pendidikan sudah dianggap berorientasikan peperiksaan oleh masyarakat, namun hal ini tidak bermakna persepsi ibu bapa, guru, dan pelajar tidak boleh diubah.
Contohnya, ibu bapa harus memberi motivasi kepada anak supaya tidak belajar semata-mata kerana peperiksaan, sebaliknya untuk menuntut ilmu pengetahuan.


FOBIA TERHADAP SUBJEK YANG SUSAH

Guru juga harus memainkan peranan untuk menjadikan sesuatu mata pelajaran yang dianggap sukar oleh murid seronok untuk dipelajari di sekolah.
Misalnya, melakukan aktiviti dalam kelas secara interaktif seperti tayangan video dan kuiz yang pada masa sama dapat menguji penguasaan mata pelajaran itu dalam kalangan murid.
Peperiksaan perlu dianggap sebagai satu platform menguji tahap pemahaman ilmu pengetahuan dalam kalangan murid dan pelajar, dan bukannya sebagai satu cara untuk menyukarkan murid dengan soalan-soalan bertahap tinggi.
Persepsi terlalu mengejar 'A' dalam peperiksaan harus diubah dan sikap menuntut ilmu dalam kalangan pelajar harus diterapkan supaya mereka seronok mempelajari benda baharu di sekolah dan bukan hanya untuk mengambil peperiksaan. - Bernama
Tags: pendidikan, peperiksaan
Subscribe

Posts from This Journal “peperiksaan” Tag

  • Koleksi Edisi 9

    Pendapat Kafien:: Sejauh mana kesannya kepada kesihatan? Editor - 30 Disember 2022 E-mel Pembaca Guru-guru, buatkanlah pelajar betah hadiri…

  • Menipu semasa ujian pra-pekerjaan dalam talian?

    Calon menipu ketika PSEE disenarai hitam dan dibatalkan keputusan – SPA adalah tajuk berita terkini 29/10/2021 . yang perlu diberi…

  • Kenapa perlunya peperiksaan bagi pelajar

    "Peperiksaan" adalah perkataan yang paling berbahaya dalam hidup seseorang. Pemikiran segera yang terlintas di fikiran adalah untuk…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments