Pembentangannya mungkin mengambil masa kira-kira dua jam, tetapi proses penyediaannya mengambil masa berbulan-bulan sejak awal tahun lagi, bermula dengan penyediaan anggaran perbelanjaan oleh setiap agensi kerajaan, pemeriksaan dan penyatuannya oleh Kementerian Kewangan sebelum dikemukakan kepada Menteri Kewangan serta Kabinet untuk kelulusan.
Sudah tentu dalam tempoh itu banyak pengubahsuaian perlu dilakukan, mengambil kira perubahan persekitaran ekonomi - luar dan dalam negara.
Bagi penyediaan Bajet 2016 ini cabarannya adalah besar.
Strategi bijaksana
Prospek ekonomi dunia tahun depan diunjurkan tidak begitu memberangsangkan, justeru jika kita mahu terus menyaksikan pertumbuhan, kita perlu menggerakkan aktiviti ekonomi dalam negara.
Namun, pada masa sama, harga komoditi utama terutama petroleum jatuh mendadak dan ini menjejaskan pendapatan kerajaan. Ia turut memberi kesan kepada sentimen terhadap ringgit dan mengheret ke bawah nilainya.
Dalam keadaan sebegini kebijaksanaan pembuat strategi pengurusan ekonomi kita amat diperlukan. Ini bagi memastikan perbelanjaan kerajaan terus digerakkan bagi meneruskan agenda pembangunan dan merangsang ekonomi negara, tetapi dalam ruang lingkup unjuran pertambahan pendapatan yang terhad.
Berdasarkan persekitaran semasa, kita tidak mampu berbelanja melebihi pendapatan pada kadar tinggi kerana jika ia dilakukan, hutang kerajaan akan meningkat. Ini akan memberi kesan kepada pandangan pelabur asing terhadap kedudukan kewangan negara.
Justeru, setiap ringgit dibelanjakan kerajaan perlu dipastikan benar-benar perlu dan produktif.
Pandangan rakyat dihargai
Setiap kali pembentangan bajet juga, rakyat meletakkan harapan tinggi agar adanya inisiatif atau insentif menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Bagi bajet kali ini, dua masalah utama disuarakan orang ramai dalam kaji selidik #Bajet2016 ialah kenaikan kos sara hidup dan perumahan.
Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah ambil maklum dan menyatakan kedua-duanya akan menjadi antara fokus Bajet 2016.
Justeru, pastinya akan ada inisiatif atau insentif membabitkan kedua-duanya yang akan dicadangkan dalam pembentangan bajet itu nanti.
Namun, dalam mengharap, kita juga perlu realistik. Sebagai kerajaan yang dipilih dan mahu terus menjadi pilihan, tentu ia mahu memberikan apa sahaja dimahukan rakyat.
Walau bagaimanapun, apa yang boleh diberikan tentu bergantung kepada kemampuan dari segi sumber, kewajaran dan kesannya kepada negara.
Seorang bapa akan disukai jika memanjakan anaknya dengan kemewahan tanpa disedari itu mungkin merosakkan masa depan mereka.