kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Aliran harga minyak rendah dijangka berterusan

Wawancara A Jalil Hamid dan Mustapha Kamil Mohd Janor bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin

S: Apa pandangan anda mengenai industri minyak dan gas secara keseluruhannya?

J: Kami jangka aliran harga minyak rendah akan berterusan. Penurunannya tidak secara mendadak mengikut kitaran atau faktor lain. Kami fikir ia akan berterusan kerana perubahan struktur dalam keseluruhan industri. Banyak perkara juga berlaku serentak, kesan daripada beberapa pertembungan isu antarabangsa.

DATUK Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS


Jika boleh diimbau kembali, ia sama seperti yang kami hadapi pada tahun 2008 apabila harga minyak kembali naik selepas tempoh beberapa tahun. Kali ini, saya fikir teknologi yang menjadi punca perubahan besar terutama pengeluar minyak shale Amerika Syarikat (AS), sesuatu yang banyak pihak tidak jangka berlaku dengan begitu pantas. Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) juga tidak memainkan peranan biasa sebagai penstabil harga.

Kita juga terkesan dengan penarikan sekatan ke atas Iraq. Iraq kini mengeluarkan minyak lebih tinggi berbanding sebelum ini. Dari segi permintaan, produk keluaran negara kasar global semakin rendah. Malah, ia lebih rendah mengikut ramalan terbaru.

S: Adakah anda jangka keadaan (pada tahun 2008) berulang kali ini?

J: Kami bimbang untuk buat jangkaan sekarang. Kami rancang bajet secara konservatif.

S: Apabila anda kata industri perlu diubahsuai, termasuk PETRONAS, apa maksudnya bagi orang ramai?

J: Bagi PETRONAS, beberapa tahun ini adalah mengenai pengurusan tunai. Apabila harga minyak turun, aliran tunai operasi kami juga turun. Keputusan separuh pertama berbanding tempoh sama tahun lalu menunjukkan penurunan 43 peratus dari segi keuntungan. Dari segi aliran tunai daripada operasi, penurunannya 30 peratus.

Tetapi, bagi kami, tempoh ini juga menyaksikan kami komited kepada projek gergasi. Tidak pernah dalam sejarah PETRONAS kami melaksanakan saiz projek bermodal tinggi. Ini termasuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor dan projek kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung (PFLNG) serta projek di Kanada. Satu lagi kelulusan diperlukan untuk meneruskannya.

Ketika ini, permintaan untuk perbelanjaan modal (capex) adalah tinggi dan pada masa sama, harga minyak turun, jadi saya fikir untuk kami terus untung kekal menjadi fokus.

Kami boleh lakukannya. Saya yakin kami boleh terus untung bagi tempoh ini. Cuma, kami perlu ambil banyak langkah dan memberi peluang baik bagi kami menangani ketidakcekapan yang ada dalam syarikat selain industri minyak dan gas Malaysia. Apabila kami kaji semula program capex, akan ada potongan dalam aktiviti.

Bagi yang ini semua pihak dalam syarikat memberi respons baik. Kami mengurangkan 23 peratus belanja operasi. Ia bukan jumlah yang kecil. Ia bermakna banyak perkara yang kami lakukan secara berbeza, contohnya, menghapuskan belanja budi bicara, mengurangkan belanja perjalanan dan lebih bergantung kepada kemudahan IT.

Saya rasa dalam beberapa tahun lagi PETRONAS patut fokus kepada satu perkara - menghasilkan tunai. Dalam tempoh dua atau tiga tahun tunai penting bagi kami.

Apa yang saya maksudkan ialah loji kami perlu beroperasi tahap 'terbaik', beroperasi setiap masa, kami perlu jual produk kami pada nilai terbaik, itu perlu dilakukan di seluruh rangkaian nilai.

Kedua, menyiapkan projek untuk pertumbuhan syarikat. Ini termasuk RAPID, LNG, lebih banyak projek di Sabah dan diharapkan projek di Kanada tidak lama lagi. Kami perlu laksanakan projek itu dengan baik, tiada pertambahan kos dan mengikut masanya dengan memenuhi tahap kesihatan dan keselamatan yang baik.

Ketiga ialah mengurangkan kos dan memudahkan proses. Seperti juga mana-mana syarikat, kami cenderung menambah prosedur, lebih banyak proses tetapi jarang berhenti sejenak untuk membuang apa yang tidak diperlukan. Jadi, kami sedang mengkaji semula beberapa proses yang menekan syarikat.

Seperti proses sumber manusia, pembelian dan perancangan. Kami sedang melihat tiga proses ini untuk menetapkan yang mana boleh memudahkannya.

Jika kami dapat lakukannya, kami dapat kurangkan tempoh guna tenaga yang mungkin dapat digunakan untuk kerja menghasilkan tunai. Ini adalah langkah jangka pendek kami.

Tiga lagi aspek yang amat penting ialah pertama, teknologi. Anda tidak dapat nafikan bahawa kami adalah syarikat teknologi dan teknologi adalah yang membezakan kami dalam jangka panjang.

Teknologi benar-benar menggegarkan keseluruhan industri seperti minyak shale dan bagaimana ia menurunkan permintaan daripada Jepun. Saya fikir teknologi memegang peranan besar.

Kami akan terus melabur dalam teknologi.

Kelima ialah pengurusan bakat. Tahun lalu, kami membelanjakan RM500 juta dalam pengurusan bakat. Kami sedang meneliti bagaimana melakukannya dengan lebih baik. Ia juga bagi memastikan ada kepemimpinan mencukupi pada masa depan selain menjana urus niaga ke hadapan.

Yang terakhir dan ini mungkin baharu bagi syarikat, ialah budaya kerja. Disebabkan banyak kali kami gagal dalam pencapaian adalah kerana budaya kerja.

Kami mengajar semua bermula dengan pegawai kanan mengenai cara memperbaiki budaya kerja.

Selain enam langkah itu, kami juga mempermudah agenda korporat yang menjadi visi dan misi kami, anjakan strategik perniagaan dan perkongsian nilai dari segi kesetiaan, profesionalisme, kewibawaan dan kesepaduan.

Saya mahu mempertingkatkannya. Oleh itu, kami sekali lagi melancarkan visi, misi dan perkongsian nilai ini kepada syarikat.

Kami menggaji 70 kewarganegaraan dengan 55 peratus lebih muda daripada 35 tahun. Saya selalu memberitahu pihak pengurusan bahawa kami tiada pilihan kecuali mengubah gaya pengurusan. Apa yang baik 25 tahun lalu mungkin tidak lagi memberi kebaikan ketika ini.

S: Bagaimanakah langkah ini memperkukuh secara dalaman impak kepada projek PETRONAS sekarang?

J: Projek yang kami luluskan akan diteruskan. Begitu juga dengan keputusan projek pelaburan yang kami muktamadkan. Tetapi, selepas itu, ada banyak perkara yang kami sedang teliti untuk mengurangkan kos.

Contohnya, bidaan semula beberapa pakej dalam projek RAPID Penggerang. Ini disebabkan harga komoditi (minyak) yang jatuh, agak banyak penurunan-nya berbanding ketika kami membida kali pertama.

Kamu pun tahu besi adalah komponen besar dalam projek kami. Jadi, kami melihat angkanya (lebih rendah) menurun berbanding pada pusingan pertama.

Yang sudah kami tandatangani, kami akan lihat semula spesifikasi teknikal. Kami tidak mahu potong terlalu banyak kerana ada risiko penurunan pengeluaran pada tahun 2020 atau 2021.

Ketika ini, kami mengeluarkan 500,000 tong minyak sehari. Itu adalah sasaran terbaik mengikut keperluan kami. Saya rasa mungkin berlaku juga penurunan secara natural sebanyak 10 hingga 12 peratus.

Jadi, kami perlu melabur semula untuk mengekalkan pengeluaran.

Sebab itu kami potong capex tetapi mengambil kira implikasinya. Kadang kala ada had berapa banyak untuk potong capex. Saya boleh potong banyak hari ini dan menyimpan tunai tetapi saya tak fikir ia cara terbaik untuk syarikat.

S: Bagaimana dengan bilangan telaga minyak yang sedang beroperasi?

J: Bilangannya sudah berkurangan. Pada satu ketika kami ada lebih 30 telaga minyak di perairan Malaysia. Saya fikir ia tinggal 15 hingga 19 telaga saja pada hujung tahun ini.

S: Apakah industri sokongan sektor gas dan minyak turut menerima impak?

J: Mereka memang amat merasai kesannya. Ini kerana apabila kami mengurangkan aktiviti, mereka akan rasa impaknya. Ada pemberhentian kerja dan pengurangan saiz membabitkan penyedia perkhidmatan.

Sekalipun kami mahu menyokong syarikat perkhidmatan operasi minyak milik Malaysia, masanya telah tiba untuk menangani ketidakcekapan.

Hari ini, apabila saya melihat bilangan syarikat, angka terbaru ialah 3,700 penyedia perkhidmatan gas dan minyak.

Tetapi, Norway hanya memiliki 700. Ini bermakna banyak syarikat kita adalah kecil dan industri agak berselerak. Kami menggalakkan langkah pengukuhan.

S: Adakah anda jangka rombakan dalam industri di mana yang lemah akan tutup kedai dan yang cekap akan terus bergerak?

J: Itu perkara semula jadi. Contohnya, kita ada lapan limbungan fabrikasi di Malaysia. Itu terlalu banyak. Masa akan menentukannya sebelum sebahagian mereka gulung tikar atau semakin kukuh. Kita tidak ada pihak pengawalselia seperti Bank Negara yang mengawal industri perbankan. Dari satu segi kami akan cuba memperkuat dan ini sesuatu yang perlu dilakukan.

S: PETRONAS adalah penyumbang hasil penting kepada kerajaan. Dalam keadaan sekarang yang agak lemah, adakah kerajaan menjangka pemberian dividen sama dari PETRONAS?

J: Saya berpendapat, pemegang saham memahami sepenuhnya keadaan. Cuma, satu perkara yang saya mahu perkatakan, jika saya bandingkan sumbangan minyak dan gas kepada hasil kerajaan pada tahun 2009 ialah sekitar 40 peratus.

Tetapi, pada tahun 2014, 29 peratus. Peratusan itu menurun sejak beberapa tahun lalu. Ini bermakna, kerajaan semakin kurang bergantung kepada industri minyak dan gas, iaitu satu petanda baik.

Tahun ini, kami komited untuk membayar RM26 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen dan kami akan bayar. Setakat ini, pada tahun ini, kami sudah bayar RM14 hingga RM15 bilion. Bagi tahun depan, kami masih berbincang. Tahun lalu, RM29 bilion.

S: Adakah akan ada sebarang perubahan dalam dasar dividen PETRONAS?

J: Kami tidak ada dasar dividen. Tetapi, kami ambil kira dari segi purata dividen yang dibayar oleh rakan industri kami.

S: Ramai yang berbincang mengenai berapa lama lagi kita akan dapat faedah daripada simpanan minyak dan gas. Komen anda.

J: Apabila saya sertai syarikat 32 tahun lalu, mereka kata simpanan akan bertahan 17 tahun. Tetapi, 32 tahun sudah berlalu. Saya rasa ia selalunya mengenai berapa banyak yang kita hasilkan dan sejauh mana aktifnya aktiviti cari gali kita.

Jadi, dalam tempoh itu, kita sudah mencari gali dalam kawasan Malaysia, teknologi semakin maju dan kita lebih arif dengan kawasan kita.

Dari segi sumber (simpanan) kita ada kadar bersamaan 23.2 bilion tong minyak. Mengikut sumber yang ditemui dan tahap pengeluaran 2014, bagi minyak 27 tahun dan gas, 44 tahun.

Ini mungkin berubah apabila kita temui kawasan simpanan baharu. Tetapi, semua telaga minyak yang mudah sudah dibangunkan. Sekarang kita perlu pergi ke arah sempadan dan perairan lebih dalam. Jadi, kos pembangunannya lebih tinggi.

S: Berapa jumlah kakitangan PETRONAS sekarang?

J:Kami ada 51,000 kakitangan. Tetapi, kami bernasib baik dengan adanya projek baharu, kami akan lebih dapat meletak petugas, contohnya ramai pekerja di bahagian huluan ditempatkan semula ke projek RAPID.

Jika tiada RAPID, mungkin kami perlu saiz organisasi yang sepatutnya. Tiada pembekuan atau pengambilan baharu. Saya tidak mahu bekukan pengambilan pekerja baharu.

Kami sebelum ini pernah memberhentikan pengambilan pekerja baharu tetapi menerima kesannya beberapa tahun kemudian.

Pengambilan pekerja baharu akan diteruskan tetapi lebih perlahan. Kami masih perlu ambil pekerja baharu. Kami belum sampai ke peringkat mengurangkan saiz kakitangan.

S: Apakah yang keutamaan anda dalam peranan baharu ini di PETRONAS?

J: DNA PETRONAS ialah kami sentiasa dalam kedudukan diberi kepercayaan. Ini akan diteruskan. Ia amat berkait rapat dengan konsep perkongsian nilai, wibawa dan profesionalisme. S

aya sering ingatkan diri dan pasukan pengurusan bahawa kami perlu buat apa yang terbaik untuk syarikat. Dari segi kakitangan, demografi kami banyak berubah.

Dari segi gaya pengurusan, pengurusan perlu lebih mudah didekati. Pekerja mahu tahu apa yang sedang berlaku dan bagaimana mereka boleh main peranan dalam syarikat.

Kami menumpukan usaha kepada komunikasi antara pekerja. Dalam beberapa bulan awal sejak memegang tugas, saya melawat pelbagai unit kami untuk berinteraksi dengan mereka dan menyelaras semua orang dengan misi syarikat, khususnya dalam tempoh sukar.

Cabaran utama saya lebih berbeza daripada pemegang jawatan terdahulu kerana persekitaran semasa. Tahun lalu, ketika saya berada di bahagian hiliran, saya membuang 28 peratus laporan. Kerja masih diteruskan dan kami masih meraih untung.

Terlalu ramai yang buat laporan. Itu saya rasa adalah perangkap biasa dalam syarikat besar selepas masa tertentu. Tetapi, ruang untuk menambahbaik masih ada.

Seperti saya kata, demografi kami berubah kerana generasi muda semakin ramai ketika ini. Begitu juga dalam soal pekerja wanita. Kami sudah ada penyelia cari gali wanita pertama dan kini turut ada bilik menyusu, selepas mengubah banyak bilik merokok dalam bangunan selain memberi cuti bersalin selama tiga bulan. Ini semua untuk menarik wanita kerana lebih ramai siswazah universiti adalah wanita. Itu akan menjadikan syarikat lebih menarik.

S: Ada pihak kata anda mungkin ada sedikit 'kekurangan' kerana tiada pengalaman dalam sektor huluan?

J: Saya tidak bersetuju. Seperti anda tahu, Shell dan Total juga melantik CEO mereka yang berpengalaman dalam perniagaan hiliran. Mereka mungkin lupa bahawa saya berada dalam Lembaga Pengarah PETRONAS Carigali lebih 10 tahun.

Ada orang yang dapat baca data seismik dan data lain. Saya tidak perlu baca log dan semua itu. Dalam soal menggerakkan perniagaan, saya rasa disiplin tertentu ada gunanya.

S: Sebagai pengurus syarikat nombor satu Malaysia, bagaimana anda menghadapi cabaran ini secara peribadi. Contohnya, berapa jam anda habiskan dalam pejabat setiap hari?

J: Saya percaya, dalam pertubuhan seperti ini, pertamanya sistem perlu berfungsi. Adalah mustahil seseorang CEO mengawal semua 51,000 pekerja syarikat.

Dari segi waktu kerja, saya berada di pejabat pada jam 9 pagi dan menghabiskan 10 hingga 11 jam setiap hari. Kerja ini juga membabitkan banyak urusan luar, jadi saya cuba hadkan untuk berada di luar pejabat lebih daripada 10 hari sebulan.

Saya rasa DNA syarikat amat penting. Semua orang faham bahawa kedudukan ini adalah satu amanah, majoriti pekerja cuba yang terbaik dan ia adalah menyelia semua orang melakukan terbaik. Itulah peranan pengurusan.

S: Apakah pandangan anda mengenai agenda Bumiputera?

J: Pandangan peribadi saya ialah ia sejajar dengan agenda kerajaan. Kita patut memupuk pemilik/operator. Itulah jalan yang betul. Hanya bersandarkan merit dan mereka adalah pemilik/operator. Kami cuba untuk menghapuskan agensi. Ini adalah hasrat saya.

Saya mahu membantu pemilik/operator, orang yang melabur wang, pergi ke pejabat dan bekerja untuk perniagaan mereka, memberi pekerjaan. Kita lihat banyak syarikat Bumiputera berjaya dengan cara itu.

Kami menyokong mereka sejajar dengan dasar kerajaan.

S: Boleh ceritakan sedikit antara kerja dan kehidupan peribadi.

J: Saya fikir ia ialah bagaimana anda takrifkan keseimbangan ini, tetapi lebih penting lagi anda mesti selesa dengannya, itulah keseimbangan yang saya mahu. Saya beritahu semua bahawa dalam masa dua hingga tiga tahun ini, kerja akan menguasai kehidupan saya.

S: Apa yang buat anda begitu lama di PETRONAS?

J: Saya rasa menjadi sebahagian pasukan yang menang. Apabila saya mula bekerja, PETRONAS kecil saja. Kami berkembang dan saya sentiasa rasa menjadi sebahagian pasukan yang berjaya.

Kemudian, kami menjadi syarikat antarabangsa. Itu menyebabkan saya terus di sini. Saya tidak pernah rasa kesal dan dari segi pembangunan peribadi, PETRONAS juga telah banyak melabur untuk saya sampai hari ini.

Saya amat berterima kasih kepada syarikat.
Tags: ekonomi, minyak
Subscribe

Posts from This Journal “minyak” Tag

  • Bila kos naik harga akan naik

    Susah nak marah orang ramai bila mereka marah harga minyak naik awal bulan ini. Kalau ikut harga minyak mentah di pasaran dunia, harga bahan…

  • Of being an oilman

    AMERICAN industrialist, oilman, and at one time, the country’s richest private citizen, John Paul Getty, was once asked of attributes to his…

  • PETRONAS menjana masa depan

    Wawancara A Jalil Hamid dan Mustapha Kamil bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin S: Apakah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments