kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PETRONAS menjana masa depan

Wawancara A Jalil Hamid dan Mustapha Kamil bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin

S: Apakah tahap projek huluan dibandingkan dengan negara lain?

J: Yang lebih besar dari segi gas adalah di Turkmenistan, Mesir, Myanmar, Kanada, Indonesia, Australia dan Azerbaijan. Jika minyak, ia di Sudan, Chad dan pastinya, Iraq.

S: Adakah PETRONAS masih berusaha mencari telaga minyak baharu?


J: Saya berpendapat kita perlu menilai peluang itu mengikut kes. Lebih penting lagi, sama ada ia memenuhi faktor strategik. Kami lebih suka memberi tumpuan dari segi geografi berasaskan huluan mungkin di ASEAN atau di rantau Kaspia, daripada terbabit sedikit di sana dan sedikit di sini.

S: Mengapa PETRONAS keluar daripada pasaran runcit Indonesia dan Thailand?

J: Kami keluar kerana dalam soal itu beberapa perkara diperlukan. Satu daripadanya ialah pembekalan yang kompetitif dan kedua, yang kita tidak miliki, iaitu kehadiran besar-besaran. Kami ada 130 kedai di Thailand. Satu lagi pesaing di sana ada 11,000 kedai. Kami tidak mempunyai keupayaan itu, juga terlepas perkara lain seperti logistik. Di Indonesia, ia berbeza. Banyak pemain berharap mereka dapat meliberalisasi pasaran. Tetapi, ada sekatan dikenakan ke atas pemain luar. Kami hanya dapat jual bahan api tanpa subsidi.

S: Boleh terangkan lebih lanjut projek PETRONAS dengan British Columbia.

J: Untuk rekod, PETRONAS hari ini adalah salah sebuah pengeluar LNG secara global. Kami di tempat ketiga sekarang. Kami ada tapak pengeluaran di Bintulu, Mesir dan Australia. Kami pemain yang kuat dalam pasaran Timur Jauh. Di Jepun sahaja, kami memiliki 18 pelanggan. Kebanyakan pemain industri kuasa dan gas di Jepun adalah pelanggan kami. Kami juga ada pelanggan di Korea Selatan, Taiwan dan China. Jadi, adalah penting untuk kami kekalkannya untuk terus menjadi pemain LNG global pada masa mendatang. Di Kanada, kami ada sumber yang besar. Hari ini kami sudah ada hampir 20 TCF (trilion kaki padu) simpanan yang boleh menyokong pengeluaran LNG. Kami ada rakan dalam projek ini. Apabila kami setuju untuk dapatkan projek ini, semua rakan kami turut sama lakukannya, mengesahkannya sebagai projek yang berdaya maju. Berikutan itu, kami kini perlu melalui proses kelulusan ditetapkan. Hari ini hanya tinggal satu saja syarat yang perlu dipenuhi iaitu kelulusan alam sekitar. Sebaik kami dapat kelulusan, projek usaha sama itu akan dilaksanakan. PETRONAS tidak bersendirian. Kami berharap dapat mulakannya pada suku pertama 2016. Kami boleh urus isu tempatan berkaitan projek itu. Usaha sama kami sama sahaja dengan semua projek besar lain di Kanada. Ada banyak projek yang sama seperti perlombongan di Kanada dan perlu menyelesaikan isu tempatan sama seperti yang membabitkan penduduk First Nation. Kami yakin (dalam perkara ini).

S: Apakah komitmen PETRONAS dalam projek ini?

J: Kami ada 62 peratus saham. Terus terang saya rasa ini adalah projek yang sesuai untuk PETRONAS. Memang ada buat bising tetapi untuk jangka masa panjang kami ada sumber yang besar, kami pemain LNG besar, kita sudah ada pasaran. Kita bina loji, membangunkan sumber huluan dan bayar mereka tarif untuk saluran paip 800 kilometer dan memperoleh gas untuk dijual di Timur Jauh. Ia adalah saluran paip Trans-Kanada. Dari segi keselamatan, seperti mana-mana syarikat gas dan minyak dunia, kami mengadakan audit untuk keselamatan. Audit ini dilaksanakan pada 2013. Selepas itu, apa juga dapatannya, kita ambil langkah menyelesaikannya. Saya rasa dapatannya ada disiarkan. Kami melakukan audit selamat dan ia adalah langkah berterusan. Kami sudah menerangkan keadaan kami kepada kerajaan Kanada dan Kerajaan Wilayah British Columbia dan mereka memahami sepenuhnya keadaan ini. Kami sangat telus. Pegangan kami adalah tidak menyembunyikan apa-apa.

S: Apakah perkembangan projek RAPID Pengerang?

J: Projek ini sudah diluluskan. Kita dapat sepenuhnya hak milik tanah di situ. Sudah tentulah ia ditangguhkan lebih setahun sementara kami cari tempat baharu. Kini, banyak kontraktor yang masih bekerja di sana. Projek itu masih pada peringkat awal. Perkembangan terakhir keseluruhan projek itu adalah kira-kira 11 peratus. Di bawah pelan, ia adalah 12 peratus. Jadi, penangguhannya sangat kecil. Ia masih awal. Ia adalah projek yang besar dan cabarannya juga besar. Mungkin peringkat kemuncak (pembinaan) di sekitar 2017 di mana dijangkakan kira-kira 55,000 orang berkerja di tapak pembinaan. Cabaran akan ada tetapi saya rasa kita menyediakan sumber untuk memastikan kita mengurangkan risiko dan berharap menjelang 2019, kilang penapisan sudah boleh dibina. Bahagian petrokimia menyusul selepas itu. Tiada perubahan pembahagian projek melainkan di pengakhiran projek petrokimia. Sesetengah produk petrokimia berubah kerana keadaan pasaran. Untuk projek jenis ini, kita ada rancangan jangka panjang dan bagaimana kita melihat pasaran bergerak ke hadapan. Kita perlu tetap dengan usaha ini. Bukan mudah untuk memulakan dari bawah. Prasarana sahaja sudah menjadi isu besar. Banyak pencapaian dalam RAPID. Ia akan menjadi kompleks integrasi petroleum di Asia. Kilang penapisan akan mempunyai kapasiti 300,000 bpd. Ia akan memproses minyak mentah import. Produk petroleum adalah untuk pasaran domestik sementara petrokimia untuk eksport. Kami adalah pengimport bersih produk petroleum. Dengan RAPID kita mampu perlahankan import.

S: Apakah perkembangan loji terapung LNG PETRONAS?

J: Ini adalah pencapaian teknikal sebenar PETRONAS. Kami akan jadi yang pertama di dunia mempunyai kemudahan itu jika kami siapkan projek itu suku pertama tahun depan. Pesaing kami mempunyai yang lebih besar tetapi lebih lewat sedikit. Kami akan berlayar dari limbungan fabrikasi di Korea Selatan dan pada dasarnya ia akan menjadi loji LNG terapung dan akan digunakan untuk menjana gas dari telaga terbiar. Ini adalah jenis kemudahan pencairan di situ, yang dekat dengan takungan. Kami adalah pemain utama LNG dan saya rasa kita tidak seharusnya melepaskan posisi ini. Kita mendapat pasaran yang baik, kita ada teknologi, kami boleh membina loji besar di Bintulu dan kita ada pasaran kukuh di Timur Jauh. Ini sebabnya, pelan Kanada itu sesuai dengan strategi kami. Loji terapung LNG pertama ini akan mempunyai kapasiti 1.1 juta tan setahun, sementara yang kedua dengan kapasiti 1.3 juta tan setahun yang akan siap pada 2017.

S: Apakah beza pendapatan antara perniagaan huluan dan hiliran?

J: Perniagaan huluan menyumbangkan pendapatan lebih besar. Sejak tahun lalu, kita menggabungkan gas dan petroleum. Kini, huluan kira-kira 60 peratus dan 40 peratus lagi bagi perniagaan hiliran. Tetapi bagi segi dasarnya, hiliran akan menyumbangkan 20 peratus keuntungan sementara selebihnya datang dari perniagaan huluan. Huluan mempunyai kadar keuntungan yang lebih baik tetapi inilah keindahan syarikat bersepadu. Apabila harga minyak turun, bahagian huluan benar-benar terjejas tetapi tidak bagi perniagaan hiliran, bagi kilang penapis tidak terjejas. Pada masa yang sama kami seimbang kerana kami mempunyai keseluruhan nilai rantaian. Kita sepatutnya mencatatkan pendapatan yang rendah tambahan pula kami adalah syarikat berasaskan huluan. Saya percaya model bersepadu ini kerana wujud banyak sinergi yang boleh kita peroleh dari rantaian nilai ini.

S: Bagaimana Datuk lihat persaingan dari China, sebagai pasaran dan pemain dalam perniagaan gas serta minyak?

J: Kami adalah rakan niaga syarikat China seperti CNPC. Saya fikir mereka sudah maju dan mereka pemain global hari ini. Dahulu, tumpuan risiko mereka berbeza tetapi saya fikir mereka sekarang lebih teliti, terutama dalam aspek itu dan penilaian terhadap peluang di luar negara. Tetapi saya beranggapan mereka ambil berat dalam aspek kehebatan reka bentuk dan pekerja yang mereka miliki. Dalam soal pasaran, kita jual LNG kepada China dan ia berjalan seiring dengan harga dan dalam jangka masa panjang, China tetap menjadi pasaran penting bagi PETRONAS. Kami juga mempunyai kerjasama cemerlang dengan rakan China dalam bidang minyak pelincir dan pasarannya terlalu besar untuk diabaikan. Kami berharap dapat perkukuh kehadiran di sana. Namun begitu, rantau ASEAN menjadi keutamaan kerana ia lebih hampir dan memiliki pasaran lebih 600 juta orang dan secara asasnya kita tahu rantau ini lebih baik dan kami mempunyai kelebihan dalam aspek kos pengangkutan.

S: Adakah Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) memberi impak kepada PETRONAS?

J: Kami sudah kemuka pandangan mengenai dua bidang dalam TPPA. Pertama, bidang berkaitan perusahaan milik negara dan satu lagi menyentuh hal pelaburan dan perkhidmatan. Kami sekarang menunggu keputusan akhir dan kandungan perjanjian itu.

S: Sejauh mana pentingnya perniagaan bukan teras PETRONAS kepada keuntungan syarikat?

J: Kami tidak mempunyai perniagaan bukan teras. Kami memiliki hartanah dan hospital. Universiti kami, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) tidak dikira sebagai perniagaan teras tetapi dianggap sebagai pembekal penting kepada tenaga kerja kami. Kami juga mempunyai Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Terengganu dan Pusat Kepemimpinan PETRONAS di Bangi.

S: Bagaimana pula dengan MISC?

J: MISC adalah kekuatan strategik. Perniagaan besar MISC hari ini adalah tangki LNG. Banyak cabang perniagaan sudah dirasionalisasi. MISC melengkapi perniagaan kami sebagai pemain LNG. Kami boleh menghasilkan di luar pesisir, kita boleh cairkannya dan kini boleh mengangkut gas. Ia sesuai dengan rantaian nilai keseluruhan. Kami juga mempunyai MMHE di Pasir Gudang, perniagaan fabrikasi kami di bawah MISC.

S: Boleh ceritakan pembabitan PETRONAS dalam F1?

J: Kami masih berada dalam F1 untuk tujuan penjenamaan korporat. Lebih penting lagi, kita lakukan banyak penyelidikan dalam perniagaan minyak pelincir. Kami mempunyai dua kakitangan yang mengikuti pasukan dan sebuah makmal di tapak yang mana kami buat analisis pelincir dan reka bentuk enjin serta pelincir bersama-sama. Maksudnya pelincir kami direka secara khusus untuk enjin ditetapkan. Kami juga yang pertama membekalkan Mercedes pelincir Syntium kami untuk kereta AMG mereka yang dikeluarkan di kilang Jerman dan di pelbagai negara. Kami akan teruskan kerjasama teknikal ini melalui F1.

S: Bagaimana dengan penyelidikan dan pembangunan dalam tenaga baharu?

J: Buat masa ini, kami sudah mengenal pasti hanya tenaga solar yang akan kami beri tumpuan. Oleh kerana ada ruang besar dalam bidang tenaga diperbaharui, itulah sebabnya kami beri tumpuan kepada bidang ini. Kami mempunyai tapak solar 10 MW di Gebeng, Pahang. Maka buat masa ini, kami hanya kenal pasti tenaga solar. Pada masa hadapan kami masih dalam proses mengenal pasti apakah yang mahu dilihat. Kami perlu fokus kepada apa yang kita mahu. Ada beberapa perkara lain yang PETRONAS sedang kaji, seperti pengimbasan geo. Cecair ionik juga satu lagi bidang yang kita jalankan dengan sebuah universiti di Belfast, Ireland. Juga pengendalian merkuri. Walaupun bidang teknikal ini belum begitu meluas, terdapat juga cadangan mengikut nilai yang diambil kira PETRONAS untuk masa depan. Kami terbabit dalam menentukan piawaian bagi pengendalian merkuri di Malaysia.

S: Apakah status subsidi gas sekarang?

J: Kerajaan bermurah hati untuk mengurangkan subsidi dari semasa ke semasa. Kami berharap mereka akan berpegang kepada jadual pengurangan dua kali setahun.

S: Ceritakan mengenai program PETRONAS Semua Untuk Belia?

J: Ini adalah program kami bersama sekolah, terutama di kawasan di mana kami beroperasi. Kami beri mereka sedikit geran untuk mengemukakan idea bentuk bantuan yang beri impak kepada masyarakat. Ini juga sebahagian daripada platform sukarelawan untuk kakitangan kami. Bagi saya, jika kakitangan kami terutama orang muda, mereka suka terbabit dalam kerja sukarela, mengajar Matematik dan bahasa Inggeris. Kami akan sediakan platform itu. Dalam program Semua Untuk Belia misalnya, sukarelawan kami akan menjadi mentor atau menyertai sistem 'buddy'. Sekolah yang terbabit dalam projek ini kemudian dinilai dan pemenangnya dibawa ke Kuala Lumpur untuk mengetahui dan belajar lebih lanjut mengenai PETRONAS. Satu pasukan dari Sabah baru-baru ini menang projek sistem amaran awal banjir. Inisiatif ini juga untuk menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan kanak-kanak. Kami akan meneruskan program ini. Sambutannya amat menggalakkan. Tahun ini 1,800 kanak-kanak terbabit.
Tags: ekonomi, minyak
Subscribe

Posts from This Journal “minyak” Tag

  • Bila kos naik harga akan naik

    Susah nak marah orang ramai bila mereka marah harga minyak naik awal bulan ini. Kalau ikut harga minyak mentah di pasaran dunia, harga bahan…

  • Of being an oilman

    AMERICAN industrialist, oilman, and at one time, the country’s richest private citizen, John Paul Getty, was once asked of attributes to his…

  • Aliran harga minyak rendah dijangka berterusan

    Wawancara A Jalil Hamid dan Mustapha Kamil Mohd Janor bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments