Bukan sekadar menukar nama dan logo yang bersifat kosmetik atau luaran, pengislahan UMNO itu harus menjurus kepada pengukuhan pemikiran, ideologi serta pemantapan jiwa perjuangan UMNO itu sendiri.
UMNO perlu menjadi parti moden yang terus menjadi pilihan masyarakat. UMNO tidak seharusnya lemas dengan gelombang globalisasi yang sarat dengan idea baharu dan segar demi kepentingan bangsa.
Bagi memastikan UMNO terus kekal dan relevan, parti memerlukan banyak idea baharu yang baik. Dan semua ini memerlukan kajian dan penyelidikan serius.
UMNO perlu merangka pelbagai agenda dan keputusan berasaskan pemikiran terkini dan maklumat terbaik. Dasar parti mesti disandarkan dengan pemikiran, analisis, saranan, kritikan dan pandangan yang disokong dengan data emperikal yang terkini, bukan didorong sentimen dan emosi yang membuak-buak atau retorik kosong.
Justeru, saya sudah melancarkan penubuhan sebuah institut pemikir, Bait Al Amanah atau Rumah Amanah baru-baru ini. Bait Al Amanah yang dimiliki UMNO Johor ini, akan berperanan menjadi sumber rujukan UMNO Johor dalam meneroka dasar baharu, merekayasa dasar sedia ada dan menyusun agenda lebih strategik dalam perjuangan orang Melayu pasca moden.
Bait Al Amanah
Penubuhan Bait Al Amanah tepat pada masanya. Mana mungkin sebagai parti yang sudah lama dan banyak berjasa seperti UMNO, boleh mengabaikan kepentingan mempunyai badan pemikirnya tersendiri. Ini bukan lagi zaman pra kemerdekaan, sebaliknya kita berada pada zaman yang menuntut politik untuk berupaya mendepani pelbagai isu nasional dan antarabangsa dan mengemukakan dasar, pandangan dan penyelesaian konstruktif. Sebagai komitmen kita kepada kepentingan ilmu, idea dan pemikiran dalam membangunkan UMNO,
Bait Amanah sama sekali tidak berorientasikan keuntungan. Ia adalah hadiah UMNO untuk bangsa dan negara. Ia akan dibiayai oleh UMNO melalui dana khusus.
Bait Amanah akan bersifat bebas, kritikal dan lantang walaupun dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor. Kita tidak akan mencampuri dan mempolitikkan Bait Al Amanah dan hasil dapatan kajiannya UMNO Johor perlu dapatan yang benar-benar objektif, telus dan tepat. Agenda pengislahan UMNO melalui Bait Al Amanah tidak mungkin berjaya tanpa penerajunya. Mereka yang akan memimpin, melaksana dan menjayakan pengislahan ini mestilah kumpulan yang layak dan berkemampuan mencetus dan memimpin pemikiran ahli UMNO.
UMNO Johor memberi peluang kepada pemimpin muda dan berpendidikan dalam parti. Ramai bertanya kepada saya, kenapa dalam usaha pengislahan ini, kita harus memilih dan memberikan tanggungjawab itu kepada satu kumpulan khusus, iaitu kumpulan profesional yang berpendidikan tinggi. Saya mempunyai empat sebab kenapa kumpulan itu adalah golongan sasar yang penting dalam ikhtiar pengislahan UMNO ini.
Pertama, selama ini UMNO lupa pada bakat dan potensi yang ada dalam kalangan profesionalnya. Mereka adalah golongan terpelajar dan memegang pelbagai jawatan di luar dan di dalam parti. Ada kalanya mereka tidak diberikan ruang dan peluang yang baik dalam parti.
Akibatnya, ramai bakat berkebolehan tidak tampil ke hadapan dan menyumbang dengan berkesan kepada UMNO. Ini kerugian besar kepada UMNO.
Usah sekadar jadi pemerhati
Kedua, ramai profesional yang menganggotai parti, tetapi tidak tahu bagaimana mereka boleh menyumbang dengan bermakna kepada parti. Kita harus akui, sebelum ini, ramai golongan profesional dalam UMNO hanya menjadi pemerhati dan lebih banyak mendiamkan diri.
Lantas, mereka tidak memanfaatkan ilmu dan pengalaman untuk menjayakan parti dan agenda bangsa. Atas dasar itu, UMNO Johor akan membuka ruang yang luas agar golongan profesional yang ada akan tampil dan memberikan amal dan bakti melalui kepakaran, ilmu dan pengalaman mereka.
Ketiga, golongan profesional lazimnya adalah sosok yang dihormati dan diteladani oleh masyarakat. Kita percaya, kewibawaan golongan terpelajar harus menjadi pemangkin kepercayaan kepada parti.
Justeru, UMNO mesti didukung dan dipimpin oleh mereka yang disegani dan boleh diteladani oleh masyarakat. Akhir sekali, kita memilih untuk mengajak golongan profesional mengambil tanggungjawab dalam pengislahan UMNO.
Apa lagi yang harus kita wariskan kepada anak bangsa kita jika bukan kepada generasi pemimpin yang berilmu, berintegriti dan mempunyai visi dan jiwa besar. Sampai bila kita hanya mahu mengungkit dan mengingatkan kejayaan masa silam.
Sudah tiba masanya untuk kita pula yang merencana dan mencipta sejarah UMNO yang baharu. Semua ini boleh dilakukan jika semua pihak dalam UMNO, terutama profesional, diberikan ruang dan kepercayaan sewajarnya.
Ternyata UMNO memerlukan lebih ramai pemikir, namun harus juga kita insafi, dalam usaha mengupayakan kedudukan profesional dan berpendidikan tinggi dalam proses pengislahan UMNO, ia wajar diimbangi secara kolektif dengan nasihat, pengalaman dan wisdom oleh ahli parti yang lebih berpengalaman, lebih lama dan lebih dewasa.
Kita percaya, kesepaduan minda dan pemikiran kedua-dua pihak ini akan melonjakkan lagi kedudukan UMNO menjadi sebuah parti politik mendahului zamannya.
Khaled Nordin Berita Harian Kolumnis Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:23 AM