kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bila kos naik harga akan naik

Susah nak marah orang ramai bila mereka marah harga minyak naik awal bulan ini. Kalau ikut harga minyak mentah di pasaran dunia, harga bahan petroleum patutnya tak naik.

Turun boleh jadi. Ambil contoh harga minyak mentah West Texas Intermediate yang berupa salah satu penanda aras utama bagi harga minyak mentah dunia.

Bagi bulan September, harga kontrak untuk hantaran November jatuh 1.82 peratus kepada AS$45.83 (kira-kira RM187.90 bagi tukaran 15 Oktober) satu tong.

Malah pada satu peringkat dalam bulan Ogos, harga jatuh kepada AS$38 (kira-kira RM155.80). Pertumbuhan lembap ekonomi China dan permintaan yang lemah tekan turun harga minyak mentah walaupun simpanan makin kurang.

Logiknya bila stok jatuh, harga naik. Tapi harga runcit bahan-bahan petroleum naik walaupun harga minyak turun sebab nilai duit kita jatuh - daripada RM3.24 bagi satu dolar Amerika setahun lalu kepada RM4.38 pada 23 September lepas.

Jangan pandang ringan kejatuhan nilai duit

Maksudnya kalau setahun lalu kita perlu bayar RM3.24 bagi satu dolar Amerika, sekarang kita kena bayar lebih RM4. Sebab itulah Kunta Kinte ulang kali bagi amaran jangan pandang ringan kejatuhan nilai duit kita dan punca-punca ia jatuh. Bila duit kita jatuh, harga import secara automatik naik.

Bukan harga minyak saja naik, boleh kata semua harga barangan import atau yang ada bahan import dalamnya dah naik. Pasal itulah Kunta Kinte tak jemu-jemu bagi amaran supaya kita perbaiki keadaan dalam negara kita daripada semua sudut agar dunia yakin semula kepada kita dan dengan itu nilai duit kita naik balik.

Dalam hal harga minyak, banyak orang tak tahu yang kita dah jadi pengimport bersih minyak. Kita import lebih banyak minyak mentah daripada yang kita eksport.

Mutu minyak tinggi jadi harganya mahal. Kita jual minyak mutu tinggi dengan harga tinggi dan kita import minyak mutu rendah untuk kegunaan dalam negeri. Tapi dalam keadaan ekonomi dunia dan negara yang lemah sekarang,

PETRONAS yang kuat dan besar itu pun dah mula rasa kesannya. Jadi bayangkanlah nasib peniaga kecil dan sederhana serta penjaja tepi jalan. Kemudian tak sampai sebulan harga minyak naik, kadar tol pula diumumkan akan naik. Kadar kenaikan pula cukup besar.

Tentulah pengguna marah. Apatah lagi masa Pilihan Raya Umum 2013 kerajaan janji nak turunkan kadar tol secara berperingkat. Masa lancar kempen "Aku Janji" PRU ke-13 pada 6 April 2013, kerajaan janji "akan kurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat demi kesenangan rakyat Malaysia".

Dulu boleh buat janji tapi tak laksana sebab rakyat jelata tak ada bukti nak ungkit. Tapi sekarang tak boleh macam itu lagi. Dengan internet rakyat jelata yang celik ICT, boleh cari bukti.

Rakyat mengeluh, marah

Jadi kita kena hadapi realiti kalau rakyat jelata mengeluh dan marah. Memang hidup makin sempit. Itu kita tak boleh nafi. Kalau orang senang pun dah mula rasa kesempitan hidup, apa lagilah orang susah.

Macam-macam cerita dan berita tak baik kita dengar, kita baca dan kita tengok. Sekarang tak payah tunggu surat khabar lagi untuk tahu. Kalau surat khabar tak siar pun kita boleh tahu juga.

Macam-macam saluran maklumat ada untuk cari berita dan bertukar-tukar fikiran. Ada portal berita, blog, Facebook, Instagram, Twitter dan macam-macam lagi; murah atau percuma.

Tauke kedai kopi yang kerap Kunta Kinte pergi di Damansara Utama kata, harga borong kebanyakan bahan makanan import dah naik sebab kurang bekalan dan kejatuhan nilai ringgit.

Jerebu pun bagi kesan ke atas harga. Misalnya, harga ikan naik bila jerebu halang nelayan ke laut. Bila harga borong naik, harga runcit lagilah naik. Tak cukup tipu harga, timbang dan mutu barang pun tipu juga.

Antara akhir Ogos dengan sekarang, harga borong bawang besar naik seringgit sekilogram kepada RM3.17, cili kering daripada RM9 kepada RM11 tapi bawang merah turun sampai RM4 kepada RM5.

Masa jerebu paling teruk, harga borong ikan tenggiri naik sampai RM27 sekilogram. Minta maaflah kalau Kunta Kinte silap, tapi rasanya dah lama tak dengar dan tak baca berita operasi besar-besaran pantau harga dan bekalan.

Kunta Kinte tak dengar pula penguat kuasa serbu, rampas, sita dan seret peniaga tipu ke mahkamah.

Yang Kunta Kinte takut, mereka tak serbu dan periksa sebab mereka dah tahu memang harga naik atau media massa tak berminat dengan berita macam ini.

Lagi satu, bila kerajaan benarkan harga minyak dan tol naik hampir-hampir serentak, susah kita nak suruh pengusaha pengangkutan dan peniaga jangan naikkan harga. Ini hukum pasaran. Bila kos naik, peniaga akan pindahkan bebannya kepada pengguna. Wallahuaklam.
Tags: ekonomi, kos, minyak
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments