kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengharapan Bajet 2016 realistik

Persekitaran ekonomi yang lebih mencabar serta kemeruapan pasaran tukaran asing dan pasaran modal dijangka menjadi senario utama yang akan menentukan hala tuju Bajet 2016. Pada awal tahun ini juga kita telah pun menyaksikan pihak kerajaan menyemak semula sasaran defisit fiskal bagi tahun 2015. Oleh itu, adalah amat penting bagi rakyat Malaysia meletakkan pengharapan yang realistik terhadap bajet yang bakal dibentangkan pada 23 Oktober depan. Sebelum memulakan perbincangan mengenai tinjauan Bajet 2016, kita seharusnya perlu memahami apakah faktor-faktor yang di luar kawalan yang mampu memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Umum perlu mengetahui bahawa negara sememangnya mempunyai sistem ekonomi yang terbuka kepada perdagangan luar negara serta aliran modal asing yang sentiasa keluar dan masuk ke dalam sistem kewangan negara. Sebagai contoh, kita masih lagi tidak pasti bilakah kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) akan dinaikkan. Berdasarkan pemerhatian penulis, tarikh jangkaan kenaikan kadar faedah di AS sentiasa berubah-ubah. Buat masa ini, bulan Disember dilihat sebagai jangkaan terkini oleh para penganalisis ekonomi. Tidak keterlaluan juga sekiranya perkara ini akan berlaku pada tahun depan berikutan cadangan oleh pihak IMF bagi menangguhkan pelan kenaikan kadar faedah AS kepada tahun 2016. Namun, kadar inflasi AS masih lagi rendah dan di bawah sasaran bank pusat mereka iaitu dua peratus.

Perkara ini menimbulkan kesangsian memandangkan mandat Rizab Persekutuan AS dengan jelas menyatakan sasaran inflasi dua peratus perlu dicapai. Perangkaan terkini menunjukkan kadar inflasi AS berada pada kadar 0.2 peratus pada bulan Ogos tahun ini. Di samping itu, suasana ekonomi China mendapat perhatian khusus memandangkan saiz ekonomi negara itu adalah kedua terbesar di dunia. Sudah semestinya kelembapan ekonomi China tidak boleh dipandang ringan oleh negara-negara lain berikutan pergantungan serta rantaian pasaran yang kian terjalin dari semasa ke semasa. Oleh itu tidak hairanlah mengapa sentimen para pengguna dan para peniaga kekal rendah.

Untuk rekod, Consumer Sentiment Index (CSI) dan Business Condition Index (BCI) yang dikeluarkan oleh pihak Malaysian Institute of Economic Research (MIER) mencatatkan penurunan kepada 71.7 dan 95.4 mata pada suku kedua tahun ini. Ini menunjukkan sentimen para pengguna dan para peniaga berada pada tahap yang lemah memandangkan ia berada di bawah paras 100 mata. Di samping itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) juga mencatatkan peningkatan yang tinggi selepas perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bulan April yang lalu.

Momentum

Kadar kenaikan IHP berada pada paras 3.1 peratus bagi bulan Ogos tahun ini berbanding 0.9 peratus yang direkodkan pada bulan Mac sebelum perlaksanaan GST. Dalam hal ini, peranan kerajaan adalah amat penting bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus mapan. Perbelanjaan kerajaan dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan berikutan kesan berganda kepada sektor-sektor ekonomi yang lain. Oleh yang demikian, konteks Bajet 2016 kali ini dijangka akan mengimbangi keperluan jangka pendek serta jangka panjang bagi memastikan setiap peruntukan belanjawan itu akan dibelanjakan secara optimium.

Buat masa ini, isu berkaitan kenaikan kos sara hidup serta pemilikan rumah mampu milik terutamanya bagi golongan B40 dijangka akan menjadi agenda utama. Justeru, kenaikan dalam Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dilihat antara cadangan yang telah pun kedengaran. Selain itu, meningkatkan jumlah pemohon Skim Perumahan Belia juga dilihat boleh menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan pasangan belia yang ingin memiliki rumah pertama mereka. Skim ini melibatkan insentif RM200 sebulan bagi menampung ansuran bulanan untuk tempoh dua tahun.

Pada waktu ini, skim yang telah pun diperkenalkan di dalam Bajet 2015 hanya memperuntukkan sejumlah 20,000 pasangan belia berumur 25 hingga 40 tahun yang sudah berkahwin. Di sampng itu, lanjutan tempoh pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas instrumen pembiayaan perumahan bagi kewangan Islam juga boleh dipertimbangkan. Dengan melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ini, ia akan dapat mengurangkan kos pembelian rumah. Perkara ini sekali gus dapat membantu memajukan sektor perbankan Islam serta menjadi pelengkap kepada skim pemilikan rumah dalam kalangan belia.

Pengecualian duti setem ini telah pun diperkenalkan pada tahun 2009 dan akan berakhir pada tahun 2015. Selain daripada menangani isu kenaikan kos sara hidup serta pemilikan rumah, Bajet 2016 juga adalah merupakan platform terbaik bagi memastikan ekonomi negara akan terus berdaya saing dan produktif. Untuk tujuan ini, penurunan dalam pelaburan mesin dan alatan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian khusus. Perangkaan terkini menunjukkan nisbah pelaburan mesin dan alatan kepada jumlah pelaburan menurun kepada 32.3 peratus pada suku kedua tahun 2015. Ini berbanding 47.7 peratus pada suku keempat tahun 2010. Sekiranya perkara ini tidak bendung, berkemungkinan ia boleh menjejaskan produktiviti negara kerana penyerapan buruh mahir bagi mengendalikan mesin dan peralatan akan berkurangan.

Dan kebergantungan terhadap buruh asing yang tidak mahir akan memburukkan lagi kepada pertumbuhan pendapatan para pekerja mahir. Justeru, pemberian insentif cukai untuk pelaburan semula dilihat langkah yang tepat bagi menggalakkan pelaburan dalam mesin dan peralatan. Selain itu, Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah yang telah dilancarkan pada tahun 2012 dengan dana RM2 bilion ringgit juga perlu diteruskan.

Skim ini telah pun mendapat sambutan yang baik dalam kalangan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (SME) yang mana kesemua dana yang diperuntukan telah pun diagihkan sepenuhnya oleh 12 institusi perbankan Islam. Maka adalah wajar jika skim ini dapat diteruskan bagi meningkatkan lagi daya saing serta sumbangan SME kepada ekonomi negara. Bagi menggalakkan lagi penyertaan para pelabur dalam Platform Akaun Pelaburan (IAP), pengecualian cukai terhadap pendapatan daripada IAP kepada para pelabur institusi juga boleh dipertimbangkan. Ini memandangkan insentif yang serupa telah pun diberikan kepada para pelabur individu.

Suasana ekonomi pada masa hadapan dilihat lebih mencabar. Namun, kita perlu meletakkan pengharapan yang lebih realistik bagi mengharungi situasi ketidakpastian yang seharusnya akan memberi impak kepada semua pihak. - Mohd Afzanizam Abdul Rashid Utusan Malaysia Rencana 18 Oktober 2015 12:50 AM

Tags: ekonomi, industry
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments