kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Strategi Bajet 2016 sejahterakan rakyat

BAGI rakyat biasa di negara ini, pembentangan bajet tidak begitu dipedulikan, walhal bajet beri kesan langsung terhadap ekonomi dan kehidupan mereka. Buktinya, tidak ramai yang ikuti ucapan bajet ketika siaran langsung atau membaca ucapan terbabit dengan teliti, keesokannya.

Bagi penjawat awam, sebahagiannya hanya mahu tahu sama ada kerajaan umumkan kenaikan gaji, dan beri bonus atau tidak.

Strategi dan angka yang diumumkan dalam bajet, beri tempias langsung kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara, pada jangka pendek atau panjang, dari segi kemajuan negara, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pengurangan kemiskinan, malah kualiti hidup keseluruhannya.

Bajet 2016 yang dibentangkan pada Jumaat depan, adalah Bajet ketujuh sejak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pentadbiran dan bajet negara ke-57.

Apakah pula strategi Bajet 2016 kali ini?

Strategi Bajet 2015 adalah memperkukuh pertumbuhan ekonomi; memantap tadbir urus fiskal; mengupaya modal insan dan keusahawanan; memperkasa agenda Bumiputera; memartabat peranan wanita; membangun Program Transformasi Belia Negara; dan, mensejahtera rakyat.

Tumpuan tentu diberi kepada sektor ekonomi, pendidikan dan latihan, sosial, perumahan dan kesejahteraan rakyat, apatah lagi, perumahan terus menjadi isu yang sentiasa menggelegak, disebabkan harga sentiasa meningkat, di luar daripada kemampuan rakyat.

Pelajar miskin terutama dari luar bandar perlu dibantu, termasuk ketika mereka hendak mendaftar di universiti, bagi memastikan impian mereka tidak kecundang.

Ketika ekonomi negara tidak menentu dan rakyat dihimpit kos sara hidup di tengah-tengah nilai ringgit yang menguncup dan pelaksanaan

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tentu menjadi cabaran besar bagi Perdana Menteri memastikan bagaimana ekonomi mikro diurus dengan baik, tanpa membebankan rakyat. Pelaburan terbabit penting bukan saja untuk menggerakkan aktiviti ekonomi, tetapi wujudkan lebih banyak pekerjaan.

Lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi penting, kerana kadar pendapatan atau gaji pekerja di negara ini tidak bergerak seiring peningkatan kos sara hidup.

Jurang pendapatan antara etnik, sesama etnik dan antara bandar dengan luar bandar perlu dirapatkan. Bajet 2016 perlu strategi untuk menggerakkan ekonomi bertunjangkan kepakaran dan keterampilan tinggi, kreativiti dan inovasi, khususnya dalam kalangan belia dan siswazah.

Peruntukan lebih tinggi

Melalui bajet yang dijangka lebih tinggi peruntukannya berbanding sebelum ini, kerajaan pasti ambil kira keresahan dan survival rakyat.

Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion, peningkatan RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014. Sebanyak RM223.4 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus, dan RM50.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Berdasarkan penyelidikan yang saya lakukan di peringkat akar umbi, isu utama yang menjadi keprihatinan rakyat, baik di bandar mahupun luar bandar adalah berkaitan harga barangan yang bagai tidak terkawal dan GST.

Tangani cabaran semasa

Mereka sering menyalahkan pelaksanaan GST sebagai punca peningkatan harga barangan meskipun hakikatnya, sebahagiannya berpunca daripada ketamakan peniaga.

Dengan hasil kutipan kerajaan daripada GST sekitar RM23 bilion, rakyat amat berharap agar hasil terbabit disalurkan kembali kepada mereka.

Kerajaan yang prihatin ialah kerajaan yang mendengar rintihan rakyat, dengan ambil tindakan konkrit untuk redakan beban harian mereka.

Adakah kerajaan akan tingkatkan lagi jumlah BR1M dan bantuan kepada pelajar?

Supaya lebih berkesan, kerajaan perlu salurkan batuan kepada golongan sasar secara lebih spesifik, terutama orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan miskin bandar dan luar bandar. Inilah golongan yang paling terbeban sekarang.

Fokus sudah tentu mengenai bagaimana ekonomi domestik yang berdepan cabaran semasa terus diperkukuh pertumbuhan demi menjamin kemampanan fiskal.

Penting bagi bajet itu untuk tingkatkan perbelanjaan pembangunan dan kurangkan perbelanjaan operasi bagi imbangi defisit negara. Kerajaan tentu mahu sediakan ekosistem yang kondusif bagi melonjakkan pelaburan domestik dan asing.

Yang lebih penting adalah bagaimana kos sara hidup dapat diredakan kerana sebagai kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat,

Najib pasti prihatin mengenai keperluan untuk tangani isu terbabit. Program Transformasi Ekonomi (ETP) menyasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Perkapita kepada AS$15,000 dan memperoleh AS$444 bilion dalam pelaburan bagi mencapai sasaran menjadi negara maju berpendapatan tinggi, maka ekonomi negara perlu terus tumbuh dan berkembang dengan positif dalam semua sektor.

Pembangunan luar bandar tentu menjadi antara tunjang Bajet 2016. Pasti lebih banyak peruntukan disalurkan kepada Sabah dan Sarawak, bagi memastikan projek yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesebelas dapat dilaksanakan, agar penduduk luar bandar, yang menjadi penyokong tegar Barisan Nasional, tidak terus berdepan masalah ketiadaan bekalan elektrik, air bersih dan kemudahan asas lain.

Autonomi hanya akan bererti jika jurang pembangunan dapat dirapatkan. Sabah dan Sarawak ketinggalan dari segi prasarana dan kemudahan awam, pengangkutan awam, pembangunan modal insan dan perumahan.

Bajet 2016 diharapkan terus merancakkan pertumbuhan ekonomi, tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan perkapita, kurangkan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan, tingkatkan kualiti hidup, dan atasi kos sara hidup demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Tags: ekonomi, sejahtera
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments