kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bajet, Politik dan Semasa

BAJET HARAPAN?

Pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat depan dinantikan seluruh rakyat Malaysia.

Awang lihat harapan terhadap bajet kali ini lebih tinggi. Persoalannya sejauh mana bajet tersebut dapat memberi impak t terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kerajaan sudah memperlihatkan komitmen tinggi sejak beberapa bajet yang lalu bagi menangani tekanan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan isi rumah, isu perumahan dan peluang pekerjaan golongan muda. Jika dibandingkan dengan bajet banyak negara, memang belanjawan Malaysia diakui oleh penganalisis dan diplomat asing lebih pemurah.

Namun apa yang dilakukan dilihat masih tidak memadai. Keluh kesah dan rintihan terus kuat kedengaran, menjadikan ia isu utama. Maknanya, banyak lagi yang perlu dilakukan. Inilah cabaran mana-mana kerajaan dalam memenuhi kehendak rakyat sambil memastikan bajet yang realistik demi menjamin pertumbuhan ekonomi.

Awang berharap polisi dan langkah drastik tertentu dapat dilaksanakan dalam Bajet 2016. Ini meliputi polisi yang memudahkan lagi rakyat terutama golongan muda memiliki rumah. Antaranya mengkaji semula wang deposit yang tinggi seperti dikenakan sekarang, mengurangkan lagi caj-caj berkaitan dan memastikan pembiayaan bank yang mudah bagi rumah pertama.

Kos sara hidup juga makin mencengkam sama ada penduduk di bandar mahupun luar bandar, menuntut formula terbaik bagi menanganinya. Kepada siapa lagi rakyat mahu berharap, jika bukan kerajaan yang diberi mandat. Lebih daripada itu, kita menanti jika ada kejutan yang menggembirakan, apatah lagi dalam senario sekarang.

KESAL SAHAJAKAH?

Pagi semalam, apabila Awang mendongak ke langit di sekitar Lembah Klang, jerebu masih melanda dengan kebanyakan tempat mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat. Maka harapan untuk melihat masalah jerebu berakhir belum menjadi kenyataan. Hampir dua bulan situasi seperti ini berlarutan. Awang sudah bosan. Mudarat kepada rakyat di Malaysia selain Singapura, sebahagian Thailand dan Indonesia sendiri cukup besar. Begitu juga kesannya kepada ekonomi, pendidikan dan pelancongan. Di Kalimantan dan Sumatera, penduduknya jauh lebih kecewa. Keadaan di sana sangat buruk dengan IPU selalu sahaja mencecah ke tahap darurat.

Masalah jerebu kali ini bolah dikategorikan sebagai luar biasa atau singkatannya lubis, bak kata orang Indonesia. Cuma ia tidak melanda kota Jakarta, sebab itu kurang perhatian dan tindakan sewajarnya oleh kerajaan Indonesia pada peringkat awal. Di sebalik semua itu berlaku, Presiden Joko Widodo (Jokowi) sekadar melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku termasuk kesan ke atas negara-negara jiran. Awang harapkan Jokowi yang terkenal dengan sikap budiman akan memohon maaf kepada semua tetapi rupa-rupanya tidak. Agaknya Jokowi tidak melihat masalah tersebut cukup serius apatah lagi lubis. Oh Jokowi.

AKHIRNYA ....

Awang sedikitpun tidak terkejut dengan keputusan Saifuddin Abdullah meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, baru-baru ini. Spekulasi beliau akan lompat parti bukan baharu. Perilaku dan kenyataannya memang sentiasa bercanggah dengan aspirasi UMNO dan berbau pembangkang. Cuma hairan mengapa Saifuddin mengambil masa terlalu lama untuk berbuat demikian. Akhirnya beliau menyerlahkan dirinya yang sebenar. Maka mengesahkan lagi siapa Saifuddin, yang selama ini dilihat sebagai duri dalam daging kepada partinya. Sebab itu, Awang boleh faham mengapa majoriti ahli UMNO lega dengan keputusannya itu. Kononnya beliau ada pengaruh dalam kalangan orang muda, juga tidak benar. Saifuddin bukan ikon muda seperti Khairy Jamaludin. Semalam atas tiket PKR, beliau mula bersuara menghentam kerajaan berhubung isu 1MDB dan lain-lain. Beliau tidak sabar mahu menjadi ayam sabung PKR. Pada saat, beberapa pemimpin PKR teruja menerima Saifuddin, UMNO melihat pemergian beliau sebagai hilangnya beban besar. "Ia umpama PKR mendapat pemain bola sepak import yang bukan sahaja gagal menjaringkan gol dan kurang cergas tetapi menghadapi masalah ego, karektor serta disiplin yang serius,'' demikian komen sinikal seorang pemimpin UMNO kepada Awang.

Dengan kata lain, Saifuddin tidaklah cemerlang dan sehebat mana. Sejak tewas bertanding pada pilihan raya umum ke-13 di Temerloh, beliau bukan sahaja ditolak oleh akar umbi di Pahang malah pengaruh dan cengkamannya merudum. Maka benar kata ramai, UMNO tidak rugi apa-apa. Aura negatif Saifuddin sudah terbang daripada parti tersebut dan biarlah PKR pula menanggung liabiliti itu.

PKR DAN JANJI

Cakap tak serupa bikin. Segala janji untuk menurunkan tol pada setiap kali manifesto pilihan raya umum hanya sekadar retorik. Apabila berpeluang memerintah sebagaimana di Selangor, lain keadaannya.

Ketika kerajaan PKR Selangor membantah kenaikan tol di 18 lebuh raya utama di Lembah Klang berkuatkuasa Khamis lepas, anehnya Menteri Besar, Azmin Ali merelakan kenaikan tol di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan SPRINT.

Meskipun kerajaan negeri mempunyai pegangan saham dalam kedua-dua syarikat berkenaan, tiada usaha untuk menyerap apatah lagi untuk menurunkan kadar tol berkenaan. Beliau mengakui sukar untuk turunkan kadar tol Kesas dan SPRINT. Azmin boleh memberikan apa sahaja alasan tetapi rakyat masih ingat janji berdegar-degar PKR untuk hapuskan tol dan lain-lain termasuk cukai tanah. Sekali lagi, lain keadaannya apabila berkuasa.

Di sebalik peringatan Kementerian Kesihatan agar orang ramai tidak menghisap vape atau rokok elektronik kerana boleh menjejaskan kesihatan, ia sudah menjadi fenomena.

FENOMENA VAPE

Bukan sahaja semakin ramai terutama orang muda dan remaja menghisap vape, kedai-kedai dan pusat jualan produk serta aksesori berkaitan, muncul di merata-rata tempat.

Ini membentuk golongan penyokong vape makin membesar dan berpengaruh. Awang tidak nampak arus gejala ini boleh dihalang melainkan ia susut dengan sendirinya. Pihak yang paling menerima kesannya adalah industri rokok, yang sudah mula terjejas. Tetapi ini adalah lumrah dalam teknologi alaf baharu sebagaimana penjualan dan pengeluaran kamera jatuh merudum dengan adanya telefon berkamera.

Dalam isu vape, Awang tidak mahu membuat sebarang rumusan. Menyokong tidak, membantah pun tidak. Perdebatan mengenai vape ini sudah lama tetapi tiada penyelesaiannya. Serahkan sahaja kepada pihak berkuasa, yang Awang tidak nampak akan dapat berbuat apa-apa lagi.

SEJARAH BERULANG

Kehadiran Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Mohd Shafei Apdal dan Tengku Razaleigh Hamzah bersama mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pada satu sidang akhbar baru-baru ini, menaikkan lagi suhu politik negara.

Ketiga-tiga tokoh UMNO itu menyertai Mahathir membantah penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang yang didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba sabotaj ekonomi serta kewangan negara.

Nampaknya Muhyiddin, Shafei dan Tengku Razaleigh telah memilih jalan mereka sendiri walaupun tindakan tersebut berlawanan dengan semangat dan prinsip dalam parti. Mana-mana parti politik sekalipun tidak akan membenarkan para pemimpinnya melakukan tindakan yang sedemikian.

Biar apa pun tafsiran, sudut pandangan dan hujah dalam isu-isu yang kritikal, kebersamaan dalam parti adalah landasan yang perlu dipertahankan.

Tentu Muhyiddin, Shafei dan Tengku Razaleigh sangat faham dan bersedia untuk hadapi apa sahaja risikonya. Awang percaya UMNO yang matang dalam menangani krisis akan dapat mencari penyelesaian. Gelora politik bukan asing dalam UMNO.

Krisis politik UMNO pada 1980an yang menyaksikan parti itu terpecah kepada pasukan A dan B, lebih buruk. Begitu juga ketika krisis pemecatan Timbalan Presiden, Anwar Ibrahim yang mengakibatkan perubahan landskap politik.

Kedua-dua krisis itu dapat diatasi akhirnya dan UMNO kembali kukuh. Bukan sedikit kemelut dan isu yang melingkari Mahathir ketika beliau berkuasa. Beliau terselamat termasuk daripada cubaan dijatuhkan oleh gerakan Tengku Razaleigh dan Anwar.

Sejarah berulang. Kini Perdana Menteri, Najib Tun Razak menempuh cabaran yang sama biarpun latarbelakang isu berbeza tetapi politik tetapi politik. Seperti juga Mahathir, Najib mahu mengharunginya walaupun getir.

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 18 Oktober 2015
Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments