kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis DNA Forensik

Penerimaan bukti DNA dalam sistem perundangan di England dan Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1980-an telah membawa kepada revolusi baharu dalam bidang Sains Forensik. Sir Alec Jeffreys, seorang saintis di England merupakan individu pertama yang memperkenalkan kaedah DNA Fingerprinting bagi mengenalpasti individu.

Dengan menggunakan teknik ini, seorang remaja berusia 17 tahun yang menghadapi tuduhan membunuh telah di­buk­tikan tidak terlibat dalam jenayah tersebut. Setahun ke­mudian, penjenayah sebenar telah berjaya dikenal pasti, juga dengan menggunakan kaedah DNA Fingerprinting.

Bermula dari kejayaan bukti DNA dalam kes ini, ia se­ma­kin diterima pakai oleh sistem perundangan di negara-ne­gara lain, termasuk juga Malaysia (sekitar tahun 1990-an). Berdasarkan ketepatan dan kebolehpercayaan analisis DNA forensik, ia telah menjadi bukti yang sangat penting, terutamanya untuk tujuan pengecualian individu yang tidak bersalah.

Semua sel, kecuali sel darah merah matang mengandungi DNA. Oleh yang demikian, semua jenis sampel biologi yang di­temui di tempat kejadian (crime scene) boleh digunakan dalam analisis DNA forensik. Kaedah DNA Fingerprinting yang diperkenalkan oleh Sir Alec Jeffreys menggunakan bahagian DNA yang mengandungi corak jujukan berulang yang unik bagi setiap individu. Pada hari ini, jujukan berulang yang dinamakan sebagai Short Tandem Repeats (STRs) merupakan penanda utama yang digunakan dalam analisis DNA forensik.

Perbezaan corak penanda STRs inilah yang akan memberikan profil DNA bagi setiap individu. Semakin banyak penanda STRs yang digunakan, semakin tinggilah perbezaan yang ditunjukkan di antara individu. Bagi 13 hingga 15 penanda STRs yang di­gunakan oleh kebanyakan mak­­­­mal forensik di se­­luruh dunia pada ma­sa kini, kuasa dis­kri­­minasi (power of discri­mination) adalah menghampiri satu dalam 1014-1023 populasi (jum­­­lah populasi dunia se­takat ini adalah 7.3 bilion).

Ini bermakna, se­tiap individu, ke­cuali kembar seiras, mem­­punyai DNA profil tersendiri yang tidak mungkin akan sama de­ngan mana-mana in­dividu lain di atas muka bumi ini. DNA yang ber­be­za mempunyai ke­­pentingan yang berbeza dalam analisis DNA forensik. Dalam kes-kes jenayah, pe­nan­da STRs pada DNA autosom (DNA nukleus selain daripada kromosom seks) merupakan pilihan utama kerana sifatnya yang unik bagi setiap individu. Berbeza dengan STRs pada kromosom Y, setiap lelaki daripada keturunan paternal yang sama akan mempunyai profil Y-STRs yang sama.

Walau bagaimanapun, analisis STRs pada kromosom Y adalah penting dalam kes jenayah seperti rogol kerana ia adalah spesifik kepada lelaki sahaja. Ini akan dapat membantu sekiranya jumlah DNA yang diperolehi dari tempat kejadian atau daripada mangsa (vaginal swab) mengandungi DNA penjenayah (lelaki) yang jauh lebih rendah daripada jumlah DNA mangsa (perempuan). Penggunaan STRs pada kromosom Y akan dapat mengesan DNA yang sedikit ini dan seterusnya memberikan profil DNA penjenayah tersebut. Selain daripada DNA autosom dan kromosom Y, DNA mitokondria juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dalam analisis DNA forensik.

DNA yang hanya diwarisi secara maternal (daripada ibu sahaja) ini sangat berguna dalam kes yang memerlukan identifikasi mangsa seperti orang hilang atau mangsa yang tiada maklumat identititi. DNA mitokondria juga lebih tahan terhadap degradasi dan wujud dalam jumlah yang lebih ba­nyak dalam setiap sel. Oleh yang demikian, dalam kes-kes yang melibatkan sampel biologi yang telah mereput teruk atau tulang yang terbakar, DNA mitokondria boleh membantu dalam mengenal pasti identiti mangsa melalui perbandingan dengan saudara daripada keturunan maternal yang sama.

Penemuan

Kemajuan teknologi berkaitan analisis DNA forensik telah membolehkan sampel biologi yang seringkali ditemui dalam kualiti yang terhad di tempat kejadian, seperti kesan air liur, darah dan air mani, diguna pakai untuk tujuan iden­tifikasi. Walaupun jumlah DNA yang diperolehi sangat se­dikit, teknologi seperti Polymerase Chain Reaction (PCR) mem­bolehkan DNA diamplifikasi sehingga mencapai jumlah yang mencukupi untuk tujuan analisis. Kaedah PCR juga sangat spesifik di mana primer yang digunakan (primer adalah rantai pendek DNA yang menjadi pemula untuk sintesis rantai DNA yang baharu) telah direka untuk berpadanan dengan DNA manusia sahaja.

Spesifikasi adalah amat penting dalam kes forensik, ter­u­ta­manya apabila melibatkan sampel yang telah bercampur aduk antara DNA manusia dengan bukan manusia. Dengan menggunakan primer yang hanya spesifik kepada DNA manusia, semua DNA lain yang turut berada dalam sampel yang hendak diuji tidak akan mengganggu keputusan ujian.

Secara ringkasnya, setiap sampel biologi akan melalui proses berikut sebelum DNA profil diperolehi:

1) Pengestrakan: proses untuk membebaskan DNA daripada sel;

2) Kuantifikasi: untuk mengetahui jumlah sebenar DNA yang telah berjaya diekstrak;

3) Amplifikasi: untuk memperolehi DNA dalam kuantiti yang mencukupi;

4) Pemisahan: untuk memisahkan DNA yang telah diamplifikasi berdasarkan saiz masing-masing;

5) Analisis dan interpretasi: perbandingan profil DNA yang diperolehi dengan profil DNA rujukan/suspek;

6) Quality Assurance: bagi memastikan keputusan yang diperolehi serta laporan yang dikeluarkan adalah tepat.

Penemuan profil DNA yang lengkap di tempat kejadian adalah bukti yang sangat berguna dalam kes jenayah. Namun demikian, limitasi utama dalam analisis DNA forensik ada­lah ketiadaan profil DNA daripada suspek untuk dibuat per­ban­di­ngan. Sehubungan itu, penubuhan pangkalan data DNA di Malaysia merupakan satu langkah yang amat baik.

Pangkalan data ini menyimpan beberapa kategori profil DNA, termasuk profil DNA penjenayah. Di Amerika Syarikat, CODIS merupakan antara pangkalan data DNA yang terbesar di dunia. Ia menyimpan antaranya profil DNA penjenayah, orang hilang, bukti tempat kejadian dan orang yang tidak dikenali. Carian profil DNA melalui CODIS telah berjaya menemukan suspek dan menyelesaikan beribu-ribu kes jenayah. Kejayaan bukti DNA dalam kes-kes jenayah telah membuka mata masyarakat tentang kepentingannya. Namun demikian, persepsi masyarakat ka­dang-kala agak tersasar apabila bukti DNA dianggap sebagai penentu akan "kesalahan" seseorang suspek. Bukti DNA sahaja tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa sokongan bukti fizikal lain dan bukti DNA tidak semestinya diperlukan dalam setiap kes jenayah.

Sekiranya jenayah melibatkan saudara mara yang tinggal serumah dan kejadian berlaku dalam rumah tersebut, maka bukti DNA tidak berguna kerana sememangnya DNA pelaku dan mangsa akan ditemui di tempat kejadian. Kehadiran siri televisyen seperti CSI telah sedikit sebanyak menyebabkan ma­syarakat terpesona kepada kecanggihan teknologi yang "diwujudkan" mengikut gambaran penulis skrip dan pengarah sedangkan pada hakikatnya ia tidak lah semudah itu. Saintis berkot putih yang menjalankan analisis di dalam makmal tidak mungkin memegang senjata sejam kemudian, mengejar suspek dalam adegan kejar mengejar yang mendebarkan dan seterusnya menyelesaikan kes tersebut dalam masa kurang 24 jam!

- Prof Madya Dr Zafarina Zainudddin Utusan Malaysia Rencana 18 Oktober 2015 6:00 PM
Tags: medical
Subscribe

Posts from This Journal “medical” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments