kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahan bacaan dan minda masyarakat

KITA sering tertanya mengenai keadaan penduduk di sesuatu tempat atau bandar. Gambaran susah senang dapat ditanggapi secara luaran melalui kediaman, kenderaan dan gaya hidup mereka. Namun kita juga ingin tahu tentang pemikiran dan pandangan semesta mereka. Tahap pendidikan sering dijadikan petunjuk dalam banyak keadaan. Gambaran lebih sempurna mungkin dapat diperoleh melalui analisis psikologi kumpulan menggunakan alat psiko diagnostik atau didalami lagi melalui pelbagai bacaan neoro scan.

Tetapi yang diperlukan hanya suatu petunjuk kasar untuk memberi gambaran umum dalam membantu kita memahami sesuatu masyarakat. Seeloknya ia bersifat ringkas dan pantas bagaikan ujian PCR (Polimerase Chain Reaction) dalam mengesan penyakit berjangkit.

Bahan bacaan seorang boleh dijadikan tingkap minda untuk mengenali pemikiran seorang. Maka analisis bandingan pinjaman buku antara perpustakaan boleh menjadi petunjuk sebahagian gambaran minat bacaan. Malangnya, perpustakaan kita belum lagi mencapai tahap destinasi biasa masyarakat sebagaimana negara maju.

Sebaliknya, kedai buku lebih sering dilawati pelbagai lapisan masyarakat. Buku yang dipamer dalam kedai buku adalah tawaran yang dibuat penerbit dan pengedar berasas kepada permintaan pelanggan. Pemilik kedai akan mengelak daripada menyimpan buku yang dijangka tidak laku. Sedangkan buku perpustakaan lebih untuk memenuhi misinya yang dipengaruhi peruntukan diterima mereka.

Malah bilangan dan taburan kedai buku sendiri juga dapat memberi gambaran permintaan penduduk setempat. Taburan rangkaian Kedai Buku Popular dengan 78 cawangannya atau MPH dengan 27 cawangan misalnya dibuat mengikut keperluan pasaran mereka.

Bagi Kedai Buku Popular, mereka menawarkan banyak buku bahasa Cina yang diimport dari China dan Taiwan. Sementara itu, terdapat sejumlah 23 syarikat pengedar buku Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebahagian bandar kecil kita tidak memiliki kedai buku langsung. Bekalan majalah, kartun dan akhbar diedar melalui kedai runcit. Malah kita tidak boleh mengharap buku akademik keluaran ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia untuk dijual di kedai biasa. Demikian juga dengan jenis buku yang ditawarkan melalui Kinokuniya, Borders, Times atau Skoob.

Namun begitu sekiranya kita sering menjadikan kedai buku dalam sesuatu bandar sebagai destinasi persinggahan, maka dengan pantas kita boleh mengimbas minda masyarakat setempat. Dengan membuat satu pusingan dalam kedai buku, kita dapat menanggapi bacaan masyarakat di situ.

Dalam setengah bandar didapati hanya murid sekolah ke kedai buku. Tawarannya tertumpu kepada buku sekolah, buku tadika, panduan menjawab soalan serta pelbagai buku latihan untuk mengukuhkan kefahaman pelajaran. Novel remaja pula mendominasi rak fiksyen bersama dengan majalah hiburan.

Buku agama yang memiliki ramai penulis dan mendapat dokongan penerbit banyak ditawarkan bagi memenuhi permintaan pembaca. Permintaan ini disokong pula oleh pembelian pukal untuk tujuan bahan bacaan dalam perpustakaan masjid.

Gambaran dari kedai buku jelas menunjukkan minat masyarakat kepada agama kian meningkat. Kadangkala bandar yang ada IPTA dan IPTS juga memiliki kedai buku yang tidak menggambar tahap minda masyarakatnya.

Pendidikan tinggi demikian gagal mendidik penuntutnya untuk mencintai buku. Mereka merujuk kepada nota kuliah sahaja dengan tujuan lulus peperiksaan dan akhirnya mendapat kerja. Lebih malang lagi masih terdapat bandar kita yang belum lagi memiliki kedai buku sempurna. Permintaan yang ada lebih untuk bekalan alat tulis murid sekolah.

Mungkin minat dan tahap pendapatan setempat belum lagi mampu menampung pembukaan sebuah kedai buku. Sementara itu, Internet pula telah meratakan peluang capaian kepada ilmu untuk semua.

Perjalanan kita untuk membina rakyat berminda kelas pertama masih jauh. Lawatan kedai buku mungkin boleh dijadikan kaedah mudah dan ringkas mengimbasi minda masyarakat kerana bahan bacaan adalah tingkap minda kepada pemikiran masyarakat.

- Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria Utusan Malaysia Rencan 19 Oktober 2015 6:34 PM
Tags: baca, buku, minda, pemikiran
Subscribe

Posts from This Journal “baca” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments