kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Integriti bukan hak individu

APABILA menyentuh tentang isu rasuah, sudah pasti kita akan mengaitkannya dengan nilai-nilai integriti yang ada pada diri seseorang. Namun, sejauh mana kita memahami konsep integriti dan mempraktikkannya dalam kehidupan, khususnya di alam pekerjaan?

Bercakap di hadapan kira-kira 500 penjawat awam pada Seminar Kelestarian Integriti di ibu negara baru-baru ini, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar memberitahu, seseorang individu tidak akan membuat perkara yang bertentangan jika dia mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan bumi itu adalah milik Allah SWT.

Dengan jelas beliau memberitahu apabila seseorang individu itu mengetahui mereka akan dihitung di depan Allah SWT, mereka pasti akan menjadi seorang yang berintegriti.

“Seseorang yang berintegriti akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah ialah nilai integriti tidak dipahat dan dipraktikkan.

“Mereka tidak memahami tanggungjawab diri sendiri dan tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan,” kata beliau dalam seminar yang bertemakan, Integriti: Cabaran Penguatkuasaan dan Realiti di Malaysia.

Jelas beliau, apabila nilai integriti tidak dipraktikkan, seseorang individu itu akan bertindak di luar tatatertib, melanggar undang-undang serta peraturan hidup.

Nilai integriti bukan sahaja perlu dipahat pada diri sendiri, namun perlu ditanam terhadap mereka yang berada di sekeliling kita termasuk ahli keluarga, ujar beliau pada seminar anjuran bersama Pusat Pembangunan Integriti Korporat Akademi Pencegahan Ra­suah Malaysia (MACA), peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 11 Bil 3 /2015 dan Unit Integriti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Sebagai nasihat ke­pada mereka yang mengikuti program CeIO, Zakaria berharap pegawai-pegawai ber­kenaan akan sama-sama mengambil peranan dan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan berintegriti.

“Setitik peluh diperlukan oleh setiap individu untuk sama-sama kita tegakkan nilai integriti dan mencegah perbuatan rasuah kerana ini tanggungjawab kita semua,” jelas beliau.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar; mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Pengarah Audit Jabatan Audit Negara, Raja Sunthara Kannan turut mengambil bahagian dalam satu forum sempena seminar itu.

Akhbar turut menyentuh tentang peranan ahli politik dan pucuk kepimpinan dari segi integriti. Katanya, parti politik dianggap sebagai pihak yang paling banyak terlibat dalam rasuah.

Sebab itu, menurut Akhbar, perlunya wujudkan undang-undang baharu iaitu Akta Parti Politik untuk mengurus tadbir dana parti politik bagi mengelak isu penyelewengan.

Ini disebabkan janji-janji ahli politik menerusi manifesto harus ditunaikan kerana inilah yang dinamakan integriti, iaitu kejujuran dalam menunaikan janji.

Dalam pada itu, berhubung integriti yang ada pada seseorang pemimpin, tegasnya, pucuk kepemimpinan memainkan peranan pen­ting kerana mereka akan menjadi contoh dan teladan kepada orang di bawah mereka.

Sementara itu, Sutinah berpendapat bahawa integriti adalah peribadi yang utuh, suci, unggul dan tidak terjejas oleh sebarang kecacatan pada bila-bila masa, tempat atau keadaan.

“Integriti adalah satu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu kepada individu serta organisasi, malah berlandaskan etika dan pencerminan dalam tindakan harian.

“Seseorang individu yang berintegriti mempunyai standard tertentu dalam pekerjaannya, tidak kira di bawah pemantauan majikannya atau tidak kerana tugasan yang diberi akan dilakukan dengan baik,” ujar beliau.

Dari segi pencegahan rasuah, jelas beliau, kerangka kerja diperlukan merangkumi tiga tiang asas.

“Pertama, struktur iaitu cada­ngan kerja kepada semua agensi kerajaan supaya mempraktikkan nilai integriti. Kedua, proses iaitu mengadakan aktiviti, seminar dan program khas untuk orang ramai bagi memantapkan nilai integriti dan ketiga pula ialah instrumen, menggunakan arahan, undang-undang dan peraturan untuk memastikan kerja-kerja dilakukan dengan sempurna dan berintegriti,” tegasnya.

Sunthara Kannan berpendapat integriti sinonim dengan moral iaitu beretika dan mempunyai ta­tacara yang boleh diterima secara umum.

Jelasnya, integriti juga bermaksud buat apa yang betul dan bukan buat apa yang popular seperti yang berlaku dalam masyarakat sekarang.

Beliau berpendapat bahawa nilai integriti sukar untuk diukur kerana tidak mempunyai pemarkahan yang objektif.

Tegasnya, nilai integriti perlu diterap dari usia muda kerana adalah sukar ditanamkan kepada individu yang sudah dewasa.

“Sebagai contoh, di Jepun, kanak-kanak perlu mengikuti program, tidak kira di rumah mahupun di sekolah bagi memupuk nilai kejujuran mereka. Kanak-kanak yang lewat ke sekolah secara jujurnya akan mengakui bahawa mereka bangun lewat,” katanya.

Sebaliknya di Malaysia, tambahnya, mereka yang lambat sampai ke pejabat akan memberi pelbagai alasan seperti kesesakan lalu lintas.

“Oleh itu, nilai integriti amat penting. Walaupun contoh yang diberikan itu sifat manusia semula jadi, bagaimanapun, kita perlu cuba untuk mengimbangkan nilai tersebut pada diri kita sendiri,” ujar beliau.

- Utusan Malaysia Rencana 23 Oktober 2015
Tags: integriti
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments