SEPASANG suami isteri yang gagal membawa bayi mereka yang baru lahir ke hospital, sebaliknya hanya berdoa dan menggosokkan minyak zaitun di kepala bayi itu, kini terpaksa meringkuk di dalam penjara.
Dale dan Shannon Hickman, kedua-duanya berusia 30 tahun, masing-masing dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman selama enam tahun setelah seorang hakim mengekalkan sabitan bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian bayi tersebut.
Anak mereka, David, mati sembilan jam selepas dilahirkan dua bulan lebih awal di rumah neneknya pada 2009.
Pasangan itu merayu terhadap sabitan bersalah atas alasan bahawa pihak pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan bahawa kedua-duanya mengetahui kepercayaan agama mereka boleh menyebabkan kematian anak mereka, lapor New York Daily News.
Namun rayuan itu ditolak oleh Mahkamah Agung Oregon, Amerika Syarikat (AS) pertengahan Oktober lalu dan hakim yang mendengar rayuan itu mengulangi gesaan bahawa pasangan terbabit sepatutnya melakukan lebih lagi untuk cuba menyelamatkan anak mereka.
Ketika perbicaraan pada 2011 di Oregon, pihak pendakwaan menjelaskan bahawa David dilahirkan dengan jangkitan bakteria dan paru-paru yang tidak terbentuk dengan sempurna menyebabkannya sukar bernafas serta badan bertukar biru.
Mahkamah diberitahu bahawa David mempunyai 99 peratus peluang untuk hidup sekiranya pasangan itu, yang menganggotai satu ajaran gereja, menelefon nombor panggilan kecemasan 911, sebaliknya mereka hanya berdoa.
Pasangan itu juga tidak pernah mempertimbangkan untuk membawa bayi itu ke hospital untuk menerima rawatan.
Shannon berkata, dia mesti mematuhi suaminya kerana itu adalah perintah gereja.
“Saya fikir apa yang berlaku adalah atas kehendak Tuhan,” katanya ketika memberi keterangan di mahkamah.
Peguam Mark Cogan yang mewakili pasangan tersebut berhujah di mahkamah, bayi lelaki itu menemui ajal dengan cepat dan tidak ada bukti menunjukkan bahawa perubatan di hospital boleh menyelamatkan nyawanya.
Bayi itu mati akibat radang paru-paru staphylococcus, yang boleh dirawat.
Dalam keputusannya, Hakim Robert Herndon berkata:
“Apabila keterangan didedahkan dan saksi-saksi memberi keterangan, ia menjadi bukti kepada saya dan sudah tentu kepada pihak juri bahawa kematian tersebut tidak sepatutnya berlaku.”
Pasangan tersebut merupakan ahli Pengikut-Pengikut Gereja Christ yang mempunyai sejarah menolak undang-undang berkaitan penjagaan perubatan kanak-kanak, sebaliknya hanya percaya kepada rawatan melalui kepercayaan agama dengan berdoa dan menggosok minyak kepada kanak-kanak yang sakit.
Ketika prosiding rayuan tersebut, Pegawai Pendakwa, Mike Regan berkata, suatu mesej perlu dihantar kepada pengikut-pengikut ajaran agama terbabit.
“Secara amnya mereka adalah baik, berkelakuan sopan dan mematuhi undang-undang, kecuali dalam satu perkara ini yang menyempitkan kehidupan mereka.
“Mereka dengan degil dan angkuhnya memberitahu kamu, jika saya boleh sebutkan di sini ‘Kami tidak akan berubah’. (Sedangkan) Undang-undang sivil masyarakat menuntut mereka berubah.
“Ia menuntut agar kami menghantar mesej kepada mereka sama ada kamu percaya ini atau tidak di Oregon, kamu tidak boleh bertindak berdasarkan kepercayaan sedemikian,” katanya.
Lima pengikut gereja tersebut sebelum ini telah didapati bersalah di Clackamas atas kesalahan berkaitan penolakan penjagaan perubatan terhadap anak-anak mereka.