kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bimbing murid Orang Asli tuntut kesabaran

TRAGEDI Pos Tohoi sangat memilukan apabila tujuh kanak-kanak Orang Asli hilang di hutan walaupun gerakan besar-besaran mencari mereka.

Hanya pada hari ke-48, dua daripadanya ditemui hidup, manakala dua lagi sudah menjadi mayat dan dua rangka, seorang lagi belum ditemui.

Bagaimana mereka yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun, itu berlawan untuk hidup di hutan belantara dan mengapa pula pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui mereka, selepas hilang pada 23 Ogos lalu.

Adakah mereka ini sesat atau sememangnya enggan kembali kerana takut dihukum? Anak Orang Asli ini sudah biasa dengan hutan, boleh menemui jalan keluar jika mereka mahu berbuat demikian.

Lokasi Mirsudiar Aluj, 11, dan Noreen Yacoob, 10, bersama mayat rakan mereka, Ika Ayel, 9, ditemui pada 9 Oktober lalu, adalah laluan pasukan SAR setiap hari tetapi langsung gagal melihat kelibat kanak-kanak ini.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, sehari sebelum dilaporkan hilang, tujuh kanak-kanak ini, Mirsudiar, Noreen, Ika, Linda Rosli, 8, Sasa, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7, bersama 16 lagi rakan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, mandi di sungai berhampiran sekolah berkenaan tanpa pengetahuan guru.

Perbuatan mandi sungai itu diketahui pengawal sekolah yang memaklumkan kepada warden. Warden memanggil tiga daripada 25 murid terbabit dan memaklumkan akan menghukum mereka keesokan harinya.

"Pada jam 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan merancang melarikan diri ke kampung mereka, iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin keesokan pagi," katanya.

23 murid melarikan diri Pada jam 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos lalu, warden memeriksa dan mendapati 23 murid asrama melarikan diri.

Warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama, pengawal keselamatan dan dua penduduk kampung mencari murid berkenaan.

Mereka bertemu 16 murid di satu lokasi pada jam 6 petang dan memujuk pulang ke asrama, bagaimanapun tujuh lagi tidak ditemui sebelum pihak sekolah dibantu penduduk melakukan gerakan mencari.

Kini jelas kanak-kanak itu melarikan diri takut dihukum pihak sekolah. Mereka mahu pulang ke kampung masing-masing melalui jalan hutan tanpa ditemui pihak sekolah.

Menurut sumber, walaupun lokasi dua kanak-kanak itu ditemui kawasan laluan SAR, semua kanak-kanak itu menyembunyikan diri takut dikesan.

Mereka tidak muncul ketika pasukan SAR memanggil mereka. Di hutan, tumbuhan serta air sungai menjadi penyambung nyawa untuk seketika. Tubuh kecil mereka tidak mampu bertarung dengan alam sehingga membawa kepada kematian.

Sasa dan Haika dikatakan menemui ajal kerana terjatuh dalam sungai ketika hujan lebat melanda Gua Musang pada 1 Oktober lalu.

Kanak-kanak itu dipercayai mengalami kesukaran sehingga seorang demi seorang menemui ajal. Siapa yang perlu dipersalah dalam soal ini?

Adakah harus menuding jari kepada pihak sekolah yang dipertanggungjawab terhadap anak ini. Tindakan guru memberi amaran kepada 25 murid kerana mandi tidak harus dipersalahkan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka menjaga keselamatan murid.

Jika ada yang lemas sudah tentu pihak sekolah akan dipersalahkan kerana tidak mengawal murid kendalian mereka.

Harus diingat mendidik anak Orang Asli memerlukan ketabahan berikutan perasaan sensitif mereka. Kesabaran tinggi perlu ada pada guru jika ditugas mengajar murid Orang Asli dan ada guru terpaksa menumbuk dinding melepaskan perasaan mereka.

Seramai 225 murid Orang Asli ditempatkan di asrama SK Tohoi kerana kampung mereka jauh seperti Kampung Simpor, 70 kilometer dari sekolah terbabit.

Pulang 2 minggu sekali

Bagi menyelesaikan masalah itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua murid di 94 Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli yang mempunyai asrama, dibenarkan pulang setiap dua minggu dengan kenderaan disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berbanding hanya pulang ketika cuti persekolahan.

JAKOA perlu melantik tunjang untuk agensi itu dari kalangan Orang Asli kerana mereka lebih memahami kehendak kaum itu.

Ada anak Orang Asli berkelayakan menjadi ketua kerana memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan menjadi pegawai kanan dalam sektor perkhidmatan awam.

Sudah tiba masanya anak Orang Asli diberi peluang mengetuai jabatan yang menjaga kepentingan masyarakat sendiri.

Lebih elok dilakukan sekarang supaya jurang di antara kerajaan dan kaum pribumi itu tidak menjadi semakin luas.
Tags: etnik, sekolah
Subscribe

Posts from This Journal “etnik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments