kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keyakinan pemangkin roda ekonomi

NAIK turun ekonomi bukanlah perkara baru atau luar biasa. Dari zaman turun temurun lagi ekonomi sesebuah negara dan dunia sudah alami perkara ini.

Cuma pada zaman dulu kala, ekonomi lebih mudah jadi punca naik turunnya pun lebih senang difahami. Ada yang boleh diatasi dan ada yang tidak sampai hapus tamadun dan negara.

Walaupun ekonomi dunia sudah maju, canggih dan berjalan secara berterusan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu ikut pergerakan mata hari, macam yang Kunta Kinte dah cerita, tapi saki baki ekonomi lama masih ada.

Kita tengok di benua Afrika, Amerika Selatan dan sesetengah kawasan terpencil di Asia, Eropah dan Amerika Utara, ada lagi individu dan masyarakat yang masih amal ekonomi tradisional seperti memburu, memungut hasil hutan belantara dan bertukar barang.

Dalam ekonomi macam itu, naik turunnya mudah diramal kerana ia banyak bergantung kepada alam semula jadi, cuaca dan tindakan manusia.

Orang yang amalkan ekonomi cukup makan atau kais pagi makan pagi tahu macam mana nak atasi naik turun sumber rezeki mereka.

Sukar untuk diramal

Tapi dalam ekonomi moden yang kita amalkan hari ini, naik turun makin hari makin susah nak diramal, makin kerap berlaku dan sukar diatasi.

Kalau empat lima puluh tahun lalu, pusingan ekonomi (economic cycle) - iaitu masa antara ekonomi naik dan turun mungkin 10 hingga 15 tahun.

Tapi sejak dua tiga dekad ini makin pendek iaitu antara tiga hingga lima tahun saja. Lagi pendek putaran, lagi susah nak ramal dan tangani. Satu daripada sebabnya ialah ekonomi dunia terlalu bergantung kepada pasaran bebas dan mata wang.

Cakap saja pasaran bebas, tapi yang kawal dan monopoli adalah negara-negara maju. Tak cukup dengan itu, mata wang pula dah jadi bahan perniagaan besar-besaran.

Produktiviti ekonomi tidak lagi diukur semata-mata dengan nilai barang dan perkhidmatan yang dihasilkan tapi oleh spekulasi pasaran.

Sekarang ini ada macam-macam pasaran yang berurus untuk hantaran semasa dan untuk masa depan. Di Chicago, Amerika Syarikat ada pasaran masa depan (futures) daging babi.

Hari ini, orang bukan lagi tukar mata wang untuk berbelanja, misalnya kita tukar ringgit kepada rupiah kerana nak melancong ke Indonesia atau nak import sesuatu barang dari negara itu, tapi tukaran mata wang sudah jadi perniagaan global.

Ikut kajian Bank for International Settlement, sebuah institusi kewangan milik bersama bank-bank pusat, pada tahun 2013 sebanyak bersamaan AS$5.5 trilion mata wang dunia diniagakan setiap hari dalam bulan April tahun itu.

Nak tahu berapa besar trilion, cuba tengok contoh berikut:

1,000 > satu ribu
1,000,000 > satu juta
1,000,000,000 > satu bilion
1,000,000,000,000 > satu trilion.

Mana-mana saja mata wang yang tidak diikat nilainya, apatah lagi mata wang itu penting dalam perdagangan antarabangsa, akan jadi sasaran jual beli.

Bila berlaku jual beli, berlakulah juga spekulasi. Kita pernah tambat nilai duit kita iaitu masa berlaku krisis kewangan Asia 1997/98.

Untuk sekat kejatuhan nilai ringgit dan halang spekulasi, Perdana Menteri masa tu, Tun Dr Mahathir Mohamad tambat nilai ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar hinggalah ditarik balik pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selama lebih enam tahun nilai duit kita tetap, inflasi stabil dan pelaburan asing terus masuk. Bila tambatan ditamatkan, nilai duit kita naik.

Pada satu masa, kita boleh dapat satu dolar Amerika dengan hanya RM3.29.

Tapi hari ini duit kita merudum. Sekarang nak beli satu dolar Amerika kena bayar RM4.30.

Nak tambat balik rasanya dah tak boleh. Kesannya mungkin lebih buruk.

Duit kita mungkin ditolak terus. Macam Kunta Kinte dah banyak kali cerita, nilai duit kita jatuh teruk sejak setahun kebelakangan ini akibat kelembapan ekonomi dunia dan kejatuhan harga bahan-bahan mentah utama kita macam petroleum, minyak sawit dan getah.

Inilah buruk dan baik jadi negara perdagangan besar macam kita.

Nilai duit kita sangat sensitif terhadap turun naik jumlah dan nilai perdagangan kita serta tanggapan luar terhadap kestabilan politik kita.

Dalam pasaran global, khususnya pasaran mata wang, tanggapan sama penting dengan hakikat. Sebab itulah satu dunia cakap pasal piawaian global, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Asas atau fundamental ekonomi sesebuah negara mungkin kukuh, tetapi kalau persepsi pelabur terhadap negara itu lemah, fundamental yang kuat tak bermakna.

Keyakinan penting pikat pelaburan

Keyakinan sangat penting bagi menarik pelaburan dan menggalakkan kepenggunaan. Kalau pelabur yakin, mereka akan melabur. Kalau pengguna yakin mereka akan berbelanja.

Bila ada pelaburan dan perbelanjaan, ekonomi berkembang. Kalau mereka tak yakin, mereka tak melabur dan tak berbelanja ekonomi akan mengucup.

Bila tak ada pelaburan dan berbelanja oleh swasta, tak adalah kepenggunaan swasta atau "private consumption".

Bila tak ada kepenggunaan swasta, kuranglah pertumbuhan ekonomi sebab pelaburan dan perbelanjaan adalah kembar siam ekonomi bebas.

Ekonomi negara kita bergantung besar kepada kepenggunaan swasta untuk berkembang.

Jadi kita wajib perbaiki keyakinan swasta supaya roda ekonomi boleh berputar dengan licin dan lancar.

Kalau tidak kita mungkin hadapi masalah ekonomi yang lebih runcing. Wallahuaklam.
Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments