kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kecilkan jurang dengan pendidikan

JURANG adalah garis yang menjadi pemisah atau satu kelompok dengan kelompok yang lain.

Dalam konteks ma­sya­rakat, perkataan ini membawa maksud perbezaan sama ada antara yang kaya dengan miskin; cerdik dengan bodoh; yang celik dan buta teknologi maklumat; mahupun di antara bandar dan kampung.

Perbezaan kelompok ini memberi kesan kepada sesebuah negara khususnya Malaysia yang sedang menuju ke arah negara maju 2020.

Justeru, jurang-jurang ini ha­rus disempitkan. Waima menghapuskannya amat sukar sekali.

Subjek ini amat sensitif kerana akarnya berpunca daripada sejarah yang telah mewujudkan garis sempadan antara kaum sehingga sukar untuk diruntuhkan biarpun negara ini telah mencapai kemerdekaan lebih separuh abad.

Era penjajahan British telah membentuk perbezaan-perbezaan ini demi mencapai matlamat mereka untuk memaksimumkan keuntungan ekonomi yang diangkut pulang ke Great Britain.

Menurut Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya, The Colour of Inequality, pendatang dari Tanah Besar China mula melimpahi Tanah Melayu bermula tahun 1850 selepas dibawa masuk oleh British untuk industri perlombongan timah bagi menampung permintaan industri di Amerika Syarikat dan Eropah. Tanah Melayu ketika itu mempunyai simpanan bijih timah yang terbesar di dunia.

Pada masa sama, pendatang dari India mula dibawa masuk untuk mengusahakan ladang getah.

Perkembangan pesat industri perlombongan bijih timah menjadikan kawasan berkenaan berkembang menjadi bandar termasuk ibu kota, Kuala Lumpur.

Pengerusi Majlis Profesor Negara Chapter Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar berkata, juste­ru jurang masyarakat semakin melebar apabila pengagihan kekayaan tidak berlaku secara adil.

Menurutnya, kawasan bandar telah menerima agihan kekayaan yang lebih banyak berbanding dengan luar bandar yang didiami oleh majoritinya kaum Melayu.

“Ekonomi adalah jurang utama berbanding jurang antara kaum atau jurang antara bandar dan luar bandar. Punca ekonomi juga berbeza, yang mana lebih cemerlang pastinya di bandar kerana disokong oleh pelbagai kemudahan hasil daripada pengagihan ekonomi yang tidak adil.

“Kecuali ada perubahan, Melayu yang berkebun di kawasan luar diberikan fasiliti yang lengkap, maksudnya, petani moden dan ilmu strategi pemasaran untuk pengeluaran secara besar-besaran seperti mana fasiliti yang dinikmati oleh perniagaan Cina di bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Taburan penduduk di kawasan bandar yang lebih ramai juga telah mewujudkan pasaran yang lebih besar untuk menyokong perniagaan yang ada.

Kata Ibrahim, sekiranya perkara ini masih tidak seimbang maka jurang-jurang tersebut akan terus melebar yang sekali gus akan menjarakkan lagi perbezaan ekonomi dan pengasingan kaum kesan sejarah, serta faktor geografi.

Jadi tegasnya, usaha perlu dilakukan untuk mengecilkan jurang ini melalui aktiviti antara kaum dan luar bandar dengan sistem sokongan yang ada.

“Hendak mengurangkan jurang, caranya ialah melalui pendidikan. Contohnya petani, kalau ikut cara lama tidak ada teknologi, kita tidak boleh bersaing dengan aktiviti perniagaan, kecuali kita boleh mengubah aktiviti pertanian sebagai kegiatan ekonomi yang lumayan.

“Kita tidak kata semua orang Melayu berniaga, kena ada orang menghasilkan makanan tetapi jangan sampai orang yang menghasilkan makanan lebih miskin daripada orang berniaga, orang yang tanam padi lebih miskin daripada orang yang berniaga beras. Itulah masalah sekarang,” katanya.

Untuk merapatkan jurang pendidikan, tumpuan perlu diberikan dalam menangani ketidaksamarataan prasarana di antara bandar dengan luar bandar, misalnya dalam penyediaan teknologi digital.

Dalam pada itu, mereka yang berkeperluan khas juga tidak harus diabaikan agar mereka tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.

Ibrahim yang juga Pengarah UMK Kampus Jeli berkata, orang yang berilmu pasti akan memahami maksud jurang pendidikan yang merangkumi semua aspek.

Beliau menegaskan pembentukan sekolah satu aliran dalam sistem pendidikan negara amat penting bagi menghapuskan semua jurang yang ada pada masa ini sebagai jawapan ke arah mewujudkan asimiliasi kaum.

“Kuncinya adalah pendidikan. Kita perlu anjakan itu, pandangan jujur saya, kita sanggup tak ubah kepada sekolah satu sistem, yang boleh ubah hanya keazaman politik yang kuat.

“Cakap saja tidak guna, dasar ada tetapi tidak guna, tidak boleh buat sebab tidak ada keazaman politik, takut berlaku benda-benda lain seperti tidak mendapat sokongan, akan berlaku masalah itu dan ini, apakah kita mahu buat perubahan,” soalnya.

Tambahnya, kerajaan telah menghapuskan kuota kemasukan ke universiti awam dengan menggantikan kepada sistem meritokrasi ekoran tekanan daripada pelbagai pihak biarpun sasaran Dasar Ekonomi Baru masih belum tercapai.

“Kenapa kita boleh hapuskan kuota? Disebabkan tekanan dan ada keazaman politik. Jadi sekolah satu aliran juga boleh dilaksanakan. Saya berpendapat belum terlambat. Kita tidak perlu buat secara drastik, buat perlahan-lahan demi masa depan anak bangsa Malaysia,” katanya sambil memberi perumpamaan seperti menarik benang dalam tepung, benang tidak putus, tepung tidak berselerak.

- Azran Fitri Rahim Utusan Malaysia Rencana 27 Oktober 2015 6:20 PM
Tags: deb, pendidikan
Subscribe

Posts from This Journal “pendidikan” Tag

  • Menteri

    Peranan menteri pendidikan dan kesihatan sangat penting untuk mengembangkan modal insan yang penting untuk pembangunan ekonomi yang mampan.…

  • Adakah inflasi gred baik atau buruk

    Anda tentunya mahu memperoleh gred yang baik di sekolah, kolej atau universiti. Dengan keputusan peperiksaan yang baik atau cemerlang pastinya…

  • SPM 2020: 3 persoalan kejayaan sistem pendidikan negara

    TAHNIAH diucapkan kepada 401,105 murid-murid yang telah mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka hari ini untuk tahun…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments