kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ingatlah siapa yang ajar kita jadi orang

SEJURUS menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1992, penulis tidak pulang ke kampung sebaliknya nekad mencari kerja di Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan peperiksaan dan Hari Konvokesyen.

Bertemankan sepupu, Lemi, kami ‘meredah masuk’ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan di Jalan Haji Hussein, Chow Kit. Tujuannya tidak lain bertanya-tanya jika ada kekosongan jawatan guru sandaran di sekolah sekitar ibu kota.

Alhamdulillah, nasib penulis baik, Pengarah Pendidikan ketika itu, yang penulis tidak ingat namanya namun seorang lelaki, menerima kami dengan tangan terbuka. Tanpa banyak kerenah, beliau langsung bertanyakan niat kedatangan kami, dan terus menawarkan dua sekolah yang ketika itu ada kekosongan kerana guru wanitanya sedang cuti bersalin iaitu di Bukit Bintang Girls School (BBGS) dan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (sekarang TIKL).

Dipendekkan cerita, penulis memilih TIKL dan beliau mengeluarkan surat untuk dibawa ketika melapor diri ke sekolah berkenaan dalam minggu itu juga.

Dari situ bermulalah tugas penulis sebagai guru sandaran selama tiga bulan - mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Geografi kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima di TIKL. Di samping tugas utama mengajar, penulis juga diberi tugas sebagai guru kelas 4T1 iaitu Tingkatan Empat Teknikal 1. Ada 33 pelajar di dalam kelas itu, 30 lelaki dan tiga perempuan.

Sebagai guru kelas, penulis perlu merekodkan kedatang­an mereka ke sekolah setiap pagi di dalam buku kedatangan yang perlu dihantar ke bilik pengetua sebelum waktu rehat.

Setiap kali ujian bulanan, selain menyemak kertas jawapan peperiksaan bagi mata pelajaran yang penulis mengajar, sebagai guru kelas, penulis juga perlu memasukkan keputusan mereka di dalam buku rekod pelajar.

Sebagai guru BM pula, selain mengajar subjek berkenaan di kelas mengikut silibus yang ditetapkan, sekali-sekala penulis ditugaskan mengiringi pelajar yang menyertai pertan­dingan kuiz atau pidato di sekolah lain, bersama-sama guru tetap BM pada hari Sabtu. Pernah sekali dalam tempoh tiga bulan menjadi guru sandaran, penulis bersama-sama guru tetap ditugaskan mengiringi pelajar yang membuat rombong­an sambil belajar ke Pulau Langkawi.

Walaupun tempohnya cukup singkat iaitu hanya tiga bulan, bermacam-macam pengalaman yang penulis kutip dan bermacam-macam ragam pelajar serta kerenah ibu bapa yang penulis temui. Itu belum dikira pengalaman ‘luar silibus’ se­perti surat cinta dan sebagainya.

Seingat penulis setiap kali loceng akhir persekolahan berbunyi pada pukul 1.30 tengah hari, tidak pernah sekali pun kami guru TIKL ketika itu dapat bergegas keluar melintasi pagar sekolah untuk pulang ke rumah. Selalunya, masing-masing masih sibuk mengemas bahan mengajar di bilik guru.

Dan seingat penulis juga, buku coklat ringkasan mengajar akan dikepit balik ke rumah setiap hari, untuk diisi sebelum tidur, kerana keesokan harinya, pagi-pagi lagi perlu dihantar ke bilik pengetua untuk semakan.

Justeru membaca kenyataan Menteri Pendidikan tentang beban tugas guru baru-baru ini membuatkan penulis teringat kembali kenapa penulis mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerjaya itu pada masa itu. Sebab penulis pernah merasainya. Penulis tahu sangat hanya mereka yang penyabar dapat bertahan.

Laporan Kebangsaan Pemeriksaan Sekolah 2015 yang diumumkan menteri berkenaan baru-baru ini menemukan pelbagai perkara yang dirumuskan sebagai punca wujudnya beban tugas guru, sehingga menjejaskan masa berkualiti bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, serta amalan profesional keguruan.

Beban tugas atau pun tugas rencam yang ‘terpaksa’ dilakukan itu termasuk urusan data, perpustakaan, menjadi warden, guru kelas, guru disiplin, guru SPBT, Setiausaha PIBG, Setiausaha Peperiksaan, Setiausaha Kokurikulum, penyelaras ICT dan kerja-kerja perkeranian.

Guru juga terlibat dalam pelbagai aktiviti anjuran agensi lain, yang sebahagiannya tiada kaitan langsung dengan tugas utama sebagai guru iaitu mengajar anak murid di bilik darjah.

Kesemua ini telah menyumbang kepada kerencaman tugas guru atau dalam bahasa kasarnya, menambah beban guru di sekolah. Mengikut kajian kementerian juga, masa yang digunakan oleh seorang guru dalam aspek kurikulum sahaja adalah purata 48 jam seminggu. Jumlah masa itu tidak termasuk purata dua hingga enam jam seminggu untuk aktiviti kokurikulum, purata enam jam seminggu untuk pengurusan hal ehwal murid dan tugasan lain.

Jadi secara puratanya masa guru bertugas di sekolah adalah konsisten iaitu antara 56 jam hingga 66 jam seminggu.

Jika dicongak dalam seminggu ada 168 jam, ini bermakna guru hanya ada kira-kira 102 jam hingga 122 jam seminggu untuk dirinya dan keluarga.

Itu belum ditolak masa tidur dan perjalanan pergi balik ke sekolah. Malah kerap kali masa di rumah pun diisi dengan menyiapkan kerja-kerja sekolah seperti menyemak buku latihan murid, kertas peperiksaan dan buku persediaan mengajar untuk keesokan harinya.

Hakikatnya tugas guru tidak berkesudahan. Tugas guru tidak berhenti ketika mereka memasukkan punch card dalam mesin perakam waktu ketika hendak pulang ke rumah.

Hanya jauhari mengenal manikam. Hanya orang yang pernah jadi cikgu tahu beban tugas cikgu. Justeru penulis cukup tidak berkenan dengan tabiat pengguna Facebook yang gemar ‘berkongsi’ status menghina tugas guru atau sewenang-wenang menjadi nasi tambah memberi komen yang mengguris perasaan warga pendidik itu.

Kata-kata yang membayangkan kononnya guru memilih profesion itu kerana ‘level’ atau tahap pendidikan yang tidak setinggi mana sebenarnya menunjukkan kedangkalan kita.

Guru bukan profesion kelas dua. Bukan calang-calang orang boleh menjadi guru. Syarat untuk memasuki maktab atau kursus perguruan bukan setakat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya perlu lulus cemerlang dengan sekurang-kurangnya Gred A dalam tujuh mata pelajaran.

Jadi janganlah kita memperlekeh atau meremeh-remeh­kan kerjaya guru atau peranan mereka di sekolah.

Lagipun ingatlah sehebat mana pun kita, setinggi mana pun jawatan kita, sehingga kini jadi doktor, peguam, CEO atau profesor, yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira, dan yang paling penting, mendidik kita sampai jadi orang ialah guru atau cikgu.

Betul, dalam setandan pisang mungkin ada yang busuk. Begitu juga dalam ramai guru yang komited dengan tugas mendidik anak bangsa, akan ada yang kaki tuang dan meng­ajar ala kadar, namun situasi itu bukan hanya terhad bagi profesion keguruan sebaliknya berlaku dalam mana-mana kerjaya.

Lebih ramai guru yang dedikasi dan komited dengan kerjaya mulia itu. Bahkan kadang-kala lebih komited untuk memastikan dan teruja mahu menyaksikan kecemerlangan anak muridnya daripada ibu bapa anak-anak itu sendiri.

Sebagai bekas guru walaupun hanya sandaran, penulis faham perasaan mereka. Penulis tabik atas jasa bakti dan pe­ngorbanan mereka.

Terima kasih, cikgu! - Utusan Malaysia Rencana Coretan Marhaen 27 Oktober 2015 6:25 PM

Tags: guru
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments