KITA berhadapan dengan realiti baharu abad ke-21 yang semakin mencabar dan bersaing untuk menjuarai apa jua persaingan, dalam apa jua arena di pentas global. Senario transformasi dunia menuntut agar institusi pendidikan merancang strategi agar kecemerlangan yang dilakarkan bukan sahaja hebat di dalam negara, tetapi juga gah di mata dunia.
Begitu juga dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak terkecuali dalam melaksanakan langkah transformasi ke arah globalisasi. Atas dasar itu, UiTM telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan dasar kerajaan dan agenda transformasi sedia ada dengan mendukung aspirasi kementerian dalam memperkasa pendidikan tinggi negara berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
Untuk UiTM berdaya saing di dalam dan di luar negara dan terus kekal relevan maka Program Transformasi UiTM dilaksanakan yang matlamat utamanya untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-11, menghadapi cabaran dan mengoptimumkan peluang baharu serta melonjak ke tahap nilai tambah bagi peningkatan kecemerlangan dan menjuarai kelestarian bangsa.
Dengan motto ‘Menjuruterai Destini, Menjuarai Legasi’ usaha mentransformasikan universiti ini dilakukan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada agenda bangsa dan negara.
Semasa melancarkan Tadbir Urus 1 UiTM Multisistem, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini menyatakan ingin melihat UiTM bertransformasi dan terus berjaya agar UiTM terus cemerlang dari segi akademik, penyelidikan dan pentadbiran. Malahan peranan UiTM membela pendidikan kaum Melayu dan Bumiputera sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Namun paling penting sekali adalah agar UiTM berjaya mengorak langkah ke arah kecemerlangan global.
Sejak permulaannya sebagai Dewan Latihan RIDA pada tahun 1956 dan kemudiannya Maktab MARA (1965), Institut Teknologi MARA (ITM) (1967) (di bawah pimpinan Tan Sri Arshad Ayub) dan akhirnya Universiti Teknologi MARA pada 26 Ogos 1999, UiTM memiliki sejarah yang kini mencecah hampir 60 tahun.
UiTM juga berjaya menghasilkan alumni seramai 631,816 orang dan impak UiTM dapat dirasai di seluruh pelosok negara dan dunia dan oleh setiap lapisan masyarakat.
Malahan pembangunan negara sememangnya banyak terhutang budi kepada graduan UiTM. Dalam pada itu, UiTM harus berbangga kerana telah melahirkan tokoh-tokoh cemerlang dan terbilang di dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang.
Selaras dengan itu, UiTM telah mengorak strategi memandang ke hadapan dengan melaksanakan satu agenda besar demi memastikan UiTM terus kompetitif dan mapan yang dikenali sebagai Program Transformasi UiTM.
Program Transformasi yang telah dirancang rapi inilah menjadi platform terbaik dalam kembara universiti menganjak kedudukan sebagai sebuah universiti yang tangkas dan berani berubah, bersandarkan Konsep 3K, iaitu, kesedaran, kemahiran dan komitmen.
Melalui program transformasi ini maka, diwujudkan 13 universiti (UiTM) di 13 buah negeri, diketuai oleh rektor masing-masing yang diberikan autonomi untuk mentadbir sendiri manakala UiTM Puncak Alam menjadi pusat pentadbiran bagi UiTM Selangor yang buat kali pertama kali diwujudkan.
UiTM Selangor terdiri daripada UiTM Shah Alam, Puncak Alam, Puncak Perdana, Sungai Buloh, Selayang, Seksyen 17, Shah Alam, Jalan Othman dan UiTM Dengkil.
Setiap cawangan kampus UiTM boleh berkembang sendiri dan dalam tempoh lima tahun boleh menilai ranking atau kedudukannya berbanding universiti-universiti lain yang ada di seluruh dunia. Usaha ini mampu melonjak kecemerlangan berdasarkan bidang dan juga kemahiran setiap kampusnya.
Program Transformasi UiTM dirangka bagi melonjakkan kecemerlangan dan memastikan kelestarian universiti. Empat komponen utama transformasi adalah organisasi (O), modal insan (M), proses (P) dan teknologi (T). Agenda ini diterjemahkan menerusi 16 program transformasi yang merangkumi 65 projek.
Program ini melibatkan semua peringkat pengurusan universiti secara total termasuk kepimpinan tertinggi UiTM manakala setiap program dipimpin oleh seorang atau lebih pengarah bagi memastikan hala tuju dan hasil tercapai. Melalui transformasi organisasi, UiTM akan menjadi organisasi yang mantap dari segi tadbir urus institusi dan kemapanan kewangan demi memartabatkan agenda Bumiputera ke arah kemakmuran bangsa dan negara.
Menerusi transformasi modal insan pula, UiTM akan mempunyai warga kerja yang dinamik dan terkehadapan berteraskan keluhuran nilai, budaya dan agama dalam mendukung misi melahirkan graduan yang menepati keperluan negara.
Dengan 18,264 kakitangan akademik dan pentadbiran, serta 168,865 mahasiswa menawarkan sebanyak 485 program akademik, UiTM muncul salah sebuah universiti yang terbesar di rantau ini. Jelasnya UiTM bukan sekadar memiliki sumber fizikal dan tenaga manusia tetapi juga satu-satunya universiti yang menghasilkan modal insan terbesar demi kemakmuran negara.
Sesungguhnya penubuhan UiTM ini didasari oleh agenda Melayu dan Bumiputera dengan sulaman rekayasa sosial yang menjadi penyumbang utama kepada modal insan dan pembangunan ekonomi negara. Maka, amat penting bagi UiTM untuk membangunkan falsafah melestari darjat, martabat dan hak bangsa pribumi melalui pendidikan tinggi.
Walaupun UiTM telah mencapai pelbagai kejayaan cemerlang, namun untuk mencipta keunggulan, prestasi perlu dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi, menerusi gagasan transformasi-transformasi cara kerja dan transformasi minda.