PEMBENTANGAN Bajet 2016, Jumaat lalu diadakan semasa beberapa universiti awam sedang sibuk mengadakan konvokesyen. Antaranya, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengadakan konvokesyen ke-28. Sebagai satu-satunya universiti awam yang memberi penekanan dalam bidang pengurusan, UUM telah berjaya melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sektor korporat Malaysia. Ramai daripada mereka ini datangnya daripada keluarga yang berpendapatan rendah tetapi setelah dibantu oleh kerajaan berjaya mengubah taraf hidup mereka dengan mendapat pendidikan terbaik yang bertaraf dunia dari universiti-universiti awam Malaysia seperti UUM.
NAIB Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak beramah-mesra dengan para graduan universiti itu pada Majlis Konvokesyen ke-28 di Dewan Mu'adzam Shah, Kedah, 25 Oktober lalu. |
Membantu golongan sasaran yang dikenali sebagai 40 peratus berpendapatan rendah (B40) menggunakan mekanisme pendidikan antara langkah terbaik untuk melonjakkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah. Maka, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Bajet 2016 cukup istimewa meletakkan apa yang perlu diutamakan dalam konteks Malaysia yang sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Tahniah buat semua pihak yang terlibat dengan penyediaan Bajet 2016.
Tatkala negara berhadapan dengan cabaran dan risiko ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan masih mampu menyediakan Bajet 2016 yang baik untuk membela nasib rakyat. Baik di sini, bukan setakat golongan berpendapatan rendah sahaja dibantu untuk meringankan beban kos sara hidup dan menyediakan perumahan mampu milik untuk mereka, bahkan kerajaan memperkenalkan golongan sasaran baharu yang dinamakan M40. Golongan ini ialah kategori 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana. Pastinya akan timbul persoalan kenapa golongan ini perlu dibantu sedangkan mereka ini bukanlah golongan berpendapatan rendah.
Bagi mereka yang mempersoalkan perkara ini, mereka mungkin terlupa atau buat-buat lupa bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara maju, maka, mahu tidak mahu golongan M40 perlu dibantu untuk melonjakkan pendapatan mereka menjadi golongan berpendapatan tinggi. Pada masa sama, golongan berpendapatan sederhana jarang sekali diberikan penekanan oleh kerajaan dalam bajet-bajet terdahulu berbanding mereka yang berpendapatan rendah, walhal keadaan ekonomi semasa semakin menekan kewangan mereka. Sebab itulah, langkah membantu M40 menggambarkan keadaan semasa ekonomi Malaysia.
Menariknya di sini, kerajaan akan mengumumkan definisi golongan M40 dari semasa ke semasa. Dengan ini golongan M40 akan menjadi tumpuan oleh kerajaan selepas ini. Golongan M40 sememangnya menunggu langkah-langkah yang akan diambil untuk membantu mereka. Bukanlah bermaksud mereka menagih simpati kerajaan, namun bantuan sewajarnya disalurkan oleh kerajaan bagi memastikan golongan M40 dapat menjalani kehidupan yang selesa ketika segala-galanya semakin mahal.
Misalnya dalam konteks pemilikan rumah mampu milik, golongan M40 perlu juga diberikan penumpuan kerana mereka sering kali kelihatan seolah-olah terlepas pandang oleh kerajaan. Mereka sukar untuk membeli rumah yang selesa terutamanya di bandar-bandar besar. Walaupun ada pihak menyatakan bahawa persaingan sengit menyebabkan segala-galanya mahal di bandar-bandar besar ekoran ramai yang berpendapatan tinggi menetap di situ, namun alasan ini tidak seharusnya digunakan untuk mewajarkan kenaikan harga rumah yang keterlaluan. Harga rumah mahal bukanlah disebabkan persaingan sengit di bandar-bandar besar tetapi kerana mainan spekulasi harga hartanah oleh segelintir golongan kaya yang ingin mengaut keuntungan lebih lumayan lagi. Mereka ini tidak pernah berpuas hati dengan pendapatan yang diperoleh. Kalau mereka berpuas hati mana mungkin mereka tergamak menindas orang lain dengan menaikkan harga hartanah sewenang-wenangnya.
Golongan yang berpendapatan tinggi wajar dinamakan sebagai 20 peratus golongan berpendapatan tinggi (H20) bagi memperlihatkan realiti sebenar rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi. Hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi, maka, sewajarnya peratusan ini ditingkatkan melebihi 50 peratus daripada rakyat Malaysia. Dalam hal ini, tidaklah janggal apabila Malaysia digelar negara maju pada tahun 2020 kerana bukan setakat berasaskan pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000 tetapi juga majoriti rakyatnya berpendapatan tinggi.
Untuk mencapai sasaran ini, langkah-langkah terbaharu yang dinamik diperlukan seperti menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang dikategorikan berpendapatan tinggi kepada golongan M40.
Satu lagi langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah dengan cara mengurangkan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan sederhana. Jurang ini boleh dikurangkan apabila sektor-sektor korporat di Malaysia disarankan menyemak semula peratusan jurang pendapatan eksekutif-eksekutif tertinggi dan kategori eksekutif yang lain.
Hal ini berlaku demikian kerana bagi pekerja-pekerja yang dikategorikan pengurusan bawahan, pendapatan mereka di bawah RM10,000 sebulan sedangkan terdapat pengurusan tertinggi syarikat yang berpendapatan melebihi RM50,000 sebulan. Ini jelas memperlihatkan jurang pendapatan yang cukup besar sama sekali antara kategori tersebut.
Jadi, amatlah tepat kerajaan menaikkan cukai pendapatan individu bagi mereka yang berpendapatan melebihi RM600,000 setahun dalam Bajet 2016. Malah, langkah ini tidak langsung menggambarkan bahawa Bajet 2016 sebagai Bajet Robin Hood. Sebelum menggelarkannya sebagai Bajet Robin Hood, lihat dahulu jurang pendapatan golongan sederhana berbanding mereka yang berpendapatan melebihi RM50,000 sebulan.
Langkah seterusnya, kerajaan perlu meneruskan agenda keusahawanan dan perniagaan untuk golongan berpendapatan sederhana agar mereka boleh melipatgandakan pendapatan mereka kelak. Menceburi bidang keusahawanan boleh meningkatkan peratusan golongan berpendapatan tinggi.
Selain itu, golongan M40 sendiri perlu membantu diri mereka agar tidak terlalu bergantung dengan kerajaan untuk mengubah status pendapatan mereka. Kreativiti dan inovasi di samping sentiasa berusaha tunjang untuk mengubah status pendapatan sederhana agar Malaysia tidak terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.
Peratusan golongan H20, M40 dan B40 tidak sewajarnya kekal apabila Malaysia bergelar negara maju nanti. Justeru, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan sasaran peratusan lebih tinggi untuk golongan berpendapatan tinggi dan mengurangkan peratusan bagi golongan berpendapatan sederhana dan golongan berpendapatan rendah menjelang tahun 2020.