Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria, pergolakan perebutan kuasa menyebabkan rakyat terseksa, malah ramai terkorban demi cita-cita gajah untuk menguasai negara itu.
Malah, melihat senario politik negara semasa juga mengingatkan saya kepada dua ungkapan (bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat), Henry Kissinger yang akan menyebabkan kita terfikir akan kebenarannya iaitu America has no permanent friends or enemies, just interests dan in politics, there is no permanent friends or enemies, just permanent interests.
Disedari atau tidak, usia negara kita sudah menghampiri umur pencen bagi yang bekerja, amat menyedihkan jika umur ini diukur kepada manusia.
Sepatutnya setiap tindakan kita bertitik tolak dari tindakan rasional, matang dan berpengetahuan tinggi.
Malangnya gaya persilatan politik di Malaysia masih lagi seperti politik keremajaan yang dipenuhi emosi, dendam dan perasaan yang tidak pernah puas hati dengan apa yang telah dicapai atau dikecapi.
Rakyat jelata jadi mangsa
Tak kiralah perbalahan antara pemimpin PAS, DAP dan PKR atau perbalahan di kalangan pemimpin Barisan Nasional kerana jelasnya yang paling mengalami kerugian ialah rakyat jelata yang selama ini menaruh kepercayaan kepada pemimpin yang mereka pilih melalui undian.
Melihat kepada perpecahan orang Melayu amat menggusarkan saya. Apabila disebut sahaja Melayu, harus diikat seperti digariskan oleh Perlembagaan Malaysia iaitu orang Islam yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu.
Bangsa ini merupakan bangsa yang menjadi tulang belakang utama negara ini, apatah lagi statistik terbaru menunjukkan jumlah golongan ini melebihi 60 peratus daripada keseluruhan jumlah warga negara Malaysia.
Perpecahan PAS bukan sesuatu yang menggusarkan saya, akan tetapi perbalahan dalaman UMNO amat menyentuh jiwa. PAS wujud atas ketidakpuasan golongan pro-agama dalam UMNO.
Sejarah juga telah membuktikan Semangat 46 dan PKR juga terhasil daripada geseran dalaman UMNO.
Kitaran sejarah
Menulis artikel ini di Pangkor menyebabkan saya terimbau lagu nyanyian pelajar UUM oleh Tomok, Sejarah Mungkin Berulang di mana satu ketika dulu bila mana negara ini di 'jajah' oleh British akibat perbalahan yang berlaku dalam kalangan pemimpin negara yang berebut kuasa.
British telah dijemput menjadi 'pendamai' kepada pemimpin bertelagah dan akhirnya British menjadi tuan kepada Tanah Melayu.
Mungkinkah pada hari ini kitaran sejarah sedang berlaku bila mana kepemimpinan Melayu saling menuding jari, salah menyalahkan antara satu dengan lain.
Rakyat jelata juga akan tersepit merasai kesusahan apabila orang besar bertelagah sesama sendiri. Setiap kali mengajar, saya berkali-kali menggunakan ungkapan yang diungkap oleh bekas guru saya, 'jika kita tidak belajar dari sejarah, sejarah akan mengajar kita berulang kali'.
Sedar atau tidak kita sudah banyak kali diajar oleh sejarah, tetapi di mana pengajaran yang kita belajar daripadanya? Bak kata Nabi, seseorang mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali. Ini menunjukkan betapa kita menganut ajaran Islam tapi gagal menghayatinya.
Harap pemimpin terus teguh
Dan apabila satu ketika negara ini ditadbir urus oleh orang lain. Itukah yang kita ingin lihat lagi?
Jangan jadikan rakyat sebagai taruhan dalam permainan politik yang pastinya tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak walaupun bersorak gembira kerana menang mengatasi lawan... sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad atau pihak Datuk Seri Najib Razak.
Bukan niat nak menegur atau campur tangan, cuma terfikir apalah nasib kami rakyat jelata yang mengharapkan kepemimpinan negara terus teguh, utuh dan sentiasa saling sokong menyokong, bukannya saling mencari kesalahan.
Orang yang kaya raya, berduit boleh sahaja keluar mencari negara baharu untuk dijadikan rumah mereka kerana negara luar tidak akan menerima orang miskin sebagai rakyatnya.
Lihatlah bagaimana pelarian Rohingya atau mana-mana pelarian dari negara yang bergolak, pasti diusir oleh negara Barat. Tetapi orang kaya dan ternama akan diterima dengan tangan yang terbuka oleh mereka.
Jadi ke mana hala nasib rakyat yang menjadi mangsa jika pemimpin negara terus bertelagah? - Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri Berita Harian Kolumnis 27 Oktober 2015