kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ego tidak membawa ke mana-mana

BUDAK sekarang pilih kerja, sebab itu orang luar ambil peluang. Orang luar dimaksudkan ibu angkat seorang teman ialah warga asing yang kini berlambak-lambak mengisi pelbagai kerja di seluruh Malaysia, malah kalangan mereka sudah ‘meluaskan kuasa’ sehingga ke kampung-kampung!

Yang dimaksudkan ‘mak’ (gelaran ibu angkat teman) meluaskan kuasa itu apabila wujud ‘bawang Bangladesh’ iaitu sudah ada dalam kalangan warga asing dari negara berkenaan yang menjadi tauke di pasar sebuah pekan di Bidor, Perak.

Senario sedemikian tidak seharusnya berlaku pada ketika 400,000 rakyat Malaysia menganggur, termasuk 161,000 orang daripadanya adalah graduan. Mana rakyat kita? Graduan kita? Bukankah mereka sepatutnya mengisi peluang tersebut?



SEBAGAI alternatif, graduan digalak menceburi bidang perniagaan dan perdagangan bagi mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan mereka. REUTERS

Kerajaan telah menyediakan beberapa skim dan program untuk membantu rakyat memulakan perniagaan. Antara bentuk bantuan termasuklah dana permulaan dan program berbentuk pendidikan perniagaan.

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), 1Malaysia Entrepreneurs (1MET) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) antara kemudahan disediakan kerajaan bagi membantu rakyat termasuk golongan belia menceburi bidang perniagaan.

Pelbagai inisiatif sudah digerakkan bagi menarik generasi muda untuk menjalankan perniagaan, namun kita masih ada masalah pengangguran. Sedangkan, warga asing yang sehelai sepinggang merantau ke negara ini mampu mengubah nasib mereka hanya dengan usaha dan kerja keras!

Dilaporkan majoriti 161,000 graduan yang masih menganggur di negara ini berusia antara 20 hingga 24 tahun. Usia muda, sepatutnya kudrat minda dan fizikal mampu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memperbaiki keadaan, justeru apakah kekangan sebenar yang menghalang usaha mereka?

Kajian Jobstreet memperlihatkan antara faktor yang menyumbang termasuklah sikap dalam diri graduan yang teruk iaitu 37 peratus (%), mengharap gaji yang tidak realistik (33%), kemahiran yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran (30%) serta terlalu memilih kerja dan syarikat (28%).

Sudahlah penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah (mewakili 56%), faktor lain yang turut disenaraikan ialah tiada kemahiran menyelesaikan masalah (26%) dan tahap pengetahuan yang lemah (24%).

Bukan nak kata apa, saya sendiri pernah merasa perit untuk mendapat pekerjaan selepas bergraduat. Buat dua kerja iaitu kerani pada sebelah pagi dan jurujual di pusat beli-belah pada sebelah malam serta pernah menjadi juruwang di sebuah kedai peralatan elektrik ketika zaman gawat sekitar 1998.

Untuk diterima bekerja, saya terpaksa menipu kelayakan iaitu hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya tidak malu merendahkan kelayakan, tetapi saya malu jika terpaksa meminta-minta duit daripada orang tua, justeru saya rela me­nebalkan muka apabila terse­rempak rakan sepengajian.

Ingat saya sahaja melakukan sedemikian, rupa-rupanya rakan setugas iaitu jurujual lelaki Cina turut menggunakan alasan sama. Lebih mengejutkan dia sebenarnya anak tauke kilang air. Demi me­ngutip pengalaman, bapanya mahu dia bekerja dengan orang lain terlebih dahulu sebelum menyertai syarikat keluarga.

Perkenalan dengannya membuka peluang kepada saya mengenali rakannya yang menguruskan sebuah syarikat aksesori wanita dari Singapura. Dari situ saya ditawarkan menjadi penolong pengurus yang antara lain menyelia dan mengurus tiga buah kedai sekitar Lembah Klang.

Dibandingkan dahulu, perawakan saya amat jauh berbeza. Dilabel berat mulut dan malu tak bertempat, namun semua itu dapat diatasi setelah menimba pengalaman be­kerja dari bawah yang secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri dan berkomunikasi serta kesabaran tinggi.

Berbekalkan pengalaman yang ada, saya mencuba nasib bekerja di akhbar Utusan Malaysia pula. Temuduga pertama gagal. Temuduga kedua, berjaya dan saya diminta melapor diri pada 1 Mac 2000. Diam tak diam, jodoh saya bersama akhbar ini sudah masuk tahun ke-15!

Alhamdulillah, biarpun tidak semewah mana, kehidupan kami sekeluarga selesa, malah saya mampu mengumpul aset-aset penting seperti rumah dan kereta sebelum usia mencecah 35 tahun.

Mungkin ada yang berkata, zaman dulu lain, bukan macam sekarang. Bagi saya, tidak ada istilah yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang. Semuanya bergantung kepada diri sendiri - nak berjaya, perlu ada pengorbanan. Pengorbanan paling besar ialah membuang ego.

Kepada golongan belia khususnya graduan yang masih menganggur, buanglah ego anda. Ego yang “dibelai” tidak akan membawa anda ke mana-mana. Jika orang tak mahukan kita, jangan berasa rendah diri, sebaliknya jadikan ia sebagai azam untuk bangkit dan cipta kerjaya sendiri.

Anda bijak, anda ada kelulus­an, gunakan kudrat minda dan fizikal yang ada. Saya teringat kata-kata bekas bos, ‘letakkan diri awak dalam situasi di tengah laut­an, carilah usaha untuk selamatkan diri’. Sememangnya kata-kata sinisnya suatu ketika dahulu saya jadikan ia sebagai azimat untuk meredah cabaran hidup.

-
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments