kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perlembagaan bagaikan suara Raja-Raja Melayu

SETELAH hampir 60 tahun merdeka, masih lagi ada antara kita percaya bahawa Perlembagaan kita adalah Perlembagaan British. Sebagai Perlembagaan British,

Perlembagaan kita hendaklah ditafsir mengikut sebagaimana faham Perlembagaan di England itu. Kepercayaan ini sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan.

Keadaan ini juga mengakibatkan kurang faham kita kepada hala tuju negara yang dibawa oleh Perlembagaan. Sebenarnya pemahaman ini lahir kerana kurangnya keprihatinan tentang sejarah pengisian Perlembagaan.

Sejarah dengan jelas sekali memaparkan proses menggubal Perlembagaan. Pada tahun 1955, selepas saja pilihan raya umum pertama pada tahun 1955, Setiausaha Tanah Jajahan British telah mengunjungi Tanah Melayu dan menghadap Raja-Raja Melayu.

Pada pertemuan itu telah diperkenan oleh Raja-Raja Melayu bahawa hendaklah dianjurkan satu persidangan Perlembagaan.

Persidangan itu bertujuan membincang dan melantik sebuah suruhanjaya untuk merangka dan menderaf Perlembagaan bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu merdeka.

Pada pertemuan itu, antara lain, Raja-Raja Melayu juga menetap dan bersetuju dengan terma-terma rujukan atau hal-hal dan perkara yang perlu diputuskan oleh suruhanjaya yang akan dilantik kelak.

Terma-terma rujukan itu akan mengikat Suruhanjaya yang akan dilantik. Setelah berlangsungnya Persidangan Perlembagaan pada Januari hingga Februari 1956, sebuah Suruhanjaya Perlembagaan, yang juga dikenali sebagai Suruhanjaya Reid (disandarkan kepada nama Pengerusi Suruhanjaya) telah ditubuhkan.

Terma-terma rujukan

Seperti dijanjikan, suruhanjaya tersebut telah diberikan terma-terma rujukan yang telah dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu. Suruhanjaya pula diperingatkan supaya mentaati terma-terma rujukan itu dalam melaksanakan tugasan mereka sebagaimana dimahukan oleh Raja-Raja Melayu.

Dengan kata lain, walaupun Suruhanjaya Reid itu adalah suruhanjaya bebas dan dianggotai oleh ilmuwan atau ahli akademik dan pengamal yang hebat, mereka hendaklah juga melaksana tugasan menepati terma-terma lantikan yang dibekalkan.

Bagi tujuan kefahaman yang tepat, saya petik Laporan Suruhanjaya Reid dalam bahasa asal ia ditulis.

"The members of the Commission were appointed in the name of Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers with the terms of reference as follows:

To examine the present constitutional arrangements throughout the Federation of Malaya, taking into account the position and dignities of Her Majesty the Queen and of Their Highnesses the Rulers:

and

"To make recommendation for a federal form of constitution the whole country as a single, self-governing unit within the Commonwealth based on Parliamentary Democracy with a bicameral legislature, which would include provision for

(i) The establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy....

(ii) The safeguarding of the position and prestige of Their Highnesses as constitutional Rulers of their respective States;

(iii) A Constitutional Yang di-Pertuan Besar (Head of State) for the Federation to be chosen from among Their Highnesses the Rulers;

(iv) A common nationality for the whole of the Federation;

(v) The safeguarding of the special position of the Malays and legitimate interests of other communities."

Secara ringkasnya, Suruhanjaya Reid hendaklah mendraf Perlembagaan Persekutuan bagi menepati kehendak sebuah negara Persekutuan dengan tumpuan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi negeri-negeri mempunyai satu peringkat autonomi;

Perlembagaan yang menjamin kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan komuniti lain serta satu kerakyatan. Suruhanjaya Reid cuma boleh dikatakan mekanisme yang menderaf Perlembagaan, bukan penentu kepada pengisian Perlembagaan.

Berdasarkan fakta sejarah ini, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah semata-mata legasi British dalam konteks 'substance' atau pengisiannya.

Sebahagian besar pengisian Perlembagaan Persekutuan adalah berakar kepada kehendak orang Melayu, terutama Raja-Raja Melayu. Fakta sejarah sebegini hendaklah sentiasa diambil perhatian oleh hakim dalam menentu tafsir kepada Perlembagaan. Ini bagi membolehkan niat Perlembagaan difahami dan diterima dengan baik.

Saya tidak menolak kepentingan untuk hakim Mahkamah menyesuai manfaat Perlembagaan kepada keadaan semasa, tetapi pada masa sama, mereka tidak boleh ketepikan elemen Perlembagaan yang telah diterima dan disepakati oleh Raja-Raja Melayu sebagai pemilik kepada tanah-tanah di negeri Persekutuan Tanah Melayu.

Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 04 November 2015
Tags: history, perlembagaan, raja, sejarah, sultan
Subscribe

Posts from This Journal “perlembagaan” Tag

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments