HAMPIR sedekad Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan sebagai peneraju pemantauan dan koordinasi pelbagai tindakan pembudayaan serta pemerkasaan integriti seperti termaktub dalam buku Pelan Tindakan Integriti (PIN). Tarikh 5 November setiap tahun, diraikan sebagai Hari Integriti Nasional.
Pelbagai pengisian program diatur oleh IIM mahupun pemegang taruh (stakeholders) dalam merealisasikan cabaran keempat Wawasan 2020 yang juga menjadi objektif umum PIN iaitu: Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etika, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh, ditunjang budi pekerti luhur.
Antaranya program khas Bicara Integriti pada 5 November lalu dan Konvensyen Integriti Nasional (KIN) yang berlangsung di IIM, hari ini.
Baru-baru ini, IIM juga mengurniakan dua Anugerah Khas Integriti 2015 kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Anthony Kevin Morais dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim. Pemilihan mereka dibuat berasaskan integriti tinggi yang ditunjukkan kedua-duanya ketika menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.
INDIVIDU yang dipilih bagi menganggotai persatuan penduduk harus sentiasa berpegang kepada integriti dan membuktikan kredibiliti mereka dalam tadbir urus berpersatuan. GAMBAR HIASAN |
Sektor awam dan swasta memang memainkan peranan penting dalam pembangunan lestari negara. Warga kedua-dua sektor ini menjadi aset dan tulang belakang atau tonggak kualiti perkhidmatan awam dan pembangunan sektor ekonomi. Upah dibayar bagi menjustifikasikan usaha dan tindakan mereka dalam kedua-dua sektor ini.
Pada masa sama, badan bukan kerajaan (NGO) menjadi pelengkap kepada agenda negara untuk merakyatkan atau membudayakan integriti. Penglibatan rakyat dalam NGO sama ada dari aspek sumbangan tenaga, idea mahupun pengorbanan masa dan wang ringgit selalunya dilakukan secara sukarela, tidak dibayar. Namun amanah yang dipertanggungjawabkan tetap berusaha digalas demi menjayakan objektif, visi dan misi pertubuhan dan persatuan masing-masing.
Akauntabiliti dalam tadbir urus persatuan sangat penting bagi mengelak timbulnya persepsi negatif sehingga menjejaskan kepercayaan terhadap individu yang diberi amanah atau lebih buruk mencemar nama organisasi terbabit.
Contoh amalan yang paling hampir dengan kehidupan kita adalah persatuan penduduk sama ada dalam komuniti kampung atau taman perumahan. Setiap jawatankuasa yang dibentuk maka harus berfungsi dan bertanggungjawab dengan penuh integriti. Suka atau tidak, rela atau paksa rela namun amanah tetap jadi amanah dan jawatankuasa harus membuktikan kredibiliti mereka dalam tadbir urus berpersatuan. Reputasi dan imej organisasi perlu dipelihara.
Penulis ingin mencadangkan beberapa mekanisme yang perlu dititikberatkan dengan serius bagi memastikan perjalanan persatuan tiada unsur pelanggaran integriti mahupun aspek akta, undang-undang dan peraturan yang tercatat dalam perlembagaan persatuan.
(1). Barisan jawatankuasa yang telah dipilih harus menjalankan tapisan atau saringan maklumat diri bebas jenayah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
(2). Segala akta, undang-undang dan peraturan yang tercatat dalam perlembagaan persatuan wajib dipatuhi oleh semua jawatankuasa atau ahli dalam persatuan tanpa kompromi.
(3). Pengerusi, setiausaha dan bendahari wajib menjalani kursus tadbir urus baik dan pengurusan integriti kewangan.
(4). Setiap keputusan pembelian, pembayaran dan penerimaan sumbangan haruslah dimesyuaratkan sebagai punca kuasa kelulusan dan kebenaran mutlak daripada jawatankuasa dan menerusi mesyuarat agung.
(5). Tiada unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam tadbir urus kewangan dan persatuan.
(6). Setiap jawatan yang diamanahkan harus mengelak ‘conflict of interest’ iaitu mendahului kepentingan peribadi daripada kepentingan persatuan dan komuniti yang ada hubungan dengan pengurusan persatuan amnya.
(7). Akaun peribadi tidak boleh sama sekali digunakan dalam urusan akaun persatuan atau dicampuradukkan.
(8). Walau apa pun jawatankuasa yang dilantik atau terpilih maka harus melaksanakan tugas-tugas dalam persatuan dengan sebaik mungkin. Sekiranya masih tidak mampu beri perkhidmatan maka harus menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi mengelak dipersalahkan kemudian hari dan memberi laluan orang lain yang lebih berupaya menyumbang kepada kebajikan persatuan.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” (Surah An-Nisa’ ayat 58)
Malah menurut terjemahan daripada Kitab Tafsir Al-Marahgiy, ayat di atas memberikan penekanan dua elemen penting iaitu al-amanah dan al-adl. Sekiranya diambil penjagaan harta seseorang sebagai analogi, maka al-amanah itu adalah sesuatu yang dijaga untuk disampaikan kepada si pemiliknya, manakala al-adl itu adalah menyampaikan yang hak kepada pemiliknya melalui jalan yang terdekat.
Namun dalam memperkatakan sifat amanah akan mencakupi beberapa aspek utama antaranya:
(i). Amanah seseorang hamba kepada Tuhannya seperti mengerjakan apa yang diperintahkan (amar makruf) dan meninggalkan apa yang dilarang (nahi mungkar) dalam bentuk kemaksiatan mahupun kemungkaran;
(ii). Amanah hamba Allah sesama manusia samalah seperti melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan untuk dipelihara dan jangan pula dikhianati.
(iii). Amanah hamba Allah kepada tubuh badannya termasuklah tidak melakukan perkara yang menzalimi diri sendiri seperti salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah, berjudi, meminum arak dan memakan riba.
Kata pujangga; “Hitunglah sejauh mana diri dalam ketaatan, akui sejujur-jujurnya kelemahan, keburukan dan kederhakaan diri. Walaupun mungkin pahit, cuba terima seadanya kerana itulah modal untuk kita memperbaiki diri.”