kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Amanah, Pas dan UMNO Kelantan

WALAUPUN sama-sama bergelar parti pembangkang, namun Parti Amanah Negara (Amanah) tetap mahu menentang Pas. Ini terbukti melalui kenyataan presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang secara terbuka menyatakan parti itu bersedia mengambil alih tempat Pas mentadbir kerajaan Kelantan.

Dalam bahasa mudah, Amanah meletakkan sasaran untuk menamatkan pemerintahan 25 tahun Pas di Kelantan yang Mat Sabu sendiri sudah pasti ‘ada sahamnya’ atas kejayaan yang dicapai mulai tahun 1990 itu.

Bagaimanapun kenangan manis itu sudah dilupakan. Sebaliknya Mat Sabu menjadikan alasan ‘langkah itu demi menyelamatkan kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat’.

Tetapi dalam masa sama Mat Sabu mengakui segala-galanya bergantung kepada sokongan yang akan diterima daripada rakyat. Setakat ini, cita-cita Mat Sabu sekadar impian kerana semua orang tahu bagaimana sokongan orang Melayu khususnya ahli Pas kepada Amanah.

Tidak dinafikan sedikit-sebanyak Amanah mempunyai penyokong di Kelantan, tetapi buat masa ini jika kepemimpinan parti itu menyimpan cita-cita untuk menumbangkan Pas di negeri tersebut dalam pilihan raya umum akan datang, bolehlah dianggap umpama mimpi di siang hari.

Ketika ini Pas Kelantan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob masih dilihat kukuh dan tidak tergugat dengan kehadiran Amanah. Pentadbiran kerajaan negeri dan parti berjalan seperti biasa biarpun sudah ada asakan dari dalam. Kedudukan politik khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) masih kukuh dengan menguasai 33 kerusi manakala Barisan Nasional (12 kerusi).

Cita-cita Amanah itu biarpun dianggap satu ‘khayalan’ namun agak menarik untuk diperkatakan apatah lagi apabila Mat Sabu menegaskan ‘bagi menyelamatkan kerajaan Islam’. Persoalannya sudahkah beliau berbincang dengan DAP berhubung hasrat itu? Corak ‘kerajaan Islam’ seperti manakah yang mahu ‘diselamatkan’ oleh Amanah?

Bukankah DAP masih kekal menentang hukum hudud di Kelantan sehingga mereka menolak sama sekali Enakmen Kanun Jenayah Syariah II? Apakah jika Amanah berjaya menumbangkan Pas di Kelantan, pelaksanaan hukum hudud yang disokong oleh majoriti umat Islam di Kelantan tanpa mengira fahaman politik akan diketepikan oleh Amanah?

Jika sikap DAP yang kini menjadi sekutu terkuat Amanah dalam pakatan pembangkang diambil kira, sudah pasti kenyataan Mat Sabu berhubung ‘menyelamatkan kerajaan Islam’ di Kelantan tidak akan ke mana. Amanah bukan sahaja tidak ada apa-apa keistimewaan malah tidak ada sebarang kekuatan.

Apa yang menarik dalam usaha meraih sokongan, Mat Sabu seperti juga sesetengah pemimpin pembangkang lain akan mengaitkan kerjasama UMNO dan Pas. Melalui cara itu, apa yang diharapkan oleh mereka, penyokong-penyokong Pas akan merasa ‘alergi’ dan akan beralih arah kepada Amanah.

Mat Sabu yang berucap di majlis pelancaran Pakatan Harapan Kelantan di Kota Bharu, kelmarin juga mengambil kesempatan untuk menyerang ‘bos lamanya’ Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menuduh Presiden Pas itu mengkhianati rakan-rakan dalam pakatan pembangkang. Beliau juga secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pas “kerana mahu menjadi penasihat kepada UMNO.”

Seperti juga DAP, Amanah ternyata tidak senang dengan tindakan Pas yang memutuskan menolak usul undi tidak percaya terhadap Bajet 2016. Walaupun Pas menegaskan, pendirian itu demi kepentingan rakyat tetapi bagi Amanah demi kuasa yang diburu bersama PKR dan DAP, UMNO harus dilihat sebagai musuh dulu, kini dan selamanya.

Tindakan Amanah itu tidak akan menguntungkan politik orang Melayu. Justeru UMNO Kelantan perlu berusaha menyedarkan rakyat negeri itu supaya jangan terus terlibat dalam konflik antara dua parti tersebut. Sebaliknya perlu memikirkan masa depan mereka dan nasib negeri Kelantan yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Tetapi persoalannya mampukah UMNO meraih sokongan setelah 25 tahun menjadi pembangkang di Kelantan? Dalam politik tidak ada yang mustahil. Apa yang penting ialah pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan khususnya di peringkat bahagian tidak boleh bergantung kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO untuk melakukan segala-galanya.

Mereka juga perlu berusaha memperkukuhkan kedudukan UMNO negeri itu dengan meninggalkan segala perangai buruk yang selama ini menjadi penghalang utama kemaraan UMNO untuk menumbangkan Pas.

Untuk UMNO kembali memerintah Kelantan bukanlah sesuatu yang aneh atau pelik, tetapi yang aneh atau pelik ialah jika tiada usaha dilakukan bagi mencapai kemenangan biarpun sejarah membuktikan Pas boleh dikalahkan.

Masalah dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO di Kelantan masih lagi berperangai sombong dan bongkak termasuklah dengan kakitangan kerajaan Pusat – itu maklum balas yang penulis terima daripada sumber di negeri tersebut.

Ramai gagal mencontohi perwatakan Mustapa yang dilihat disenangi pelbagai pihak sepanjang menguruskan UMNO Kelantan. Kerja keras Mustapa bagi mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu kepada UMNO akan terus terbantut selagi sikap buruk sesetengah pemimpin parti itu di peringkat bahagian tidak diubah.

Rakyat Kelantan mengetahui dan memahami bahawa kerajaan Pusat banyak membantu mereka contohnya ketika banjir besar tahun lalu. Selain itu mereka juga memahami ada sesetengah wakil rakyat Pas bukannya ‘buat kerja sangat’ tetapi mereka tidak ada pilihan.

Mereka masih enggan memberikan semula mandat yang dicabut daripada UMNO sejak 25 tahun lalu kerana tidak menggemari tindak-tanduk sesetengah pemimpin parti itu dalam berurusan dengan rakyat.

Oleh itu pemimpin yang terlibat perlu berubah sikap demi masa depan UMNO di Kelantan. Mereka tidak boleh berasa sudah selesa menjadi pembangkang kerana berpendapat dalam keadaan apa pun dana atau projek daripada Pusat tetap diterima.

Sikap itu ibarat seseorang yang terus menikmati jus manis, biarpun duduk di atas pagar berduri tanpa memikirkan bahaya menanti. Dalam konteks politik Kelantan, UMNO akan menerima padahnya, jika sikap segelintir pemimpinnya yang terus leka memburu keuntungan peribadi dengan ‘memperalatkan’ parti tidak dihapuskan. - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 12 November 2015 6:25 PM

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments