kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Salah guna kuasa , politik

SEKAT SALAH GUNA KUASA

AKHBAR China Press bertarikh 5 November 2015 menyiarkan artikel mengenai keputusan pemilihan DAP Selangor 2015 pada 1 November lalu yang menyaksikan 15 orang dipilih.

Artikel bertajuk ‘Penyelewengan rompak masa depan DAP’ yang ditu­lis oleh Lim Fang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.

Dalam pemilihan DAP negeri kali ini, seramai 15 ahli jawatankuasa (AJK) pusat bernasib baik dapat mengekalkan jawatan mereka. Pada pemilihan akan datang adakah mereka masih bernasib baik lagi, mereka hanya boleh berdoa.

Walaupun nama Tony Pua itu begitu hebat setinggi langit, tetapi dalam pemilihan berkenaan, beliau hanya berada pada kedudukan kelapan, berbanding orang yang tiada nama yang mendapat sokongan tertinggi sebanyak 736 undi.

Walaupun orang seperti itu mendapat undi terbanyak, beliau tidak mampu menjadi Pengerusi DAP Selangor, sebaliknya Tony Pua yang mendapat hanya 495 undi dalam pemilihan berkenaan dilantik sebagai pengerusi.

Ini jelas menunjukkan DAP hanya dikawal oleh segelintir orang yang mempersendakan kuasa perwakilan untuk memilih calon yang mereka rasakan paling layak. Undi paling banyak diterima ketika pemilihan bukanlah faktor yang membolehkan seseorang itu dilantik menjawat jawatan tertinggi peringkat negeri.

DAP sebelum ini pernah mengejek Barisan Nasional (BN) kerana memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan undi daripada 48 peratus rakyat sahaja. Kini perkara sama berlaku apabila individu yang mendapat sokongan antara 30 hingga 40 peratus perwakilan pada pemilihan dilantik menjawat jawatan tertinggi parti di Selangor. Mereka ini menjadi pemimpin yang tidak tahu malu apabila menerima pelantikan ber­kenaan.

Perkara sama berlaku di peringkat DAP kebangsaan apabila individu yang telah melanggar disiplin parti, melakukan salah guna kuasa dan rasuah dengan mudah dapat masuk ke dalam kumpulan ke­pimpinan pusat.

Dalam pada itu, ada pula sesete­ngah pemimpin DAP dianiaya dan dibuang daripada parti tanpa bukti-bukti kesalahan yang kukuh seperti bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee.

DAP suka menggunakan budaya ‘merompak’ dan ‘merampas’. Ada sesetengah pemimpin generasi baru yang berprestasi bagus apabila kelihatan mengancam pucuk ke­pimpinan, mereka akan dihambat.

Hanya mereka yang tunduk patuh kepada pucuk pimpinan tidak akan diburu. Sehingga ke hari ini, dalam DAP ada beberapa orang sahaja yang berkuasa. Selepas DAP mula berkuasa pada 2008, konsep dan hala tuju sebenar parti itu telah berantakan kerana pemimpin terbabit hanya mengejar kepentingan sendiri.

Usaha untuk menjadikan DAP parti berbilang kaum juga telah menempuh jalan sempit setelah tiga wakil Melayu yang bertanding dalam pemilihan peringkat Sela­ngor baru-baru ini tewas. Mereka ini tiada tapak untuk berdiri dan menerajui DAP.

Tony Pua telah melantik tiga wakil Melayu dalam kepimpinan DAP Selangor yang baharu sebagai ganti. Adakah mereka mampu menjadi batu loncatan kepada pe­nerokaan untuk DAP menjadi sebuah parti pelbagai kaum, itu masih lagi menjadi tanda-tanya.

Walaupun DAP semakin menjadi kesayangan orang Cina, penyelewengan dan salah guna melibatkan pemimpin parti itu akan terus menjadi-jadi terutama apabila mereka mendapat lebih banyak kuasa pemerintahan pada masa depan.

TETAP MEMIMPIN WALAUPUN UNDI KECIL

KEPUTUSAN pemilihan DAP Sela­ngor baru-baru ini turut diulas akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 7 November 2015 menerusi artikel yang ditulis oleh Chang Long Yan bertajuk ‘Corak semakin lama semakin sempit’ dalam ruangan Pendapat halaman B9.

DAP Selangor baharu sahaja menamatkan pemilihan parti. Daripada 15 AJK pusat yang dipilih, Tony Pua berada dalam kedudukan kelapan iaitu lebih teruk berbanding keputusan pemilihan yang lepas apabila beliau berada di keduduk­an keenam. Walaupun dalam laman Facebook beliau mempunyai 270,000 orang yang menekan butang Like, perkara itu tidak membantu meningkatkan kedudukannya dalam pemilihan parti.

Tidak kira apa yang berlaku dalam pemilihan kali ini, Tony Pua tetap dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor. Undi sedikit diterima beliau dalam pemilihan berkenaan menunjukkan terdapat kalangan perwakilan yang tidak yakin de­ngan kepimpinannya.

Baru-baru ini, nama Tony Pua begitu masyhur disebabkan beliau ‘berani’ mencabar Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat secara terbuka.

Tidak disangkanya cabaran itu terus diterima oleh Arul Kanda tanpa sebarang syarat. Selepas itu, Tony Pua meletakkan syarat iaitu perdebatan berkenaan perlu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan hanya beliau yang boleh menyoal manakala Presiden 1MDB itu tidak boleh bertanya apa-apa.

Pemimpin parti roket memang suka mencabar orang lain serta gemar mencari keburukan itu dan ini. Hakikat berkenaan bukan perkara baharu kepada kita. Jika diimbau kembali sejarah, pada pilihan raya umum (PRU) 1982, Lim Kit Siang yang ketika itu Setiausaha Agung DAP telah mencabar Presiden MCA ketika itu, Lee San Choon untuk memilih bertanding di salah satu daripada 12 kawasan Parlimen majoriti Cina untuk membuktikan MCA tidak mengharapkan sokongan undi orang Melayu untuk menang.

Tetapi Kit Siang tidak menjangkakan bahawa San Choon akan menerima cabaran itu. Di saat akhir, Kit Siang menarik diri dan meminta Presiden DAP, Dr. Chen Man Hin mengambil alih pertarungan itu. Akhirnya San Choon menang de­ngan majoriti 845 undi.

Berbalik kepada cabaran Tony Pua terhadap Arul Kanda, walaupun isunya berbeza, terdapat persamaan dengan perlakuan pemimpin DAP pada 1982 yang cenderung mengarahkan orang lain buat itu dan ini tetapi di saat akhir menarik diri. Mereka kemudiannya mencari orang lain sebagai pengganti untuk dijadikan mangsa. - Utusan Malaysia Rencana 12 November 2015

Tags: integriti, kuasa, politik
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments