kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menyantuni integrasi nasional, Rakyat Malaysia di persimpangan

BUKU yang ditujukan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum terutama generasi muda yang bakal mewarisi negara ini pada masa depan ditulis oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang juga pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan anaknya, Datuk Azrin.

Azrin, 46, lulusan undang-undang dari United Kingdom pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Hiburan dan Sukan Astro. Beliau ialah pengasas dan Pengarah Urusan Sedania Innovator Sdn. Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih.


MOHD. NOOR ABDULLAH (kanan) dan Azrin Mohd. Noor memegang buku tulisan mereka selepas majlis pelancaran naskhah berkenaan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu. UTUSAN/MD. SHAH JEHAN MAAMIN

Naskhah ini memang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak kerana dapat menangkis tuduhan tidak benar segelintir pihak terhadap Mohd. Noor, 76. Beliau dilabelkan sebagai rasis dan ultra-Melayu semata-mata kerana memperjuangkan sekolah satu ali­ran yang diyaki­ninya mampu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Pembaca buku ini sudah pasti akan mendapati wujud banyak persamaan antara yang diungkap dalam buku ini dengan buku The Malay Dilemma karya Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diterbitkan pada 1970 iaitu sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Jika The Malay Dilemma bertujuan mendesak orang Melayu menjadi lebih progresif untuk membolehkan kaum itu bersaing dengan masyarakat Cina yang menguasai ekonomi, buku ini lebih menjurus kepada dilema yang dihadapi rakyat Malaysia berbilang kaum.

Ini ekoran wujud golongan tertentu yang cenderung untuk bertelagah apabila membincangkan sesuatu isu, menghina kumpulan yang memberi pendapat berbeza dan ghairah mengadakan demonstrasi jalanan bagi mengubah kerajaan.

Situasi itu membuatkan rakyat Malaysia berada di persimpangan mengenai arah mana yang harus dipilih. Mohd. Noor dalam prakata buku berkenaan menegaskan, majoriti senyap rakyat negara ini perlu bangkit mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang, kerana kaedah itu sahaja yang telah terbukti membawa keamanan kepada negara ini sejak 58 tahun lalu.

“Untuk menghadapi golongan berkenaan memang cukup sukar pada zaman Internet ini kerana pembohongan, berita separuh benar dan cacian boleh disebarkan secara meluas melalui media sosial,” tulisnya.

Jelas beliau, penerbitan buku berkenaan bertujuan menggerakkan seluruh rakyat untuk menentang golongan terbabit dengan cara semua pihak berusaha mencari persamaan dalam masyarakat berbilang kaum.

“Saranan supaya kita mencari persamaan ini sudah tentu tidak diterima oleh golongan ultra-Melayu, Cina dan India yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

“Persamaan ini hanya boleh dicapai jika kita semua memilih untuk mentakrif diri kita sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu dan meletakkan pengenalan diri mengikut kaum di tempat kedua,” tulisnya.

Tambah beliau, semua pihak khususnya generasi muda kini hanya mempunyai dua pilihan, pertama, saling berpegangan tangan antara satu sama lain tanpa mengira kaum bagi mengekalkan perpaduan atau kedua, saling bertelagah antara satu sama lain sehingga meruntuhkan negara ini menjadi serpihan-serpihan kecil.

Azrin dalam prakata buku itu pula menjelaskan, walaupun beliau berbeza pendapat dengan bapanya dalam banyak isu, mereka sependapat bahawa Malaysia sekarang sedang ‘sakit’ dan perlu dibantu oleh seluruh warganya.

“Kami bersetuju untuk sama-sama menulis buku ini dengan niat menyatukan seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan kepelbagaian kaum di negara ini menjadi sumber kekuatan kepada kita dan bukan dijadikan alasan untuk membuatkan kita lemah.

“Saya berpendapat sekiranya kita dapat menjadikan Perlembagaan Persekutuan lebih mudah difahami oleh seluruh rakyat, matlamat untuk menyatukan semua penduduk boleh dicapai,” tulisnya.

Antara cadangan penulis bagi memperkukuhkan perpa­duan dalam kalangan rakyat ialah menggugurkan perkataan yang merujuk kepada kaum seperti Melayu, Cina dan India daripada nama dewan perniagaan. Sepatutnya yang perlu ada hanyalah satu dewan sahaja iaitu Dewan Perniagaan Malaysia.

Penulis turut mencadangkan supaya digubal Akta Hubung­an Kaum yang antara kandungannya melarang penubuhan organisasi yang berasaskan kepada kaum tertentu dan diwujudkan satu aliran pendidikan sahaja iaitu Sekolah Malaysia.

Turut dicadangkan ialah pelaksanaan konsep ‘Baba-Ali’ di mana peniaga Cina akan menjadi mentor kepada peniaga Melayu. Kerjasama usahawan berbilang kaum ini akan membolehkan kedua-duanya menjadi lebih maju dalam perniagaan.


INTEGRASI nasional adalah agenda yang sangat penting bagi kelestarian kestabilan politik negara. Untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar, asas pembinaan negara bangsa Malaysia perlu kukuh dan mampu bertahan.

Era globalisasi atau dunia tanpa sempadan telah menjadikan negara yang berlatarbelakangkan kepelbagaian ini terdedah kepada ancaman pemikiran dan ideologi yang disalahertikan sebagai anutan masyarakat. Maka ini akan menggugat nilai-nilai integrasi yang telah wujud secara harmoni.


SEMANGAT muhibah tanpa mengira warna kulit dan agama dalam meraikan sesuatu perayaan perlu terus dipertahankan agar masyarakat majmuk negara ini dapat hidup dalam aman dan damai. BERNAMA

Justeru memahami integrasi nasional adalah sangat relevan kerana mengenal pasti masalah dan cabaran semasa menjadi input kepada dasar awam yang dilaksanakan pada masa akan datang. Bagi sebuah negara seperti Malaysia, mempunyai komposisi kaum yang berbeza seperti Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak, adalah satu cabaran yang sangat besar.

Tanpa dasar integrasi yang tepat dan sesuai pasti akan memberikan kesan yang besar kepada pemba­ngunan negara. Program dan projek pembangunan akan sukar dilaksana­kan apabila masa, tenaga dan kos terpaksa dihabiskan untuk menyelesaikan konflik dalaman negara.

Pada hari ini, usaha dalam merealisasikan integrasi semakin mencabar. Hal ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi dalam persoalan hak sering kedengaran atas nama demokrasi. Hak yang sering dilaungkan banyak menyentuh prinsip-prinsip kesamarataan dan kebebasan sivil bagi setiap individu dalam sebuah negara. Malah suara-suara ini menginginkan kebebasan mutlak bagi ruang kehidupan mereka di negara ini.

Walaupun begitu, liberalisasi dalam kehidupan sebuah negara yang demokrasi adalah agak mustahil jika bersifat absolute freedom atau kebebasan mutlak. Di samping itu, demokrasi yang bersifat liberal seperti di Barat sangat bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat Malaysia. Selain itu, ciri kepelbagai­an dalam kalangan rakyat negara ini adalah aset dan elemen unik yang perlu dipelihara.

Jika kita melihat perbezaan itu sebagai sesuatu yang berharga, sudah pasti setiap anggota masyarakat akan bersama-sama mempertahankan nilai tersebut.

Dalam pada itu, masalah integrasi yang timbul berpunca daripada tiada justifikasi yang jelas tentang hak-hak tertentu dan menimbulkan perasaan ketidakadilan dan prejudis. Maka permasalahan utama ialah bagaimana pelaksanaan integrasi nasional dapat dicapai di samping memenuhi kehendak dan permintaan semua kaum atas dasar demokrasi.

Ironinya, Malaysia mempunyai limitasi atau had tertentu dalam Perlembagaan yang melindungi kaum dan kepentingan tertentu. Namun pada masa yang sama tidak menafikan hak kaum lain sebagai rakyat di negara ini. Justeru formula toleransi yang diamalkan selepas merdeka sehingga ke hari ini tidak akan berkesan jika wujud golong­an ekstremis yang terlalu taksub dalam memperjuangkan hak-hak kaum tertentu.

Dalam isu ini, permasalahan tersebut perlu dikupas dalam konteks demokrasi sebagaimana merujuk kepada cabaran dalam menjayakan pelaksanaan dasar integrasi nasional. Demokrasi sering digambarkan sebagai sistem politik yang terdapat di negara-negara barat.

Demokrasi juga bermaksud kebebasan dari sudut kesamarataan dan hak yang juga menjadi asas kepada sistem demokrasi sesebuah negara. Namun elemen kebebasan tersebut harus mengikut acuan, nilai dan prinsip sesebuah negara itu sendiri. Oleh itu demokrasi boleh difahami dengan empat ciri utama. Pertama, kesamarataan; kedua, hak kebebasan; ketiga, kuasa dari rakyat (pilihanraya) dan keempat, pematuhan undang-undang.

Berdasarkan ciri-ciri tersebut, demokrasi mengangkat hak kebebasan setiap individu tetapi ia masih mempunyai limitasi bagi kebebasan tersebut. Kebebasan yang diperoleh harus dibatasi dengan undang-undang bagi menjamin keamanan negara agar pembangunan dapat diteruskan.

Kehidupan yang harmoni mampu memberikan suasana yang selamat dan dapat menghindarkan konflik. Hal ini dapat direalisasikan jika ruang demokrasi yang diberikan itu digunakan dengan cara berhemah dan berorientasikan kecintaan kepada negara.

Dalam pada itu, kebebasan bersuara seharusnya digunakan dengan secermat mungkin bagi mengelakkan salah faham dan menyentuh perkara-perkara sensitif kaum-kaum lain. Di samping itu, keharmonian kaum bagi sesebuah negara yang masyarakatnya bersifat plural harus bermula dengan sikap hormat-menghormati dengan memahami budaya dan nilai antara satu sama lain.

Justeru, apa yang telah berlaku semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969, Kampung Medan 2001 dan rusuhan di Plaza Low Yat 2015 jelas menggambarkan betapa rapuhnya perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini walaupun kita telah hidup bersama selama 52 tahun selepas pembentukan Malaysia.

Dalam usaha mengejar kemajuan, penanda arasnya sering meru­juk kepada pembangunan ekonomi. Namun pembangunan tersebut tidak akan tercapai jika kestabilan politik masih lagi tidak berada di tahap yang baik. Perpaduan atau integrasi nasional merupakan prasyarat kepada kemajuan sesuatu tamadun.

Keretakan masyarakat hanya akan membawa risiko yang lebih besar kepada negara. Dalam pada itu juga, sesebuah negara harus mengutamakan kekuatan negara bangsa jika ingin mencapai kemakmuran ekonomi pada masa akan datang dan bertahan lebih lama. Hal ini kerana pembangunan yang mampan hanya mampu dicapai melalui nilai kepelbagaian yang dikompromi tanpa prejudis.

Oleh itu, bagi sebuah negara yang berkomposisikan pelbagai kaum, pendemokrasian yang me­nunjangi sistem politik dan kerajaan harus disantuni dengan bijak. Hanya dengan toleransi tahap tinggi dalam kalangan masyarakat yang akan membawa negara ini maju ke hadapan di samping terus bertahan dalam cabaran dunia tanpa sempadan pada hari ini.

Tags: integrasi, integration
Subscribe

Posts from This Journal “integration” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments