kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nishimura dihukum gantung, Tawanan perang ditipu, dibunuh kejam

Tawanan perang ditipu, dibunuh kejam
KEMARAAN tentera Jepun dari bahagian Utara dan Pantai Timur tanah air pada 1940-an telah mewujudkan pelbagai insiden tragis dan kegagalan dalam pelbagai aspek teknikal oleh tentera British.

Banyak bom diletupkan di jambatan, jalan raya dan lapangan terbang untuk menghalang kemaraan tentera negara matahari terbit itu daripada menyempurnakan misi mereka untuk sampai ke Singapura.


ANTARA bentuk penyeksaan yang dilakukan tentera Jepun ke atas tawanan perang Australia. AUSTRALIAN WAR MEMORIAL

Selain di Kelantan, Kedah, Pahang dan Perak, Batu Pahat, Johor turut mencatat sejarah paling menyayat hati apabila tawanan perang Pasukan Berikat dari Division ke-8 Australia dan Briged ke-45 Tentera India yang cuba menyekat kemaraan tentera Jepun dibunuh dengan kejam.

Selepas tewas dengan asakan dari tentera Jepun dalam peperangan yang berlangsung selama dua hari itu, akhirnya Pasukan Berikat akur menjadi tawanan perang akibat cedera teruk. Namun, kisah selepas kemaraan tentera Jepun lebih menyedihkan.

Menurut Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros, sejarah perang Jepun di sana adalah bukti kekejaman tentera mereka.

“Berdasarkan penyelidikan saya terhadap sejarah tragedi tersebut, ceritanya bermula apabila Pasukan Berikat tidak dapat bertahan kerana kehabisan bekalan makanan, peluru dan sebagainya.



KUATERS Jabatan Kerja Raya rosak teruk akibat perang Jepun di Parit Sulong pada Januari 1942 pernah menjadi penempatan askar Pasukan Berikat yang cedera. TUNTEDDY.BLOGPSPOT.COM

“Selepas kira-kira dua hari berperang dengan tentera Jepun, mereka telah cedera teruk dan ditempatkan dengan sebuah rumah Jabatan Kerja Raya (JKR) berhampiran dengan sebatang sungai.

“Pegawai pemerintah mereka, Leftenan Kolonel Charles Anderson mengarahkan pasukan tentera lain untuk berundur sementara yang cedera pula terpaksa tinggal di rumah tersebut kerana tidak mampu untuk bergerak.

“Dengan harapan, sekiranya Jepun berjaya menawan Tanah Melayu, pasukan tentera yang cedera dan menjadi tawanan perang akan dilayan dengan baik. Tetapi lain yang diharap, lain pula jadinya,” katanya ketika ditemubual S2.

Tambah beliau, tawanan-tawanan tersebut tidak dilayan sewajarnya dan bantuan perubatan pula tidak diberikan sebaliknya menyeksa mereka dengan bermacam-macam cara.

“Mengerikan apabila membaca jurnal-jurnal dan buku sejarah tentang jenayah perang yang berlaku di Parit Sulong sewaktu penjajahan Tentera Jepun.

“Tawanan perang sebanyak 110 orang dari Division Australia ke-8 dan 35 orang dari Infantri India ke-45 yang terpaksa ditinggalkan di kuaters JKR akibat cedera telah diseksa.

“Tentera Jepun telah memukul mereka dengan belakang sub-mesingan, ditendang dan sebagainya. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak diberi makan selama beberapa hari dan sengaja dibiar kebuluran,” jelasnya.

Tambah beliau, selepas Jepun berjaya menawan Parit Sulong, tawanan perang tidak dilayan dengan sewajarnya, malah mereka turut memperdaya dengan menyatakan bantuan perubatan akan diberikan.

“Tentera Jepun telah mengiringi tawanan perang untuk pergi ke belakang deretan kedai, kononnya konvoi perubatan akan tiba di sana untuk memberi bantuan.

“Namun, sebenarnya tawanan tersebut telah diperdaya. Tiga laras mesingan telah diletakkan di penjuru berlainan dan dihalakan ke arah tawanan-tawanan tersebut. Selepas tentera Jepun meninggalkan mereka di situ, bertalu-talu tembakan dilepaskan ke arah mereka.

“Itu yang pertama. Yang kedua pula, tawanan telah diikat beramai-ramai dan dibaringkan atas lantai lalu disimbah dengan petrol atau minyak tanah. Kemudian dibakar lalu dilenyek dengan kenderaan askar Jepun.

“Ketiga pula, sebahagian tawanan yang tinggal diikat antara satu sama lain dekat tebing sungai (Sungai Simpang Kiri). Kemudian orang yang paling hujung ditembak lalu jatuh ke dalam sungai menyebabkan tawanan lain yang diikat pun turut jatuh.

“Begitu kejam tentera Jepun pada masa itu yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Takuma Nishimura di Parit Sulong. Tiga siri pembunuhan beramai-ramai telah berlaku di sana.

Tetapi, ada yang selamat dan salah seorangnya ialah pegawai dari Batalion ke-29 Division Australia ke-8 iaitu Leftenan Ben Hackney,” ujar beliau.


Nishimura dihukum gantung

RENTETAN daripada kekejaman tentera Jepun pimpinan Leftenan Jeneral Takuma Nishimura, dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai, terdapat dua atau tiga orang tawanan berjaya meloloskan diri.
Salah seorangnya merupakan pegawai dari Division Australia ke-8 iaitu Leftenan Ben Hackney. Kejayaan beliau menyelinap keluar daripada kepungan tentera Jepun dalam tragedi tersebut telah menyebabkan Takuma Nishimura dikenakan tuduhan jenayah perang.

LEFTENAN Jeneral Takuma Nishimura bertanggungjawab terhadap dua kes pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong dan Singapura. AUSTRALIAN WAR MEMORIAL
Menurut Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros, dalam insiden tersebut, Hackney berjaya melarikan diri tetapi ditangkap semula oleh tentera Jepun.
“Leftenan Ben Hackney dapat melepaskan ikatan pada tangannya, saat jatuh ke dalam sungai, dia dapat berenang ke tebing dan mencari tempat persembunyian.
“Dia berjaya menyelinap keluar meskipun dalam keadaan kedua-dua kakinya patah dan bersembunyi di kawasan kampung untuk elak dikesan.
“Malangnya, enam minggu kemudian, askar Jepun berjaya menemuinya lalu dipenjarakan dan disiksa.
“Seingat saya dalam sebuah buku, Hackney menceritakan ada tahanan yang jadi gila akibat diseksa dengan kejam,” katanya dalam temubual S2.
Selepas beberapa minggu Jepun menawan Parit Sulong, Nishimura telah diarahkan berpindah ke Singapura untuk mengetuai angkatan di sana.
Menurut Azhar lagi, selepas diperintahkan untuk mengetuai angkatan di sana, beliau turut menyiksa tawanan perang di sana.
“Jenayah perang tersebut berjaya dibuktikan apabila Jepun menyerah kalah pada tentera British pada Ogos 1945, beberapa minggu selepas tarikh tersebut satu laporan jenayah perang telah dibuat oleh pihak British di atas keganasan yang dilakukan oleh Nishimura.
“Beliau telah dibicara dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan melakukan kekejaman dan membunuh tawanan perang di Singapura oleh Mahkamah Tribunal Ketenteraan British pada 2 April 1947.
“Sewaktu dalam perjalanan ke Tokyo untuk dipenjarakan di sana, kapal yang dinaikinya telah berhenti di Hong Kong lalu ditahan oleh pihak berkuasa Australia. Nishimura sekali lagi ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Ketenteraan Australia pada Jun 1945.
“Kemudian beliau menerima satu lagi hukuman berat atas jenayah perang yang diceritakan oleh Leftenan Ben Hackney tentang pembunuhan di Parit Sulong. Nishimura telah dijatuhkan hukuman gantung dan menjalaninya pada 11 Jun 1951,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan jika jenayah perang yang dilakukan oleh Nishimura adalah bermotifkan dendam terhadap kehilangan anggota tenteranya dalam siri serangan sebelum sampai ke selatan Semenanjung Tanah Melayu.
“Ramai anggotanya terkorban dalam serang hendap di Gemencheh dan peperangan di Bakri, Muar. Mungkin sebab itulah dia berdendam dengan tentera British,” ujarnya.
Tags: perang, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments