kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Asal Kampung Simpang Kiri , Titik hitam Parit Sulong

Titik hitam Parit Sulong

BANYAK peristiwa berlaku sewaktu penaklukan Jepun di bawah pimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita yang memimpin Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun, bermula kemasukannya melalui Pantai Timur dan Utara Tanah Melayu sehinggalah kejayaannya sampai ke Singapura.

Namun, di sebalik penaklukan Jepun itu, terdapat kisah hitam yang telah lama terpahat di hati penduduk Parit Sulong terutama mereka yang melihat sendiri sebuah tragedi yang dicipta oleh Tentera Imperial Jepun pimpinan Leftenan Jeneral Takuma Nishimura iaitu pembunuhan beramai-ramai tawanan perang Pasukan Berikat British yang terdiri daripada Division ke-8 Australia dan Briged ke-45 Tentera India.

Jenayah perang tersebut bukan sahaja mencabuli Perjanjian Geneva malah dilakukan dekat kawasan terbuka yang dapat dilihat orang ramai iaitu di pekan Parit Sulong dan atas jambatan Sungai Simpang Kiri.

Pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan oleh tentera Jepun di Parit Sulong sehingga penduduk tempatan memejam mata dan menggelengkan kepala apabila mengenang peristiwa hitam itu.

Parit Sulong dahulu hanyalah sebuah penempatan kecil. Dahulu ia dikenali sebagai Kampung Simpang Kiri sebelum kedatangan Gantang Bin Bontak.

Pelbagai pembangunan dapat dinikmati oleh penduduk tempatan apabila anak Gantang bernama Sulung dilantik menjadi ketua kampung di sana.

Banyak aktiviti perniagaan diwujudkan melalui kemasukan warga luar untuk membuka kebun-kebun di Kampung Simpang Kiri, sekali gus menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kampung tersebut.

Ikuti kisah wartawan S2, MOHAMAD ATHIR ISMAIL yang berpeluang menggali semula sejarah Parit Sulong untuk ‘menyaksikan’ sendiri peristiwa dan tempat-tempat di mana pembunuhan beramai-ramai dilakukan.


Asal Kampung Simpang Kiri
DISEBALIK sejarah terkenal Parit Sulong berkaitan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai, terdapat sebuah kisah menceritakan asal-usul kawasan tersebut yang mempunyai garisan masa hampir sama dengan peristiwa serangan tentera Jepun di kawasan itu.

Ceritanya bermula pada penghujung kurun ke-19 apabila sebuah pekan dibuka, manakala perkampungan di situ dahulu dikenali sebagai Kampung Simpang Kiri.

Kampung Simpang Kiri mendapat namanya kerana ia terletak berhampiran tebing Sungai Simpang Kiri dan juga terletak di antara dua bandar iaitu Muar dan Yong Peng.

Perunding Persatuan Sejarah Cawangan Batu Pahat, Johari Jonet memberitahu Kampung Simpang Kiri telah ditukar kepada Parit Sulong kerana pembukaan pekannya.


SEBUAH memorial dibina kerajaan Australia untuk mengenang jasa tentera yang terkorban dalam peperangan di Parit Sulong.

“Dahulu sekitar tahun 1890an, Gantang Bontak bersama ahli keluarganya telah berhijrah dari Pekan, Pahang ke Bukit Inas dan menetap di situ.

“Pada waktu itu, penghulu yang bertanggungjawab menjadi ketua di Kampung Simpang Kiri ialah Kitam Mohd Shah. Masa itu, beliau diamanahkan menjadi penghulu Mukim Simpang Kiri.

“Gantang sebenarnya seorang panglima berketurunan daripada Megat Seri Rama yang terkenal sebagai Laksamana Bentan sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud mangkat dijulang,” katanya ketika ditemubual S2.

Menurut beliau lagi, menariknya Gantang membina penempatan dalam kawasan hutan di Bukit Inas nyata berlainan dengan kelaziman masyarakat Melayu yang membuat penempatan di kawasan berhampiran sungai untuk pelbagai kemudahan.

“Selain Bukit Inas, anak-anak Panglima Gantang iaitu Sulong, Awal, Manang dan Manap telah meninggalkan bukit tersebut dan membuka perkampungan di kawasan kaki bukit.

“Anak-anak beliau juga mahir dalam memburu dan kemahiran menggunakan senjata juga memudahkan mereka mendapatkan hasil buruan yang banyak.

“Disebabkan kehebatan Panglima Gantang dan anak-anaknya maka Kampung Simpang Kiri mempunyai kegiatan ekonomi yang aktif dan pekan di sana telah membangun dengan pesat,” jelasnya.

Dalam pada itu seorang penduduk tempatan Parit Sulong, Amir Saryi, 78, memberitahu anak Panglima Gantang iaitu Sulong adalah orang yang bertanggungjawab membuka pekan di situ.

“Selepas ayahnya, Panglima Gantang meninggal dunia, Sultan Johor pada masa itu Sultan Ibrahim telah melantik Sulong menggantikan ayahnya menjadi Ketua Kampung Simpang Kiri.

“Sulonglah yang bertanggungjawab membuka pekan di sini dan membawa masuk lebih ramai penduduk terutama dari Indonesia terutama masyarakat Jawa untuk membuka kebun. Masa itu, nama Parit Sulong belum ada lagi.

“Sebaik sahaja dilantik menjadi ketua, beliau telah membuat pelbagai pembangunan di sini termasuklah menjemput orang Cina untuk mengusahakan tanaman gambir di Kangkar Merlimau dan Kangkar Senangar. Sebab itu ramai orang Cina dekat sana,” ujarnya.

Apabila Sulong begitu komited membangunkan Kampung Simpang Kiri, sebatang parit telah digali dari tepi sungai menghala ke Simpang Tiga.

“Disebabkan pembinaan parit tersebutlah nama Kampung Simpang Kiri ditukar kepada Parit Sulong. Tetapi, masa Sulong menjadi ketua, nama tersebut masih belum bertukar.

“Apabila Sulong meninggal dunia, penduduk kampung mencadangkan kepada Sultan untuk melantik anak lelakinya menjadi ketua. Tetapi, disebabkan anak lelakinya yang sulong masih kecil, maka menantunya iaitu Mohamad telah dilantik untuk menjadi ketua sementara.

“Selepas meningkat dewasa, jawatan tersebut telah dikembalikan kepada anak Sulong iaitu Mian Sulong. Sewaktu Mian menjadi ketualah nama Kampung Simpang Kiri ditukar kepada Parit Sulong sewaktu pemerintahan Jepun,” katanya.

Tambah Amir lagi, nama Parit Sulong itu diambil sembena dengan sebatang parit yang dibina oleh Sulong sewaktu beliau menjadi ketua.

Sementara nama Sulong pula diabadikan kerana jasanya yang mengaktifkan kegiatan ekonomi dan seterusnya membuka pekan di kawasan itu.

Tags: perang, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments