MASIH belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 yang memperoleh keputusan cemerlang. Yang menariknya pada tahun ini, sekolah-sekolah luar bandar mencatatkan keputusan yang memberangsangkan. Apa yang menakjubkan ada di antara sekolah cemerlang ini baharu sahaja beroperasi misalnya, Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH), Jitra, Kedah yang dibuka pada 2011. Meskipun baharu sahaja beroperasi, namun sekolah ini berupaya mencatatkan keputusan kedua terbaik di daerah Kubang Pasu, dengan mengalahkan banyak sekolah ternama yang telah lama ditubuhkan. Bahkan, sekolah ini hanya ketinggalan sedikit berbanding sebuah sekolah berprestasi tinggi (SBT).
Apakah ramuannya sehinggakan sekolah ini berjaya mencatatkan keputusan luar biasa meskipun baharu setahun jagung usianya? Tidak lain tidak bukan ketokohan kepimpinan guru besarnya yang cukup berdedikasi untuk melihat anak-anak muridnya cemerlang dalam semua segi. Beliau yang bersara dua hari selepas pengumuman keputusan UPSR 2015 telah berjaya meninggalkan legasi tradisi ilmu di sekolah tersebut. Selain guru besar, guru-guru SKDH juga tidak jemu-jemu mendidik anak-anak murid. Tidak terkecuali penglibatan ibu bapa yang sentiasa menyokong pihak sekolah.
Sistem pendidikan Malaysia memerlukan ramai pemimpin pendidikan terbaik tidak kira di peringkat rendah mahupun menengah. Ini bagi membolehkan murid dan pelajar sentiasa cemerlang bukan setakat dalam peperiksaan tetapi juga dalam aspek sahsiah dan kokurikulum. Malangnya kita boleh lihat masih ada kes buli yang berlaku di sana sini memperlihatkan ada yang tidak kena dengan tingkah laku murid dan pelajar pada masa sekarang. Meskipun kes-kes buli ini agak terpencil, namun jika tidak ditangani segera kesannya cukup besar sama sekali pada masa hadapan.
Adakah kita mahukan generasi kaki pembuli dan samseng pada masa hadapan? Sedangkan apa yang negara dan masyarakat perlukan ialah pemimpin terbaik untuk masa hadapan terutamanya dari segi sahsiah. Inilah yang perlu difikirkan oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak hanya sekadar mengubah sesuatu dasar dan polisi dengan begitu kerap tanpa melihat keberkesanan sesuatu dasar dan polisi tersebut. Perlu diingatkan bahawa murid dan pelajar bukanlah sekadar bahan uji kaji untuk menunjukkan kehebatan seseorang pemimpin. Misalnya, sampai sekarang kita masih membicarakan isu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, yang mana satu yang perlu diutamakan.
Ya, memang benar, seseorang yang mahir dalam pelbagai bahasa memiliki kelebihan berbanding hanya mahir dalam satu bahasa sahaja. Namun, ini bukanlah boleh dijadikan hujah untuk kita kerap mengubah sesuatu polisi mengenai bahasa. Hal ini berlaku demikian kerana negara majmuk seperti Malaysia memerlukan bahasa penyatuan. Mana-mana negara di dunia pastinya akan memiliki satu bahasa penyatuan. Dalam hal ini, bahasa Melayu adalah bahasa yang menyatukan semua kaum di Malaysia di bawah satu bumbung bangsa Malaysia.
Inilah yang perlu diamati oleh pemimpin-pemimpin politik dan penggubal dasar dan polisi agar negara kita selepas tahun 2020 benar-benar memiliki acuan tersendiri dan tidak lagi membicarakan isu yang sama selepas bertahun-tahun lamanya mencapai kemerdekaan. Inilah juga yang perlu diterapkan kepada anak-anak kecil kita agar mereka memiliki jati diri sebagai bangsa Malaysia dan bukannya terikut-ikut dengan acuan bangsa negara lain sehingga tidak mengetahui identiti sebenar mereka.
Selain menerapkan kepentingan identiti bangsa Malaysia dalam kalangan anak kecil menerusi sistem pendidikan, satu perkara yang tidak boleh dinafikan tentang kepentingan berfikir secara kritis dalam kalangan generasi muda. Dalam konteks ini, tahun 2015 adalah tahun terakhir bagi UPSR di bawah sistem yang lama yang mana pada tahun hadapan, calon-calon UPSR diuji dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kemahiran ini sangat diperlukan bagi membolehkan generasi masa hadapan tidak mudah mempercayai sesuatu maklumat sebelum menyelidik dan memahami kebenarannya. Berkeupayaan berfikir secara kritis pada tahap tinggi supaya akhirnya keputusan terbaik dapat dibuat oleh mereka.
Lebih-lebih lagi ketika era ledakan maklumat memerlukan seseorang mencanai setiap maklumat dengan tepat. Tidak hanya menerima sesuatu maklumat secara semberono. Hal ini berlaku sedemikian kerana bukan semua maklumat itu tepat dan benar. Ini jelas kelihatan apabila ramai yang mudah terpedaya dengan sesuatu sebaran maklumat terutamanya yang bersifat gosip, fitnah dan hasutan. Malang sekali jika maklumat palsu yang berniat jahat dipercayai oleh ramai pihak sehingga mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
Jadi, timbul persoalan adakah ini yang kita mahukan tatkala kita berbangga menghuni sebuah negara yang bergelar maju berpendapatan tinggi? Masyarakat sesebuah negara maju tidak hanya maju dari sudut ekonomi tetapi juga maju dari sudut pemikiran dan tingkah laku. Malangnya, kini, ramai yang bukan sahaja menerima dan mempercayai sesuatu maklumat dengan mudah tanpa usul periksa, tetapi juga begitu cepat menyebarkan maklumat tersebut kononnya berkongsi maklumat itu tanda prihatin mereka terhadap orang lain. Ini sama sekali jauh menyimpang daripada tradisi ilmu sejak dahulu lagi yang mengutamakan kebenaran ilmu untuk dimanfaatkan oleh manusia.
Seandainya tradisi ilmu ini tidak dipegang dan diamalkan maka rosaklah kehidupan manusia itu. Kesannya lebih teruk lagi jika tradisi ilmu ini dirosakkan dengan penyebaran maklumat palsu berunsurkan fitnah dan hasutan dalam kalangan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat itu sendiri. Sedangkan mereka inilah yang wajib menjadi contoh menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan.
Natijahnya, masyarakat menjadi celaru dan keliru angkara penyebaran sesuatu perkara yang tidak benar. Ini bakal mengundang perbalahan dan perseteruan yang memecahbelahkan masyarakat. Inilah yang paling dibimbangkan kerana apa yang dibina selama ini punah dengan sekelip mata. Jika ini berlaku, pastinya sukar untuk diperbaiki dalam jangka masa pendek. Justeru, dalam hal ini, sistem pendidikan negara yang berasaskan kehebatan tradisi ilmu sebenar membantu membentuk sebuah masyarakat maju yang diidamkan. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 25 November 2015 6:00 PM