kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ambil Iktibar Laporan Audit

SEKALI lagi Laporan Ketua Audit Negara menarik perhatian khalayak. Kali ini Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2014 menggariskan 268 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Menurut ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang melalui laporan yang dibentangkan di Parlimen itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 102 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 32 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 134 syor kepada kerajaan negeri dan ia membabitkan pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan hasil dan pengurusan syarikat.



ANTARA sebab Jabatan Audit Negara membuat teguran adalah bagi memastikan tidak berlaku kelewatan dalam penyiapan sesuatu projek yang akan merugikan kumpulan sasaran di samping meningkatkan kos pembinaan. GAMBAR HIASAN

Walaupun secara keseluruhannya, Jabatan Audit Negara mendapati tahap prestasi pengurusan kewangan agensi bagi 2014 masih baik dengan 172 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan ‘Sangat Baik’ (4 bintang) berbanding 194 pada 2013 dan 143 pada 2012 namun masih terdapat beberapa kelemahan yang ketara serta berulang yang wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak yang terbabit.

Antara hasil dapatan audit yang menarik perhatian dalam siri laporan kali ini adalah pengurusan hartanah wakaf Melaka yang kurang memuaskan, prestasi kewangan Kolej Universiti Insaniah Sdn. Bhd. bagi 2012 hingga 2014 tidak memuaskan berdasarkan analisis trend dan nisbah kewangan yang dijalankan serta prestasi Akaun Amanah Tabung Infrastruktur Sosial (Tabung) yang dikutip melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) negeri Selangor tidak dibelanjakan secara optimum bagi meningkatkan keselesaan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Dalam pada itu, antara masalah yang biasa kita dengar apabila laporan audit diumumkan adalah terdapat kementerian ataupun agensi yang melakukan perbelanjaan melebihi peruntukan, proses pembayaran yang tidak teratur, kerja, bekalan dan perkhidmatan yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan atau tidak berkualiti ataupun tidak sesuai, berlaku juga kelewatan dan harga tidak munasabah, pembaziran, berlaku kelemahan dalam pengurusan hasil, proses pengurusan dan penyenggaraan aset kerajaan juga masih lemah, ketidakpatuhan terhadap undang-undang alam sekitar serta kelemahan pengurusan syarikat kerajaan.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama kelemahan seperti ini dikenal pasti oleh pihak audit negara kerana hampir setiap tahun hasil penemuan audit masih menceritakan skrip yang sama ataupun berulang. Justeru timbul persoalan di mana silapnya ataupun apa punca utamanya? Adakah ia disebabkan oleh kelemahan dan kecuaian manusia yakni pegawai yang terlibat ataupun hasil kelemahan sistem dan prosedur yang sedia ada.

Mengikut pengamatan penulis antara punca utama segala kelemahan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi prosedur atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, kurang teliti semasa merancang sesuatu program, aktiviti, projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender selain tidak memantau dengan kerap serta teliti kerja kontraktor,vendor atau perunding.

Maka apa yang kita hasratkan adalah laporan ini akan membuka mata semua pihak untuk lebih serius, berhemah dan berhati-hati dalam menguruskan wang rakyat. Beri perhatian kepada syor dan cadangan yang telah dikemukakan oleh pihak audit secara serius. Kita tidak mahu kelemahan segelintir individu merosakkan imej keseluruhan jabatan. Dan apa yang lebih penting ketua jabatan perlu ambil iktibar dan memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi.

Untuk itu disyorkan semua jabatan kerajaan dengan segera merangka pelan tindakan pembetulan dan pencegahan yang efektif secara komprehensif dan menyeluruh. Sebagai permulaan atasi dan tangani terlebih dahulu segala kelemahan yang telah dikenal pasti sebagai langkah dan tindakan pembetulan dengan segera. Rakyat mahu penjawat awam bertindak dengan segera dan penuh bertanggungjawab.

Pada masa yang sama sebagai langkah jangka panjang dan tindakan pencegahan setiap ketua jabatan perlu memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Untuk itu proses pemantauan dalaman perlu dimantapkan. Tidak perlu setiap tahun kita menunggu pihak audit negara untuk mengaudit mahupun memantau kerja kita.

Pihak jabatan sendiri patut ada sistem pemantauan yang efektif yang boleh mengenalpasti segala kelemahan dan ketirisan yang berlaku pada setiap peringkat pelaksanaan sesuatu program, aktiviti mahupun projek supaya langkah-langkah intervensi dan pembetulan dapat terus diambil dengan segera. Ini pasti dapat meminimumkan permasalahan yang lebih serius dan besar.

Hal ini penting dan semua ketua jabatan perlu memandang serius kerana setiap kelemahan dan ketirisan yang berlaku mengakibatkan pembaziran dan kerugian wang ringgit mahupun peningkatan kos yang tinggi. Ini jelas merugikan rakyat dan negara apatah lagi kelemahan ini merencatkan dan melambatkan segala manfaat yang patut dinikmati oleh rakyat terutamanya golongan sasar yang telah ditetapkan. Misalnya, kelewatan dalam penyiapan sesuatu projek akibat kelemahan dan kecuaian kita pastinya merugikan kumpulan sasaran yang terlibat di samping meningkatkan kos pembinaan.

Pada masa sama kita berharap tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan ini untuk memburuk-burukkan pihak kerajaan mahupun penjawat awam. Semua pihak wajar melihat laporan ini dalam perspektif yang positif sebagai proses penambahbaikan yang berterusan.

Bantulah pihak kerajaan mahupun penjawat awam dengan memberi pandangan dan cadangan yang bernas untuk sama-sama kita mengatasi segala kelemahan yang ada demi kepentingan bersama. Kritikan yang negatif dan tidak membina tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada mana-mana pihak yang terlibat malah akan mengeruhkan lagi keadaan.

Apapun sebagai proses pengajaran kita berharap jabatan yang berkenaan akan mengambil tindakan yang tegas jika didapati ada pegawai yang jelas cuai atau gagal melaksanakan tugas tanpa sebab yang munasabah sehingga kerajaan menanggung kerugian. Kita tidak mahu jabatan kerajaan terus dilabel sebagai tidak efektif hanya kerana tindak tanduk segelintir pegawai yang gagal melaksanakan tugas dengan amanah dan baik.

Tags: audit, integriti
Subscribe

Posts from This Journal “audit” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments